Nuffnang

Saturday, July 5, 2025

FIKIRAN POSITIF

Dalam dunia yang serba mencabar hari ini, kita mudah tenggelam dalam tekanan, ketakutan, dan keraguan. Namun, satu perkara yang boleh mengubah persepsi dan arah hidup kita adalah pemikiran positif.

Pada pendapat saya, berfikiran positif bukanlah berpura-pura semuanya OK walaupun sebenarnya tak OK pada kita. Ia adalah cara melihat sesuatu dengan sudut yang lebih baik, fokus kepada penyelesaian, dan percaya bahawa sesuatu yang baik boleh berlaku walaupun dalam keadaan.

Contohnya, ketika kita menghadapi kegagalan, pemikiran negatif akan berkata “Aku tak layak”, Tetapi pemikiran positif akan berkata “Ini adalah satu pengalaman berharga, aku akan belajar dan cuba lagi.”

Kenapa perlu berfikiran positif? Ini antara sebab yang dapat saya fikirkan:

1) Mengurangkan tekanan - Berfikiran positif membuat kita lebih tenang menghadapi masalah. Kurang menyalahkan, lebih bersemangat dan tidak mudah menyerah kalah.

2) Membentuk peribadi positif  - Sifat positif menjadikan diri kita lebih disenangi, mudah didekati dan dihormati.

3) Lebih bersyukur - Apabila kita sentiasa melihat melihat kebaikan walaupun dalam ujian, kita akan lebih menghargai apa yang kita ada.

4) Lebih kuat menghadapai cabaran - Kita tak akan mudah menyerah kalah.

5) Menarik perkara baik dalam hidup - Apa yang kita fikir, itulah yang kita tarik. Jika kita fikirkan boleh InsyaAllah kita akan lebih cenderung untuk berjaya.

Saya ambil dua contoh untuk difikirkan dan cuba kaitkan dengan sebab di atas.

Contoh 1 - Terlewat ke tempat kerja kerana hujan. Fikiran negatif akan berkata “Aku memang malang”. Tetapi fikiran positif akan kata “Alhamdulillah sampai dengan selamat, mungkin Allah nak elak aku dari berlaku sesuatu dalam perjalanan tadi”

Contoh 2 - Gagal dalam temuduga kerja. Fikiran negatif akan kata “Mungkin aku memang tak ada masa depan”. Tetapi fikiran positif akan kata “Mungkin bukan rezeki aku, aku akan perbaiki diri dan cuba lagi”.

Suka saya ingatkan fikiran positif ni bukanlah datang secara semulajadi dalam diri kita. Ia perlu dilatih. Mulakan hari dengan bersyukur, pilih untuk melihat kebaikan di dalam semua keadaan dan elakkan dari dikiasai emosi negatif. Betulkan yang biasa dan biasakanlah yang betul.

Ingatkan fikiran yang positif adalah benih dan tindakan adalah buahnya. Jika kita menanam fikiran yang positif, kita akan menuai kehidupan yang lebih tenang sihat dan berjaya.


Ciajuolah…

6 Julai 2025 (7:41 am)
Machang, Kelantan.

Saturday, June 28, 2025

KFC DAN KENANGAN

Tadi saya bawak anak makan di KFC Kuala Ketil. Anak yang kecil sekali minta ketul ayam yang paling besar. Melihat kesungguhan dia menghabiskan seketul ayam tu mengingatkan saya kali pertama berpeluang makan KFC.

Pada tahun 1990 KFC merupakab makanan mewah yang hanya terdapat di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Bagi orang kampung macam saya KFC hanya ada di iklan television.

Waktu itu pertama kali saya dapat kembali ke Kuala Lumpur selepas dilahirkan di bandar itu 8 tahun sebelumnya. Saya ke Kuala Lumpur untuk menziarah kakak yang baru melahirkan anak sulung. Walaupun kakak duduk di rumah setinggan sahaja tetapi tetap membuat saya teruja dengan kehidupan dan suasana di Kuala Lumpur yang sangat berbeza dengan kampung. Maklumlah kampung saya jauh di tengah hutan.

Yang paling mengujakan bila abang ipar saya nak bawa makan KFC. Saya pakai baju dan seluar baru. Seluar yang siap sekali dengan tali pinggang. Saya pakai tali pinggang ketat-ketat. Sebab ini kali pertama saya akan merasa ayam KFC, saya berazam nak makan sebanyak banyaknya.

Makanan yang dipesan agak banyak dan hidangan utama tak lain tak bukan ayam goreng. Saya yang terlebih teruja ambil ketulan yang paling besar. Tapi selepas hanpir sejam makan saya masih belum dapat habiskan seketul tu, perut pula terasa sengkak. Sudahnya sampai ke sudah seketul tu tak habis.

Sampai di rumah kakak aaya mengadu pada ayah perut saya sakit. Bila ayah periksa rupanya tali pinggang saya pakai terlebih ketat. Tak lama lepas longgarkan tali pinggang barulah rasa lega. Tapi masa tu dah dekat rumah, ayam pun dah tak ada. Nak buat mcm mana tunggu la peluang lain pula untuk makn KFC lagi.

Itulah kisahnya. Sekarang KFC dah sama level dengan kedai mamak je. Ada di merata-rata. Harga pun tak jauh beza. Mungkin ramai pun yang tak ingat bila kali pertama makan KFC.

Ciajuolah…

29 Jun 2025 (1:08 am)

Kuala Ketil

Friday, June 27, 2025

DI PENJURU MATA

 

Sepanjang 43 tahun pengalaman hidup ini pelbagai ragam manusia pernah saya jumpa. Sesungguhnya setiap manusia mempunyai pemikiran yang sangat dinamik dan sangat berbeza antara satu sama lain. Setiap satunya ada kelebihan, kekurangan dan minat yang berbeza.

Apabila kita terjumpa seseorang yang melakukan tindakan yang pada kita sesuatu yang bodoh, sebenarnya ia hanyalah suatu cara berfikir yang berbeza kerana tiada yang bodoh di dunia ini.

 Untuk renungan, cuba kita bandingkan kehidupan orang asli di dalam hutan dan menolak kemajuan dengan kehidupan kita yang penuh rutin, kemajuan dan peraturan. Bodohkah orang asli tersebut hidup tanpa gajet canggih, elektrik dan air paip? Atau bijakkah kita hidup dibelenggu hutang bank, rutin kerja, dan bersosial dengan gajet?

Ciajuolah…


Selamat Hari Jadi kepada yang menyambutnya pada hari ini…

28 Jun 2025 (10:16 am)

Slim River, Perak

Friday, June 13, 2025

BERKORBAN ATAU TERKORBAN?

Berkorban adalah sanggup melepaskan sesuatu yang kita sayang demi Allah S.W.T. Nabi Ibrahim mengorbankan anak kedayangannya Nabi Ismail untuk memenuhi perintah Allah S.W.T.  Kita sanggup mengorbankan binatang peliharaan yg kita jaga sekian lama untuk beribadah. Korbankan wang yang kita susah payah kumpul untuk membeli kerbau/lembu untuk dikorbankan.


Berkorbankah aku? Andai perpisah menjadi percaturan sebuah teori kebahagiaan yang aku ciptakan. Atau aku hanya mengejar fatamorgana dan bakal terkorban di gurun bernama HARAPAN. 


Ciajuolah…


14 Jun 2025 (7:11 am)

Jakarta, Indonesia.

Wednesday, June 4, 2025

ISTIDRAJ

 


Mesti pernah kita melihat orang yang hidup bergelumang dengan maksiat, rasuah, tak solat, menipu dan menganiaya tetapi dilimpahi dengan rezeki yang banyak, hidup mewah serba serbi, keluarga yang Bahagia dan cukup segala-galanya. Begitu juga dengan orang bukan Islam yang tidak pernah solat, Tidak mengakui Allah S.W.T itu tuhan, minum arak, berjudi, maksiat tetapi hidupnya jauh lebih senang dan Bahagia berbanding dengan hamba Allah S.W.T yang taat dan menuruti segala perintah-Nya dengan sangat patuh.

Pasti kita tertanya mengapa Allah S.W.T masih mengurniakan mereka dengan nikmat rezeki dan kesenangan hidup sedangkan mereka ingkar dengan perintah-Nya. Itulah yang dipanggil ISTIDRAJ. Istidraj adalah nikmat kejayaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada seseorang walaupun orang itu melakukan maksiat dan jauh dari ketaatan kepada-Nya. Ia sebenarnya bukanlah satu keberkatan, tetapi merupakan ujian yang sukar. Kerana manusia lebih cenderung untuk melupakan dan menjauhi Allah S.W T apabila dalam kesenangan berbanding di dalam Kesusahan. Tanyalah diri sendiri, adakah kita masih akan mengingati Allah S.W.T dan bersyukur apabila dikurniakan kesenangan dan kemewahan? Masihkah kita akan menjaga solat? Adakah kita akan bersedekah dan membayar zakat atas kemewahan yang diperolehi? Menjawab pastinya lebih mudah dari melaksanakan.

Sesungguhnya Allah S.W.T itu maha adil lagi maha mengetahui. Tidak perlulah kita mempersoalkan mengapa dan mengapa. Tak perlulah mempertikaikan ketentuan Allah S.W.T. Bersangka baik lah dengan Allah S.W.T. Setiap perbuatan kita yang baik mahupun yang buruk pasti akan ada balasan dari Allah S.W.T. Sesetengahnya dibalas terus di dunia ini, sesetengahnya akan dibalas di akhirat kelak. Namrud sombong kerana ada semuanya, Firaun sombong kerana ada semuanya yang dia mahu sehingga mati kedua-duanya dalam keadaan yang hina.

Sebagai hamba, taatlah kepada-Nya walau dalam apa jua keadaan dan ujian yang diturunkan. Sentiasalah bersyukur engan nikmat dan rezeki yang dikurniakan tidak kira banyak atau sikit. Syukur itu ada tiga peringkat, pertama meyakini nikmat itu datang dari Allah S.W.T. Kedua mengungkapkan syukur dengan Alhamdulillah, dan ketiga memanfaatkan nikmat tepat pada tempatnya. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang sesat.

Tulisan ini bukanlah untuk mengajar tetapi lebih kepada rujukan dan peringatan kepada diri saya sendiri. Saya juga hamba Allah S.W.T dan saya tidak sempurna. Semoga bermanfaat juga kepada sesiapa yang membaca.

Ciajuolah...

4 Jun 2025 (8:07 pm)
Kuala Sungai Baru, Melaka


Friday, May 30, 2025

LUKA & MASA


Tewas… mengalah… undur diri… bukan bererti tak kuat. kerana seseorang yang kuat juga perlu tahu bila masa untuk berhenti sekejap, untuk belajar, untuk sembuh semula sebelum memulakan semula perjalanan. 


Dalam perjalanan hidup, kita tak akan lepas dari dihalangi, dirintangi, dikhianati dan dilukai. Luka di jari tidakkan sembuh dengan serta merta selepas disapu ubat. Pastinya pedih yang tak tertanggung di kala luka itu masih baru. Dengan bantuan MASA barulah luka itu akan semakin sembuh. Begitulah juga dengan luka di hati, acap kali masa lah yang menjadi ubat yang paling mujarab.


Dan akan ada masa kita akan rasa kita lebih selesa untuk berdiam diri tanpa sebarang kata. Tanpa sebarang respon pada dunia. Mengasingkan diri dari kesibukan manusia mengejar dunia. Rasa sepi tu kadang-kadang lebih menenangkan.


Janganlah berduka,

Tidak mengapa untuk menyendiri…

Tidak mengapa untuk kata tidak…

Tidak mengapa untuk berpisah…

Tidak mengapa untuk meninggalkan…

Tidak mengapa untuk permulaan baru…


Pokoknya jangan menyiksa diri dengan bertahan dan berpura-pura OK. Jadilah diri sendiri. Semoga kebahagiaan milik semua.


Ciajuolah…



30 May 2025 (6:40 pm)

Gelugor, Pulau Pinang.

Monday, May 26, 2025

SOLAT SUNAT ISTIKHARAH - SEDIKIT TIPS

Bila kita merasa dilema, kita digalakkan untuk melakukan Solat Sunat Istikharah untuk memohon petunjuk untuk membantu kita membuat keputusan yang terbaik antara pilihan yang kita ada dan supaya kita merasa yakin dengan keputusan yang kita buat. 

Namun jika kita telah melakukan solat sunat Istikharah tetapi masih tidak mendapat apa-apa petunjuk, jangan berputus asa, teruskan la beristikharah dan yakinlah Allah S.W.T itu maha penyayang dan sentiasa akan membantu hambanya yang dalam kesusahan.

Namun janganlah kita mengharapkan perkara-perkara yang mustahil berlaku sebagai petunjuk yang diterima kerana kita bukanlah rasul yang mempunyai hubungan terus dengan Allah S.W.T. Kebiasaannya petunjuk yang diterima adalah seperti:

1. Gerak hati yang nekad & kuat untuk meninggalkan sesuatu pilihan.

2. Diberikan ilham.

3. Mimpi.

4. Dimudahkan urusan untuk pilihan yang baik dan disukarkan urusan untuk pilihan yang mudharat.


Bagi yang belum menerima petunjuk dan masih terus mencuba melakukan solat istikharah, boleh cuba amalkan amalan/tips berikut yang dikongsikan oleh seorang rakan saya. Nota ini sengaja saya simpan di dalam blog ini untuk rujukan saya sendiri juga dan semoga bermanfaat juga kepada semua yang membaca.

Amalan yang dicadangkan sebelum dan selepas solat Istikharah:

1. Mandilah bersih-bersih sebelum solat Maghrib niatkanlah Allah membersihkan diri zahir dan batin. Gugurkan segala dosa dan penyakit zahir dan batin.

2. Solat Magrib , lepas solat maghrib solat sunat baadiah, solat sunat taubat, solat sunat hajat

3. ⁠baca quran tunggu Isya

4. ⁠Masuk Isya - solat sunat Isya qabliah (sebelum), solat Isya dan kemudian (ba'diah) 

5. ⁠Solat  istiaqarah. Doa minta Allah beri pentunjuk yg jelas dan mudah difahami dgn tepat tak perlu kepada sebarang ta'wil, tafsir mimpi dan sebagainya.

6. Pastikan tempat tidur memang bersih dari sebarang najis.

7. ⁠Tidur dada mengiring mengadap qiblat

8. ⁠Jangan bercakap dgn sesiapa lagi, gadget dan telefon semua tolak tepi.

9. ⁠Pejam mata berzikirlah - Laiillahillah, lawawlawala... 

10. ⁠Terbangun akan dapat petunjuk samaada dapat petunjuk dalam mimpi atau hati kita tenang memilih keputusan A,B, atau C.


Ciajuolah...

27 May 2025 (2:45 pm)
Kajang