Nuffnang

Friday, December 26, 2014

Pengalaman Melahirkan Anak Kembar


Pada 7 November 2014 lalu genaplah empat tahun umur anak kembar aku Mohammad Harith & Mohammad Haikal yang selalunya aku gelar Si Kembar. Terasa cepat masa berlalu, empat tahun bukanlah berlalu dengan lancar dan indah sentiasa. Bermacam macam dugaan yang telah dilalui termasuk perceraian aku dengan bekas isteri, emak Si Kembar ni. 

Mengimbau kembali empat tahun dulu pengalam mengandungkan dan melahirkan Si Kembar ada di ceritakan oleh ibunya dalam blognya. Namun hari ini tergerak hati aku untuk menceritakan semula pengalaman melahirkan kembar versi aku pulak.

Waktu tu tahun 2010, anak sulung aku Mohammad Hakimi baru lapan bulan. Aku masih belajar di UTM dan pulang ke Serdang menjenguk anak isteri seminggu/dua minggu sekali. Bila isteri aku waktu tu kata dia tak datang period lagi aku mula resah. Isteri aku cuba menenangkan aku katanya mungkin period dia bulan tu lambat sikit, sebab kadang-kadang memang macam tu. Katanya dia nak makan buah nenas supaya periodnya cepat sikit. Aku setuju aje, tapi period yang ditunggu tak juga datang dan kali ni masing-masing mula cuak.

Akhirnya aku suruh isteri aku amik pregnancy test, waktu tu aku di JB. Bila isteri aku call bagitau keputusan positif, dia mengandung lagi aku terus tepuk kepala.TIDAK!!! susah aku nak bayangkan hidupkan aku yang masih belajar ni dangan anak dua orang. Susah nak diterima, rasa macam nak berhenti belajar pun ada, sebab nak cari kerja untuk besarkan anak. Isteri aku kerja shift waktu tu, kos untuk hantar anak sulung aku ke nursery yang beroperasi 24 jam RM400 sebulan. Kalau beranak lagi sorang akan jadi RM800. mana nak cari duit banyak tu bulan-bulan? Nak tak nak aku kena terima, berani buat berani lah tanggung.

Bila isteri aku nak pergi first check up, aku balik ke Serdang untuk temankan dia. Tapi malam tu aku terminum air 3 in 1 yang dah expired sampai aku sakit perut pagi tu... Akhirnya isteri aku ambil keputusan untuk pergi sorang. Lama jugak dia pergi check up, balik tu aku tengok muka dia macam ada sesuatu yang difikirkannya. Aku mula risau takut anak yang dikandung ada masalah... Tiba-tiba isteri aku kata "Bang, anak kita kembar..." aku kelu tak tau nak kata apa. Aku tak tau aku nak gembira ke tak. Akhirnya aku ambil keputusan untuk tersenyum dan bergembira dulu. Masalah yang akan datang aku fikir kemudian je lah... Aku peluk isteri aku.

Waktu mengandungkan kembar isteri aku waktu tu tak ada alahan sangat. Mengidam pun tak ada sangat, aku ingat dia mintak mee kari je, tu pun dia masak sendiri je tak payah aku pergi cari. Cuma satu permintaannya aku stay dekat KL sampai Si Kembar dilahirkan. Memang berat sikit untuk aku sebab khidmat aku memang diperlukan sangat di UTM. Akhirnya aku memberanikan diri untuk cakap dekat supervisor aku yang aku nak study jarak jauh, aku tak nyatakan sebabnya. Tapi dia benarkan.

Langkah berikutnya, kami cari rumah sewa baru yang lebih luas dan selesa. Alhamdulillah kami jumpa rumah teres di Semenyih yang lebih luas dan selesa dengan kos sewa yang sama RM300. Kemudian aku mencari kerja yang aku boleh buat sambil aku study. Akhirnya aku dapat kerja opis di Midvalley waktu tu isteri aku dah nak melahirkan Si Kembar dah. Perutnya besar sangat sampai aku yang tengok jadi risau.

Beberapa Hari sebelum Bersalin

Pada 5 Nov 2010 Isteri aku pergi ke Hospital Serdang sebab doktor kata Si Kembar dah besar sangat. Dia kena tahan dekat wad sebab besok Doktor nak induce supaya dia beranak besok jugak. Tapi bila doktor nak induce dia check laluan dah dibuka beberapa cm. So, doktor ambil keputusan isteri aku bersalin secara normal tak payah guna ubat induce.

Pada pagi 7 Nov 2010 doktor kata isteri aku akan bersalin pagi tersebut. Diorang benarkan aku masuk ke labour room untuk temankan isteri aku. Aku excited sangat sebab masa bersalin anak pertama tak berkesempatan untuk temankan isteri aku. Ingatkan dah nak bersalin tapi tunggu punya tunggu tak bersalin jugak lagi. Cuma isteri aku yang mengalami contraction semakin kerap. Nampak sangat dari raut wajahnya dia menahan kesakitan bila contraction datang. 

Aku yang duduk di sebelah tak boleh duduk diam kalau boleh nak doktor bersalinkan isteri aku waktu tu jugak. Tapi nurse hanya datang check sama ada dah boleh bersalin ke belum hanya 2 jam sekali sahaja sebab kalau tidak kena jangkitan kuman. Sementara menunggu 2 jam tu seksanya adalah bila melihat bini terseksa. Tapi berat mata yang melihat berat lagi bahu yang memikul.

Selepas jam 2 petang akhirnya doktor pakar datang dengan budak-budak praktikalnya. Pada waktu tu isteri aku dah sedia nak melahirkan dan kembar yang pertama lahir jam 2++ petang. Aku pun tak berapa ingat masa sebenar, kena tengok surat beranak balik. Tapi aku ingat beza masa kelahiran kembar ni ialah 8 minit. Berat kembar yang pertama 2.98kg dan yang kedua 3.02kg. Dalam hati aku bersyukur dan bangga dengan isteri aku yang boleh melahirkan kembar yang besar ni secara normal dan kedua-duanya sihat dan comel. Rasa kagum pun ada. Alhamdulillah...

Mohammad Harith ketika baru dilahirkan

Mohammad Haikal ketika baru dilahirkan

Selepas selesai di-azan dan di-qamat kan kembar dibawa ke wad bayi dan isteri aku dibawa ke wad bersalin. Nurse kata itu memang procedure selepas melahirkan kembar untuk memastikan kedua-dua kembar dalam keadaan sihat. Kembar akan terus ditahan di wad selagi ibunya tak dapat menghasilkan susu yang cukup untuk kedua-dua nya. sesekali aku bawa isteri aku ke wad bayi untuk menyusukan kembar kami. Walaupun susu tak banyak lagi sebab baru je melahirkan, kami berjaya meyakinkan doktor untuk bawa kembar kami balik ke kampung.

Malam esoknya kami bergerak balik ke kampung dengan mak mertua, adik ipar, kembar, anak sulung dan isteri aku semuanya naik satu kereta viva sahaja. Tujuh orang semuanya he he, siapa kata viva tak boleh muat tujuh orang? Dalam hati tak henti-henti berdoa supaya kami selamat sampai. Agak lewat malam tu kami semua selamat sampai ke kampung.

Sekarang kedua-dua kembar dah besar, masing masing dah menunjukkan perangai masing-masing. walaupun kembar, tetapi masih ada perbezaan perangai antara kedua-dua nya. Rupa pun tak adalah sama sangat, masih boleh dibezakan. Tapi kadang-kadang tak dapat jugak nak bezakan maka aku tandakan Harith dengan gelang di tangan, manalah tahu satu hari tiba-tiba keduanya 100% sama. Sekian dulu...

Harith dan Haikal masa ni potongan rambut berbeza supaya senang dibezakan

Ciajuolah...



Monday, November 10, 2014

Finally... My First Keyword


Finally after almost a year waiting, I got my first keyword. It is 'Solat Qada'. Thanks to whoever searching for it. I'll never forget my first keyword.

Ciajuolah...

Friday, October 10, 2014

Pembetulan Peribahasa Melayu

Burung Pegar

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi - Salah

Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi - Betul

Bukan PAGAR yang makan padi, tapi PEGAR yang makan padi iaitu sejenis burung. Disebabkan kesilapan membaca tulisan jawi maka PEGAR bertukar menjadi PAGAR. Burung pegar adalah dari spesis yang memakan serangga dan bijirin. Apabila dijumpai di sawah padi burung ini tidak dihalau kerana sianggap boleh menakutkan haiwan lain dari datang memakan padi. Tetapi memang spesis burung ini juga memakan padi dari situ lahirlah peribahasa "Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi". 

Tidak logik jika Pagar makan padi kerana Pagar bukanlah objek hidup yang perlukan makanan. Tambahan pula, tidak ada mana-mana pesawah di dunia ni yang memagar sawah mereka.


Batok


Melepaskan Batuk di Tangga - Salah

Melepaskan Batok di Tangga - Betul

Batok yang dimaksudkan bukanlah perbuatan seperti terbatuk, tapi adalah merupakan peralatan yang diletakkankan di tepi tangga untuk membasuh kaki. Sudah menjadi kebiasaan orang dulu-dulu membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Biasanya di tepi tangga diletakkan tempayan berisi air dan Batok yang dibuat dari tempurung kelapa digunakan untuk mencedok air tersebut. Selepas digunakan, biasanya batok diletakkan semula ke tempatnya. Sebab itulah orang yang membuat kerja separuh jalan itu diibaratkan "Melapaskan batok di tangga". Sepatutnya dia menghabiskan kerjanya mencuci kaki dengan meletakkan semula batok tersebut di tempatnya. 

Tiada kaitan antara perbuatan terbatuk di tangga dengan orang yang membuat kerja separuh jalan. Lagipun batuk bukanlah seperti kentut yang boleh ditahan-tahan untuk dilepaskan. Biasanya batuk berlaku secara spontan.


Bagaimanapun, untuk adik-adik yang masih belajar digalakkan untuk membuat kajian lebih mendalam di dewan bahasa dan pustaka kerana skema perperiksaan mengikut dewan bahasa dan pustaka, bukan hujah dan logik kita sendiri.

Thursday, October 9, 2014

Minyak Naik Lagi

Cuba tengok video berita di atas, apa pendapat anda? Aku bukanlah penyokong kuat pembangkang atau mana-mana parti, tetapi dari sebab yang diberikan memang jelas nyata harga minyak dinaikkan tanpa sebab yang kukuh. Sebab itulah keluar alasan yang entah apa-apa - TIDAK SENGAJA. Alasan perdana menteri ini tidak dapat diterima logik akal dan aku pun malas nak komen lebih-lebih. Tengoklah sendiri video tu dan nilaikanlah....

Cuba tengok pulak ucapan Ustaz Azhar Idrus ni...
Ucapan UAI ini lebih logik dan diterima akal. Bukan nak membandingkan antara mereka sebab pada aku kedua-dua nya pemikir yang hebat, cuma bezanya UAI menyatakan apa yang sebenarnya berlaku (Sebab itu logik) manakala PM melindungi apa yang sebenarnya berlaku tetapi mungkin ketandusan idea (Sebab itu ntah apa-apa).

Untuk rakyat marhein seperti kita ini tak banyak yang kita boleh buat, cuma post banyak-banyak dekat facebook pasal harga minyak naik, dua hari kemudian pos gambar lembu dan rendang sempena Raya Haji. Senyap terus pasal minyak.

Dari kita bising-bising kat facebook tapi harga minyak naik jugak baik kita layan video Wak Uteh - Minyak Naik dan Lembu Naik Minyak ni semoga terubat sikit hati yang kecewa dengan kenaikan harga minyak. Nak buat macam mana lagi...? Ciajuolah...




Wednesday, October 1, 2014

Roh Orang yang Berhutang

"Roh orang berhutang tidak dapat temui Allah S.W.T selagi hutang tak dibayar. Bahkan Rasulullah tidak akan bersolat ke atas mayat yang hutang belum dijelaskan - ada hadis. Sabdanya "Sesungguhnya roh orang mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya. Sehinggalah hutangnya dijelaskan." (Bukhari Adn At-Tarmizi)


Hadis lain pula meriwayatkan Abu Qatadah pernah menjamin membayar hutang seorang mati sebanyak dua dinar. Setelah dijelaskan, Rasulullah bersabda "Sekarang telah sejuk kulitnya" (Al-Hakim, Ail-Baihaki, At-Tayalisi dan Ahmad)."

Ciajuolah...

Monday, September 29, 2014

Isu LGBT - "Ketepi Dosa Asal Nafsu Puas"

Aku tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Ardyhansah Amat dalam Harian Metro tak berapa lama dulu mengenai pendapat penceramah bebas Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani tentang isu LGBT yang semakin berleluasa. Apa yang ditulis banyak kebenarannya. Di sini saya tulis semula artikel tersebut untuk dikongsi bersama.

"Kesibukan masyarakat mengejar duniawi menjadi antara punca utama keteguhan akhlak mula terhakis.

Penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani berkata, tindakan mengasingkan syariat agama daripada kehidupan harian menyebabkan masyarakat tidak memikirkan dosa dan pahala asalkan ia dapat memenuhi tuntutan hidup di dunia.

Memang ketika ini kita seolah olah tidak merasai kesan secara drastik sikap masyarakat yang meminggirkan syariat dengan mata kasar.

Bagaimanapun saya menyifatkan ia sebagai barah yang wujud tanpa disedari tetapi mampu merebak seterusnya menyebabkan kematian.

Masalah homoseksual atau seangkatan dengannya termasuk lesbian, biseksual dan transeksual (LGBT) juga seperti barah yang akhirnya merosakkan masyarakat dan negara.

Kita menyedari kewujudan masalah ini tetapi menganggap ia seolah-olah perkara kecil atau masalah terpencil. Namun hakikatnya kini, ia sedikit demi sedikit membelenggu masyarakat dan negara kita.

Bukti paling jelas apabila Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) mula membuat tuntutan melalui Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober lalu bagi mendesak kerajaan mengiktiraf LGBT yang disifatkan mereka sebagai hak asasi manusia.

Ia jelas ada pihak yang semakin berani mencabar kedaulatan negara dan kesucian agama Islam.

Golongan ini perlu disedarkan bahawa pembentukan negara ini bermula dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi, katanya ketika diminta mengulas laporan Wajah Kehidupan berhubung aktiviti golongan homoseksual di sekitar bandar raya ini.

Tambah Dasuki lagi, masalah ini juga berpunca daripada sikap keterbukaan amalan perundangan yang tidak bertunjangkan sepenuhnya al-Quran dan sunnah.

Undang-undang yang ada sekarang tidak menyeluruh atau masih terdapat lompong menyebabkan kesukaran membanteras atau menangani masalah seperti ini secara menyeluruh.

Jangan melihat perundangan Islam melalui hukum hudud dan kisas semata-mata, kerana kita juga mempunyai hukum takzir iaitu hukuman yang membabitkan penghakiman dan budi bicara pemerintah.

Ini termasuklah sebatan, penjara, buang daerah dan denda termasuk ancaman (amaran) kepada pesalah bagi mendorongnya untuk mengubah tingkah laku,” katanya."

Percayalah LGBT pada hari ini ada di sekeliling kita dan masalah ini bukanlah kecil, bayangkanlah jika ia berlaku kepada ahli keluarga kita yang kita sayangi. Bukanlah perkara yang mudah untuk dipulihkan kerana melibatkan hati dan naluri yang tak dapat dilihat. Apatah lagi jika individu tersebut tiada keinginan langsung untuk berubah kerana terlalu menurutkan kehendak nafsu.

Kalau setakat nasihat memang tak akan berkesan kepada golongan ini, kerana sememangnya golongan ini hati kering sebab itulah tuhan pun diorang tak takut. Setakat ini yang dapat aku perhatikan golongan ini akan hanya berubah apabila:

1 - Menerima hidayah - Mimpi ngeri, musibah, kematian orang tersayang dan lain lain.

2 - Tua - Tiada waris dan tiada pasangan, hidup sendiri dan menyesal.

Amat menyedihkan apabila tersedar di hari tua kerana masa tidak boleh diundurkan. Walaupun amat jarang yang ingin berubah setelah menerima kaunseling atau nasihat, namun teruskanlah berdoa kepada Allah S.W.T dan terus menasihati mana tahu nasihat yang kali ini Allah S.W.T bukakan hatinya untuk berubah. Jika ada golongan LGBT yang membaca artikel ini semoga digerakkan hatinya untuk berubah sebelum menyesal di hari tua kelak. In Syaa Allah...

Ciajuolah...

Friday, September 26, 2014

Kesilapan yang Sering Berlaku Shell Easy Win Contest


Ramai yang tahu tentang Shell Easy Win Contest kan? Alah yang orang ramai-ramai pakat isi borang lepas isi minyak dekat stesen Minyak Shell tu lah. Biasanya lepas bayar minyak kita akan isi borang dulu & masukkan dalam kotak lepas tu baru isi minyak kan? Sebenarnya salah cara macam tu.

Sepatutnya lepas bayar kita kena pergi isi minyak dulu lepas tu pergi kaunter balik mintak resit lagi sekali, sebab resit yang dikeluarkan sebelum ini adalah prepay reciept/fuel prepay dan ia TIDAK SAH untuk Shell Easy Win Contest. Sila rujuk Term & Cond.

Aku pun baru tahu baru-baru ni bila cashier india dekat stesen minyak Tapah bagitau. Thanks to kakak india yang aku dah lupa namanya tu. Semoga menjadi info berguna untuk semua orang dan semoga murah rezeki.

Ciajuolah...

Thursday, September 4, 2014

My First Keyword

Setkat ini belum ada lagi orang yang meng-Google blog ni. Sebab belum ada keyword yang dijumpai. So sesiapa yang nak menjadi orang yang pertama yang memasuki website ni melalui Google, peluang masih terbuka. Tak ada hadiah dan tak masuk Malaysian book of record pun. Cuma ucapan terima kasih...

Ciajuolah...

Thursday, August 28, 2014

Dunia, Pentas Ujian


Ramai yang beranggapan orang yang bahagia dan hidup senang itu orang yang bertuah kerana hidupnya tidak diuji ataupun tidak menerima ujian yang berat dari Allah S.W.T. Orang yang susah, kurang upaya dan menderita itu menerima ujian yang berat dari Allah S.W.T

Sesungguhnya Allah S.W.T itu maha adil. Dia menguji hambanya dengan sama rata kerana kesenangan, kekayaan, kebahagiaan dan kesihatan juga sebenarnya adalah merupakan ujian dari-Nya.

Suka saya mengketegorikan ujian dari Allah S.W.T kepada dua iaitu ujian positif dan ujian negatif. Ujian positif adalah ujian yang tidak menyiksakan seperti kekayaan, kebahagiaan, kesenangan, kesihatan dan sebagainya. Ia diturunkan oleh Allah S.W.T untuk menguji hambanya sama ada mereka bersyukur atau tidak dengan nikmat yang diberi. Biasanya ujian ini lebih sukar dan ramai yang gagal kerana lupa bahawa segala nikmat tersebut adalah pinjaman dari Allah S.W.T, bukanlah hak mereka.

Ujian negatif pula ujian yang menyiksakan seperti kesakitan, kesusahan, kemiskinan dan lain-lain. Biasanya apabila ujian ini diturunkan, ramai yang akan datang menghampiri Allah S.W.T walaupun sebelum ujian ini turun mereka jarang sekali mengingati Allah S.W.T. Ini kerana dengan siksa yang diberi barulah mereka sedar bahawa hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membantu mereka. Namun ada juga yang menjadi semakin jauh dengan Allah S.W.T akibat ujian tersebut dengan memilih jalan yang salah untuk mengatasinya seperti melacurkan diri untuk mendapat kesenangan, membuat maksiat untuk melupakan masalah, meminta bantuan bomoh yang syirik untuk merawat penyakit dan sebagainya.


Namun begitu, adat ujian ada yang berjaya ada yang gagal. Apa pun ujian yang akan diturunkan oleh Allah S.W.T kepada kita, marilah kita bersama berdoa semoga urusan kita dipermudahkan. Jadilah hamba Allah S.W.T yang bersyukur, sesungguhnya bukanlah bahagia yang membuat kita bersyukur, tetapi bersyukur yang membuat kita bahagia.

Ciajuolah...

Friday, August 15, 2014

Kalimah Allah Pada Kotak Fries McDonalds?


Saya ada terbaca mengenai kalimah Allah yang ditemui pada kotak fries McDonalds dan ramai yang tidak puas hati dan berpendapat ini adalah menghina Islam. Sama ada ia disengajakan atau kebetulan, Wallahua'lam.

Cuba renungkan, apa akan jadi jika kotak fries tersebut terdapat lambang salib atau gambar bintang dalam bendera Israel yang tersembunyi. Saya rasa mesti ramai yang tak puas hati juga dan berpendapat ini salah satu aktiviti kritianisasi yang cuba dilakukan oleh McDonalds. Tetapi adakah orang kristian dan Israel merasakan ini suatu penghinaan terhadap agama atau negara mereka?

Isu ini sekali lagi menunjukkan betapa sensitifnya umat Islam di Malaysia dan betapa mudahnya mereka untuk diprovokasi. (Bukan semua)

Secara individu saya berpendapat, kalimah Allah dalam tulisan arab memang senang terbentuk kerana huruf yang kebanyakannya menegak dan bersambung satu sama lain. Terdapat banyak gambar-gambar tumbuhan yang seakan-akan kalimah Allah, tetapi jarang sekali kita jumpa kalimah Allah dalam tulisan rumi kan? sebab hurufnya terpisah antara satu sama lain dan kurang huruf yang menegak. Begitu juga dalam lukisan, adakala terdapat kombinasi garisan yang akan membentuk kalimah Allah secara kebetulan.

Secara individu juga saya berpendapat, jika McDonalds hendak menghina islam, terdapat banyak lagi tempat lain yang yang lebih menghinakan dia boleh letak kalimah Allah. Tapi mengapa di kotak fries sahaja?

Bukan nak defend McDonalds, cuma sekadar pendapat. Yang benar kita iakan, yang salah kita tidakkan.

Ciajuolah...

Friday, July 25, 2014

Maaf Zahir dan BATIN???

Dah dekat nak raya ni mesti ramai antara kita yang berjumpa untuk bermaaf maafan dan tak kurang juga yang menghantar mesej memohon maaf. Ucapan "MAAF ZAHIR DAN BATIN" adalah yang selalu diucapkan ketika meminta maaf. Anehnya ada sesetengah permohonan maaf dinyatakan "MAAF ZAHIR SAHAJA"...??? Kenapa ye? Bila ditanya jawapannya "Mana ada buat apa-apa yang batin, Kalau suami isteri barulah maaf zahir dan batin". Eh macam tu pulak?

Maksudnya ramai yang tak faham maksud ucapan "ZAHIR DAN BATIN" tersebut. Ramai yang mentakrifkan "BATIN" tersebut sebagai aktiviti seksual berikutan perkataan "TENAGA BATIN" sering dikaitkan dengan tenaga untuk melakukan hubungan seks terutamanya bila bercakap tentang ubat ubatan, herba, dan sebagainya. Kalau macam tu, bagaimana pula dengan "ILMU BATIN"? Adakah ia ilmu tentang melakukan hubungan seks? "TOK BATIN" pula adakah ia datuk yang pandai tentang selok belok seks? Semuanya berpunca dari salah definisi...

Pada saya "MAAF ZAHIR DAN BATIN" adalah permohonan maaf secara total bagi kesalahan yang telah dizahirkan ataupun tidak dizahirkan.

Contoh kesalahan yang dizahirkan ialah, jika kita pernah marah pada orang tersebut dan memaki hamun atau memukulnya, atau mencuri barang orang tersebut atau memfitnah orang tersebut dimana kesalahan kita dizahirkan dengan kata-kata dan perbuatan kita.

Contoh kesalahan batin pula ialah, apabila kita membenci orang tersebut dan mengatakan sesuatu yang tak elok di dalam hati, berniat jahat atau berdendam dengan orang tersebut tetapi tidak pernah menzahirkannya dengan kata-kata atau perbuatan. itu adalah kesalahan yang tidak zahir atau pun "BATIN".

Akhir kata dari saya SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI dan MAAF ZAHIR DAN BATIN untuk semua kesalahan saya. Jika ada termakan, terminum dan terambil minta dihalalkanlah...

Ciajuolah...

Wednesday, July 23, 2014

Adab-adab Berhutang dalam Islam

Menjelang musim perayaan ini mesti banyak duit diperlukan sehingga ramai antara kita yang mengambil keputusan untuk berhutang. Tak salah jika nak berhutang kerana rezeki diberikan oleh Allah kepada hambanya adakalanya berlebihan dan adakalanya tidak mencukupi. Yang ada rezeki berlebihan apalah salahnya membantu saudara atau kenalan yang kekurang dengan memberi hutang.

Namun begitu, hutang mestilah diuruskan dengan betul kerana tersilap boleh menjadi penyebab untuk seseorang itu ke neraka. Berhutang ada adabnya dalam islam, berikut adalah ringkasannya:

1) Hutang yang diberi mestilah ditulis dan disaksikan.

2) Pemberi hutang tidak boleh mengambil keuntungan atau manfaat daripada orang yang berhutang.

3) Si penerima hutang hendaklah berazam untuk melunaskan hutangnya.

4) Jika berlaku kelewatan, si penerima hutang hendaklah memaklumkan kepada si pemberi hutang.

5) Menggunakan duit yang dipinjam untuk tujuan yang baik, bukan untuk berfoya-foya atau berjudi.

6) Si penerima hutang boleh meminta ehsan pemberi hutang untuk mengurangkan hutangnya. Pengurangan ini hendaklah tanpa syarat.

7) Si penerima hutang hendaklah melunaskan hutangnya sesegera yang mungkin

8) Memberi penangguhan kepada penerima hutang jika dia memang dalam kesulitan untuk membayar hutangnya.

Jagalah adab-adab kita ketika berhutang, ingatlah orang yang memberi hutang itu telah bermurah hati untuk membantu kita ketika kita kesulitan, janganlah pula kita sakiti hatinya dengan pura-pura lupa akan hutang yang diberi dan sebagainya.

Wallahua'lam...

Ciajuolah...

Wednesday, May 21, 2014

Movie Review - Godzilla


Godzilla yang lama aku pun dah lupa macam mana ceritanya. Ntah kenapa kali ni teringin sangat nak tengok Godzilla, pada masa yang sama X-Men - Days of Future Past pun keluar jugak. Tapi memandangkan X-Men lewat sangat masanya, aku pilih untuk tengok Godzilla 3D!!!

Pada yang belum tangok mesti ingat Godzilla tu jahat dan cerita ni tentang macam mana nak bunuh Godzilla. Tapi sebenarnya Godzilla adalah hero dalam cerita ni, kalau nak disamakan dengan cerita Ultraman, Godzilla adalah Ultraman. Ceritanya memang macam cerita Ultraman pun, penuh dengan aksi raksasa.

Secara keseluruhan, ceritanya memuaskan cuma peranan manusia dalam cerita ni tak ada sangat. Kalau hero, heroin dan askar-askar dalam cerita ni just duduk kat rumah buat kuih bahulu pun tak apa. Biar Godzilla settlekan raksasa jahat tu.

Aku tengok 3D tapi tak terasa sangat kesan 3D dalam cerita ni tak macam aku tengok The Amazing Spider-man 2. Baik tengok 2D biasa je. Dari 10 Bintang aku kasi cerita ni 8.


Thursday, May 15, 2014

Memberi Nama Anak Islam


Nama anak yang baru lahir seelok-eloknya diberikan oleh bapanya pada hari ke-7 kelahiran anak tersebut kerana setiap anak adalah mengikut keturunan bapanya, bukan ibunya dan kerana itulah anak tersebut di‘bin’kan dengan nama bapanya. Seperti disebutkan dalam Al-Quran surah Al-Ahzab ayat 5:

“Panggilah mereka dengan nama kepada bapa-bapa mereka, itulah yang lebih adil di sisi Allah ..”

Pada masa ini ramai ibu yang menamakan anak mereka sendiri dan memang sifat semulajadi seorang wanita suka akan susatu yang cantik, comel dan unik. Maka nama yang diberikan kepada anaknya juga nama yang comel, cantik (kononnya) dan unik tanpa mempedulikan maksud nama tersebut dan adakalanya sukar untuk disebut. Ada juga ibu bapa yang mempunyai terlalu banyak idea sehingga banyak nama yang ingin diberikan kepada anaknya sedangkan anak yang dilahirkan hanya seorang. Lalu digabungkan semua nama tersebut menjadi satu dan dapatlah anak tersebut nama yang panjang sehingga tiga, empat suku kata.

Seelok-eloknya nama yang diberi biarlah tidak lebih dari dua suku kata, kerana jika kita lihat nama-nama nabi dan para sahabat semuanya tidak melebihi dari dua suku kata. Bukankah kita disunatkan mengikut nabi dan para sahabat? Nama yang paling disukai oleh Allah S.W.T pula ialah Abdullah dan Abdur Rahman juga tidak melebihi dari dua suku kata.

Seelok-eloknya nama yang diberi memberi maksud yang baik dalam bahasa arab kerana bahasa arab adalah bahasa Al-Quran. Terdapat banyak buku yang mengumpulkan nama yang mempunyai maksud yang baik dijual di pasaran. Dinasihatkan janganlah meletakkan nama yang sukar disebut atau dieja. Kesannya apabila anak itu besar nanti menyebabkan rakan rakannya sukar menyebut namanya dan memanggilnya dengan nama yang lain atau nickname yang biasanya tidak mempunyai maksud yang baik. Nama yang sukar dieja boleh meningkatkan kebarangkalian nama anak tersebut salah dieja pada dokumen seperti buku bank, lesen atau sijil apabila anak tersebut besar kelak.

Saya sendiri tidak pasti sama ada hukumnya makruh atau haram tetapi sebaiknya tidak menamakan anak dengan nama malaikat yang sepuluh (Jibril, malik, Mikail, Israil, Israfil, Ridwan, Mungkar, Nakir, Raqib dan Atid) dan nama-nama surah dalam Al-Quran (Yasiin, Thoha dsb).

Haram memberi nama sama dengan nama Allah S.W.T yang 99 seperti Rahman, Rahim, Aziz dll. Tetapi digalakkan menggandingkan nama-nama Allah S.W.T tersebut dengan ‘Abdul’ dihadapannya seperti Abdul Rahman, Abdul Rahim dan Abdul Aziz.

Ada juga pendapat mengatakan elakkan meletakkan nama anak sama dengan nama Jin seperti Balqis, Najwa, Batrisya, Qistina dll walaupun nama tersebut mempunyai maksud yang baik. Takut nanti apabila semua orang memanggil anak tersebut dengan nama Jin, dikhuatiri akan sering didampingi dan diganggu oleh Jin menyebabkannya mudah sakit atau terlihat benda-benda halus. Namun tak pasti kesahihannya, sebagai jalan selamat – Elakkanlah…


Sekian.

Ciajuolah...

Tuesday, April 22, 2014

BANGANG!


Seperti yang saya post sebelum ini ‘Perkiraan dalam Hidup’, inilah salah satu contoh bila orang tak ada perkiraan. Kalau dia sorang yang susah tak mengapa, tapi ini dah menyusahkan orang. Sememangnya pasangan pengkid & aweknya ini tak layak langsung bergelar ibu & bapa sebab diorang tak faham langsung perasaan seorang ibu & bapa yang kehilangan anaknya. Yang diorang tahu hanyalah nafsu serakah masing-masing.

Terimalah hakikat bahawa diri awak tu dijadikan Allah S.W.T sebagai seorang perempuan, pasangan awak adalah lelaki, barulah awak berpeluang untuk mendapat anak. Diri awak sendiri wujud adalah hasil dari hubungan lelaki dan perempuan. Begitulah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T. Hebat sangatkah awak untuk mengubah fitrah ini? Kalau betul hebat pergilah jilat sampai keluar anak, tak perlu culik anak orang. Menyusahkan orang! BANGANG!


Ciajuolah…

Tuesday, April 15, 2014

Solat Qada'

Ramai antara kita yang pernah tinggal solat, dan ramai juga yang tak pernah terfikir nak qada’ solat yang tertinggal tu. Ramai juga yang sibuk dengan solat sunat sedangkan yang wajib tak ter-qada’ lagi. Sebab ramai yang berfikir bahawa yang lepas tu biarlah lepas. Sebenarnya solat yang tertinggal wajib di-qada’ meskipun telah bertaubat. Berikut serba sedikit info tentang solat qada’ dari pembacaan saya di buku-buku dan di internet.

Qada’ ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya, manakala tunai adalah melakukan sesuatu ibadah pada waktunya.dengan kata lain, tunai adalah “waktu Allah” dan qada’ adalah “waktu kita”.

Solat qada' perlu dilakukan untuk setiap solat fardhu yang ditinggalkan secara sengaja atau tidak. Cara solat Qada’ adalah sama seperti solat fardhu, Cuma niatnya perlulah niat qada’. Seperti:

sahaja aku solat fardu <fardhu> <bil rakaat> rakaat qada’ kerana Allah Taala”.

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa, tiada waktu larangan.

Jika solat yang ditinggalkan terlalu banyak sehingga tak terkira, bolehlah dianggarkan berapa banyak yang telah tertinggal dan berhentilah setelah yakin semuanya telah di-qada’-kan. Cara yang seeloknya, buatlah solat qada’ setiap kali selesai solat fardhu. Jika pernah tinggal solat selama 20 tahun, amalkanlah solat qada’ selepas solat fardhu InsyaAllah jika panjang umur semua solat yang tertinggal selesai di-qada 20 tahun kemudian. Jika meninggal dunia sebelum 20 tahun, semuanya terserah pada Allah Taala, tetapi jika telah bertaubat sepenuhnya dan menjauhkan diri dari dosa, InsyaAllah dosa-dosa akan diampunkan oleh Allah.

Seeloknya solat yang tertinggal di-qada’ secepat mungkin, contohnya bangun lambat dan tertinggal solat subuh eloklah kalau di-qada’ sebaik sahaja bangun dari tidur, tak pelulah tunggu waktu zohor ataupun waktu subuh yang berikutnya.


Sekadar info untuk diri sendiri dan sesiapa saja yang membaca.

Thursday, April 10, 2014

Hidup Ibarat Angry Bird


Hidup ini ibarat Angry Bird, tiap kali kita gagal, ada saja babi yang akan gelakkan kita... 


Tapi janganlah terpedaya dengan gelakkan babi tersebut, teruskan usaha sampai berjaya, sampai takde babi lagi. Namun kita hidup ini memang untuk diuji, kelak kita akan diuji lagi dengan ujian yang lebh getir. Dan kita akan berjumpa dengan babi lain pulak. 

Apapun ujian yang bakal tiba, janganlah takut, tempuhilah dengan semangat yang berkobar-kobar seperti semangat kita nak menghabiskan game Angry Bird tu. 

Ciajuolah...

Tuesday, April 8, 2014

Perkiraan dalam Hidup



Dalam kehidupan ini setiap individu tidak lepas daripada membuat pilihan. Bukanlah sesuatu yang mudah nak membuat pilihan, kerana kalau tersalah pilih bermacam-macam akibat terpaksa ditanggung. Maka, sebelum kita membuat pilihan kenalah fikir baik buruk setiap pilihan yang kita ada. Inilah yang dipanggil perkiraan atau dalam bahasa Inggerisnya Calculation.

Apabila tiada perkiraan semasa membuat keputusan, dari situlah datangnya perkataan “Aku tak Kira”. Jangan dipandang ringan kerana disebabkan ini seseorang itu tergamak membuang anak, buang keluarga, lari dari rumah, masuk ke negara orang tanpa dokumen buat dosa tak ingat dunia dan sebagainya. Akhirnya menyusahkan orang, menyesal, “kenapalah nasib aku macam ni?”, “malangnye nasib aku”. Sedangkan salah diri sendiri mengikut nafsu.

Tak semestinya kena pandai matematik baru boleh membuat perkiraan dengan baik, cukup sekadar hati yang bersih tanpa hasad dengki, sayang sesama insan, takutkan tuhan dan malu nak buat dosa. Lebih baik kalau keputusan yang dibuat diiringi dengan Solat Istikharah kerana hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Semoga kita dapat membuat keputusan untuk diri kita dan semua orang di sekeliling kita InsyaAllah. Ciajuolah…

Monday, January 13, 2014

Selamat Menyambut Maulidul Rasul


Assalamualaikum,

Selamat menyambut Maulidul Rasul kepada semua umat Islam. Aku taknak menulis macam orang pandai sangat tentang agama cuma nak mengingatkan diri sendiri tentang 'Do' & 'Don't' yang aku rasa patut ketika Menyambut Maulidul Rasul ini. Semua cuti Maulidul Rasul ini lebih bermakna.

Do's
  • Selawat sebanyak mungkin ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Fahami maksud selawat dan hayati.
  • Membaca kisah hidup dan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W supaya dapat memupuk rasa cinta dan sayang terhadap Nabi Muhammad S.A.W.
  • Menghadiri kuliah berkaitan Maulidul Rasul di surau dan masjid. 
  • Berusaha mengenali Nabi Muhammad S.A.W dengan lebih dekat.
  • Membanyakkan amalan fardhu dan sunat.
  • Melakukan apa sahaja aktiviti yang boleh menambahkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad S.A.W.


Dont's
  • Buat Maksiat
  • Membuat aktiviti yang bertentangan dengan syariat Islam dan berlaku pembaziran.
  • Menghabiskan masa dengan aktiviti duniawi tanpa meluangkan masa sesaat pun memperingati Nabi Muhammad S.A.W.


Yang penting sekali kita faham objektif kita menyambut Maulidul Rasul adalah untuk mengingati kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W supaya dapat menambahkan lagi rasa cinta dan sayang terhadap beliau serta mengambil iktibar dari kisah hidup beliau.

Sekian,
Ciajuolah...

Friday, January 10, 2014

Deyen Uang Kampau (Aku Orang Kampar)

"Suku Kampar adalah suku yang terdapat di Kabupaten Kampar Provinsi Riau. penduduk aslinya bertutur dalam bahasa Kampar. Suku Kampar adalah suku yang terkenal sebagai suku pedagang dan perantau. Mereka bisa ditemukan di sebagian besar daerah Riau, seperti Siak, Bengkalis, Ujung Batu, Pelalawan, Selat Panjang dll. Selain itu masyarakat Kampar banyak bermukim diMalaysia seperti Kuantan (Pahang), Sabak Bernam, Teluk Intan.
Selain itu Kampar adalah nama daerah dan sungai di Malaysia yang konon dinamai Kampar karena banyak warga Kampar yang dulu berdagang di sepanjang sungai tersebut" - Wikipedia.

Tersebut adalah serba sedikit info tentang suku kampar di Wikipedia. Tak hairan lah bahasa kampar mirip bahasa minang sebab kampar bersebelahan sahaja dengan Padang. Aku bukanlah orang Kampar yang berasal dari Kampar, Indonesia ni. mungkin datuk moyang aku dulu dari sana sebab itulah mak & ayah aku cakap kampar. Jadi apa yang aku tulis ni berdasarkan pengetahuan aku sebagai orang kampar dekat Malaysia ni. Kalau nak tau cakap kampar ni masam mana cuba dengar lagu ni, lagu bahasa kampar nyanyian Amin Ambo & Rini S.Y - Angin Sarugo (Angin Syurga).

Amin Ambo & Rini S.Y - Angin Sarugo (Angin Syurga)

Adiok lai bulio ocu batanyo (Adik, bolehkah abg bertanya)
Lain pulo nan taghaso dalam dado (Lain pula yang terasa dalam dada)

Ocu tanyokanlah nan taghaso (Abang, tanyakanlah yang terasa)
Kan den jawek supayo sonang hatio (Kan aku jawab sepaya senang hatinya)

Lai pona adiok kau maghasokan (pernahkah adik kau merasakan)
condo apo nan den ghasokan (seperti apa yang aku rasakan)

Ocu sobuikkanlah kek deyen (Abang, sebutkanlah padaku)
jan disimpan nak jan mengganggu fikiran (jangan disimpan supaya tak mengganggu fikiran)

Kutiko deyen batomu jo inyo (Ketika aku bertemu dengannya)
Hati deyen badobau dobau di dado (hatiku berdebar-debar di dada)
Itu namonyo cinto (Itu namanya cinta)

Kutiko deyen bapisa jo inyo (Ketika aku berpisah dengannya)
Tiok hari cinan nak basuo jo inyo (Tiap hari ingin nak bersua dengannya)
Itu namonyo ghindu (Itu namanya rindu)

Ocu lai bulio deyen batanyo (Abg, bolehkah aku bertanya)
Kek siapo cinto jo ghindu Ocu (Pada siapa cinta dan rindu abg)

Lai taghaso dek adiok salamoko (pernahkah terasa oleh adik selama ini)
Sayang deyen hanyo untuok kau sajo (Sayangku hanya untukmu sahaja)

Ocu deyen ko indak picayo (Abang, aku ni tak percaya)
Mungkin iko ombuisan angin sarugo (mungkin ini hembusan angin syurga)

Sayang kalau kau indak picayo (Sayang, Kalau kau tak percaya)
Ambiok pisau bola la dado ocu ko (Ambil pisau, belahlah dada abang ini)

Cuma aku tak berapa nak percaya orang Kampar ni pandai berdagang sebab aku ni memang tak ada bakat langsung berniaga. Samalah jugak orang kampung aku boleh dikira la yang berminat nak berniaga. Kebanyakannya motong getah je....

Satu yang unik tentang masyarakat Kampar ni, diorang ada alat muzik sendiri dipanggil Caklempong. Bentuk seperti gong kecil yang disusun rapat2 dan diketuk laju2 secara berirama. Selalunya dimainkan bersama gong dan beberapa alat muzik lain di kenduri kahwin. Masa kecik aku memang tak suka alat muzik ni sebab aku lebih prefer kugiran he he. Tapi sekarang atuk yang reti main caklempong dah meninggal dan takde waris aku sendiri dah lama tak dengar muzik ni. Terasa rindu lah pulak. 
Muzik Caklempong

Kalau nak tau sejarah & asal usul Masyarakat Kampar di Malaysia dan tokoh-tokoh kampar cuba dengar Encik Awalludin Ramlee ni becerita:
P/s: Aku ada dengar Sudirman tu orang kampar, ingatkan gosip je, betul-betul rupanya. :-)

Ciajuolah....

Thursday, January 9, 2014

Pengenalan

Salam semua,

Blog ni memang dah lama dalam perancangan, hampir setahun rasanya. Tapi saya tak berkesempatan nak memulakan. Tapi malam ni dengan penuh azam biar apa pun yang berlaku blog ni mesti dimulakan jugak.

'Ciajuola' berasal dari bahasa kampar yang bermaksud 'Biarkanlah'. Kerana apa yang dipostkan di blog ini bukanlah perkara yang sangat penting dan mustahak sehingga wajib dibaca oleh mana-mana pihak. Sekadar menjadi bahan bacaan mengisi masa lapang sesiapa yang ingin nak membaca. Kalau tak berminat nak membaca, ciajuolah...

Tujuan blog ni dibina bukanlah untuk komplen sesiapa, menghentam sesiapa, sekadar tempat untuk menyatakan pendapat yang hanya 20 sen ni, dan tempat untuk berkongsi ilmu yang tak seberapa ni. Blog ni juga akan dijadikan tempat untuk berkongsi pengalaman hidup, mungkin boleh dijadikan iktibar atau contoh kepada sesiapa.

Blog ni akan dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut tag yang akan ditetapkan kemudian. semoga dengan adanya blog ni, kita semua dapat berkongsi ilmu dan peristiwa dalam hidup.

Akhir kata dari saya, semoga sesiapa yang membaca blog ini dapat memberi komen membina dan teguran jika ada kesilapan. Kerana saya juga insan biasa, tiada apa yang istimewa. yang buruk datang dari saya, yang baik itu sentiasa dari Allah S.W.T.

Ciajuolah...