Nuffnang

Wednesday, March 4, 2015

Senyumlah...



Saya banyak mengumpul duit syiling baki dari membeli barang-barang, rasanya lebih dari RM500 jumlahnya. Pada mulanya saya bercadang untuk masukkan ke dalam bank tapi mengenangkan tiada masa untuk ke bank dan malas nak beratur menunggu giliran saya gunakan syiling tersebut untuk membayar tol. Ini kerana setiap hari saya akan membayar tol sekurang-kurangnya RM2 untuk ke tempat kerja.

Memang menjadi kebiasaan saya setiap kali melalui tol saya akan senyum seikhlasnya dan memberi salam sebelum membayar tol. Tak kiralah sama ada juru tol berkenaan lelaki atau perempuan. Harapan saya selain dari dapat menggunakan perkhidmatan lebuh raya tersebut, saya juga menerima pahala dari senyuman dan salam yang diberi.

Dari pemerhatian saya, dalam 50% dari juru tol tidak mempedulikan senyuman dan salam saya. Sedangkan sepatutnya merekalah yang perlu mengutamakan senyuman dan salam kerana sentiasa berdepan dengan pelanggan mereka dan juga menghargai pelanggan kerana menggunakan lebuh raya tersebut. Mungkin tertalu penat setelah tertalu banyak memberi salam agaknya, sehinggalah apabila tiba giliran saya tiada senyuman dan salam diberikan. maklumlah hari pun dah petang. Tapi mungkin juga sebab budaya di Malaysia ini yang jarang juru tolnya memberikan senyuman dan salam kepada pelanggan. 

Dari pemerhatian saya juga, baki 50% yang membalas senyuman dan salam saya rata-rata adalah terdiri dari juru tol perempuan yang bermuka manis atau sedap dipandang. Ini membuatkan saya terfikir mungkin disebabkan dia murah senyuman mukanya menjadi manis dan sedap dipandang. Jika benar maka betullah kata-kata cikgu saya dulu senyum juga adalah ubat untuk awet muda dan kelihatan cantik.

Pada pendapat saya, dengan siapa pun yang kita berurusan murahkanlah senyuman dan salam. Contohnya jika anda seorang juru tol, senyumlah kepada pelanggan-pelanggan anda semoga dengan senyuman itu membawa rezeki yang lebih lagi untuk syarikat lebuh raya tersebut dan juga anda sendiri, Insya-Allah. Tapi kalau duduk seorang diri pun senyum juga nanti orang kata tak siuman pula. Pandai-pandailah... 
:-)

Ciajuolah...