Nuffnang

Wednesday, June 24, 2026

THE FACULTY OF MINDS

Saja je aku guna tajuk ni sempena tajuk lagu yang aku tengah layan sekarang. Bukan aku nak cerita pasal kuasa luar biasa atau kebolehan mengawal minda orang macam Yuri dalam game Red Alert tu. Cuma pasal seni mempengaruhi orang lain dengan cara yang lebih positif.

Contohnya, kalau seseorang tu jarang bercakap dengan kita, jangan terus suruh dia lebih banyak bercakap. Sebaliknya, kitalah yang mulakan perbualan dan buka topik yang menarik.


Kalau ada orang yang muka sentiasa nampak serius, jangan pula kita suruh dia senyum. Kalau dia senyum pun mungkin sekadar memenuhi permintaan kita. Lebih baik kita buat lawak atau ceritakan sesuatu yang kelakar sampai dia senyum dan ketawa secara spontan. Teka teki lawak senjata paling simple.


Begitu juga kalau ada orang yang tak suka kita. Tak perlu sibuk menyuruh mereka mengubah pandangan terhadap kita. Apa yang kita boleh buat ialah terus menjadi seorang yang baik dan ikhlas. Kalau masih juga tak suka, diorang la yang bermasalah sebab tak suka kat orang baik.


Manusia masing-masing ada ego. Ada yang rendah, ada yang tinggi. Orang yang egonya tinggi biasanya kurang gemar diarahkan. Tak suka diarahkan senyum, tak suka diarah bercakap, tak suka diarah tidur awal, Tak suka diarahkan jaga makan.


Sebab itu, kalau kita pandai “memanipulasi” minda orang dalam konteks yang baik, kita akan cuba buat mereka merasakan idea yang kita mahu itu datang daripada mereka sendiri.


Contohnya, kalau kita tengah masak tapi cili dah habis. Instead of suruh pergi beli cili, cuba kata macam ni:


“Masakan ni tak pedas lah ye sebab cili dah habis.”


Buat dia fikir daripada makan makanan tak pedas baik aku pegi beli cili kejap.


Kalau sampai tahap tu berjaya dibuat, mungkin dah boleh lawan Yuri dalam Red Alert juga. 😁


Ciajuolah…

Rabu, 24 Jun 2026 (7:57 pm)

Kopeng, Jawa Tengah

Tuesday, June 23, 2026

GM Diet

Berat badan aku naik balik kebelakangan ni. Jadi untuk dapatkan hasil yang cepat, aku start GM Diet.

Ini bukan kali pertama aku mencuba GM Diet. Kali terakhir aku buat pada tahun 2018 dan berjaya menurunkan hampir 5 kg dalam masa seminggu. Cuma nak start GM diet ni bukan mudah, motivasi memang kena tinggi.

GM Diet ialah pelan pemakanan selama 7 hari:

  • Hari 1: Buah-buahan
  • Hari 2: Sayur-sayuran
  • Hari 3: Buah dan sayur
  • Hari 4: Pisang dan susu
  • Hari 5: Daging dan tomato
  • Hari 6: Daging dan sayur
  • Hari 7: Nasi perang, buah dan sayur

Aku suka diet ni sebab tempohnya pendek, seminggu je. Menunya pun mudah dan hasilnya cepat. Tapi cabaran sebenar bukan semasa berdiet, tetapi selepas berat badan dah turun. Kalau tak pandai jaga makan, berat yang hilang tu boleh datang balik dengan cepat jugak.

Harap-harap percubaan kali ini memberikan hasil yang sama macam tahun 2018, atau mungkin lebih baik lagi. 💪😁

Ciajuolah…


Selasa, 23 Jun 2026 (2:58pm)

Semarang, Indonesia.


Wednesday, June 17, 2026

SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM

Selamat menyambut Tahun Baharu 1 Muharram kepada semua. Semoga tahun ini dipenuhi dengan rezeki yang berkat, urusan yang dipermudahkan dan kenangan-kenangan indah yang akan kita ingat sampai bila-bila.

Hujung minggu lepas aku ajak kawan aku pergi hiking ke Gunung Berembun di Negeri Sembilan. Menariknya, lebih kurang 3 kilometer dari puncak gunung tu terdapat bangkai pesawat pengebom Liberator yang terhempas semasa Perang Dunia Kedua pada Ogos 1945.

Bangkai Enjin Liberator

Track ni sebenarnya lebih sesuai untuk pendaki kategori intermediate. Jadi, memang tak berapa sesuai untuk beginner macam aku. Awal-awal pendakian tu memang ada rasa menyesal jugak. Dalam hati asyik terfikir, "Kenapalah aku cari pasal panjat gunung macam ni waktu orang lain tengah bercuti dan berehat?"

Tapi bila dah sampai ke lokasi bangkai kapal terbang tu, tiba-tiba terdetik satu perkara dalam fikiran aku. Bukan semua orang berpeluang sampai ke tempat macam ni.

Ramai kawan-kawan seusia aku dah mula ada macam-macam masalah kesihatan. Ada yang lutut dah tak kuat, ada yang berat badan dah terlalu berlebihan, ada yang cepat penat walaupun berjalan tak jauh. Mungkin mereka dah tak ada peluang untuk sampai ke tempat seperti ini, walaupun duit dalam bank berjuta-juta.

Masa tu aku terfikir, kalau aku sekadar duduk di rumah dan menghabiskan masa scroll telefon, mungkin hari aku akan berlalu macam tu je. Tak ada pengalaman baru, tak ada cerita menarik yang boleh dikenang bila umur dah semakin meningkat nanti.

Sekurang-kurangnya, aku dah merasa sendiri macam mana azabnya mendaki gunung yang mencabar macam ni. Macam mana seramnya bila berjalan dalam hutan seorang diri bila hari makin gelap.

Azab

Sempena tahun baharu ini, aku berharap dapat kumpul lebih banyak pengalaman. Bukan semestinya pengalaman yang hebat-hebat atau mahal, tapi pengalaman yang membuatkan hidup ini terasa lebih bermakna.

Sebab aku percaya, satu hari nanti bila badan dah tak kuat dan diri dah sarat dengan macam-macam limitasi, aku tak mahu menyesal kerana tak cukup merasa betapa luasnya dunia.

Selagi masih diberi kesihatan dan kesempatan, eloklah kita keluar sikit daripada rutin harian dan cari pengalaman baru. Mana tahu, benda yang paling penat itulah yang akhirnya menjadi kenangan paling manis.

Kerana pada akhirnya, kehidupan bukan sekadar tentang berapa lama kita hidup, tetapi tentang apa yang sempat kita alami sepanjang perjalanan itu.

Ciajuolah...


Sabtu, 17 Jun 2026 (2:21 pm)

Kajang, Selangor.

Sunday, June 7, 2026

TELAH DITEMUI

 

Alhamdulillah. Beliau telah ditemui. Dan yang penting dalam keadaan selamat. Satu pengalaman yang paling diingat sepanjang riwayat hidupnya. Semoga cepat sembuh seperti selalu dan mandapat pengajaran dari apa yang berlaku.
Apa yang dikatakan oleh netizen, Biaq Pi saja. Dapatkan nasihat dari yang ahli, tingkatkan ilmu dan jalan terus.

Ciajuolah…

Ahad, 7 Jun 2026 (10:27 am)
Kg Sungai Jurong, Slim River, Perak.

Tuesday, June 2, 2026

KES KEHILANGAN PENDAKI JASLINDA SALUDIN

 


Aku mengikuti rapat kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih, Tapah. Banyak juga tempat yang bernama Batu Putih rupanya. Ada Bukit Batu Putih di Port Dickson, ada Pulau Batu Putih di Singapura, dan sekarang Gunung Batu Putih pula menjadi perhatian seluruh negara.

Hari ini (2 Jun 2026) merupakan hari ke-10 beliau dilaporkan hilang. Setakat yang aku tahu, kes kehilangan dalam hutan yang paling lama melibatkan tujuh kanak-kanak Orang Asli dari Pos Tohoi pada tahun 2015, iaitu selama 47 hari. Kes kedua ialah kehilangan Umaisarah pada tahun 2008 yang ditemui selepas 19 hari. Ada juga kes yang sehingga hari ini masih belum menemui jawapan seperti kes Acap.

Aku berharap kehilangan Jaslinda tidak akan memecahkan rekod kedua-dua kes tersebut. Lebih daripada itu, aku berharap beliau ditemui dalam keadaan selamat dan dapat kembali kepada keluarganya.

Aktiviti hiking bukanlah satu kesalahan. Dan aku percaya tiada siapa yang keluar mendaki dengan niat untuk menghilangkan diri atau menyusahkan orang lain. Namun, aku melihat banyak komen di media sosial yang menyalahkan beliau, mengatakan beliau degil dan sebagainya.

Ya, mungkin ada kesilapan dalam keputusan yang dibuat. Tetapi aku tidak rasa beliau berniat untuk menyusahkan sesiapa. Jika benar beliau mengambil keputusan untuk bergerak sendiri kerana tidak mahu menyusahkan rakannya yang menumpangkan kenderaan, itu hanyalah satu keputusan yang malang, bukannya satu niat yang jahat.

Apa yang menarik perhatian aku hari ini ialah apabila pesawat helikopter terbesar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), iaitu Mi-17 buatan Rusia, dikerahkan untuk membantu operasi Search and Rescue (SAR) bagi mencari Jaslinda.

Pesawat Mi-17 JBPM

Aku terbaca banyak komen negatif yang mengatakan penggunaan helikopter tersebut merupakan pembaziran aset negara dan operasi ini menyusahkan pasukan SAR. Entahlah. Aku tidak rasa anggota SAR menganggap tugas yang diamanahkan kepada mereka sebagai satu beban. Malah, aku percaya ramai dalam kalangan mereka lebih bersemangat apabila dapat menjalankan operasi sebenar berbanding sekadar menunggu tanpa sebarang tugasan.

Aku sendiri yang hanya sekali-sekala pergi hiking pun terasa teruja mengikuti perkembangan operasi ini. Dalam hati terlintas juga, manalah tahu kalau dapat turut serta dan menjadi orang yang menemui mangsa.

Aku terbayangkan perasaan pilot helikopter tersebut. Mungkin dia berasa bangga, bersemangat dan teruja kerana dapat terlibat dalam satu misi yang penting seperti ini. Mana tidaknya, kali terakhir helikopter itu digunakan dalam operasi besar mungkin ketika kebakaran tanah gambut di Pengerang pada awal tahun dahulu. Selain itu, kebanyakan tugas yang dilaksanakan mungkin sekadar rondaan, penghantaran bekalan bantuan, operasi banjir atau tugasan rutin yang lain.

Tetapi kali ini berbeza.

Misinya lebih mencabar. Risiko dan tekanannya juga lebih tinggi. Tambahan pula, seluruh negara sedang mengikuti perkembangan operasi ini.

Bayangkan jika Jaslinda berjaya ditemui dan helikopter tersebut ditugaskan membawa beliau keluar ke kawasan selamat. Bukankah itu akan menjadi satu detik yang sangat bermakna buat pilot dan seluruh kru yang terlibat? Mungkin bertahun-tahun kemudian, kisah itu masih akan diceritakan kepada anak-anak dan cucu mereka sebagai antara pengalaman paling berharga sepanjang perkhidmatan.

Kadang-kadang kita melihat sesuatu operasi hanya dari sudut kos dan kesukaran. Tetapi bagi mereka yang memilih kerjaya untuk menyelamatkan nyawa orang lain, inilah saat-saat yang memberikan makna kepada segala latihan, pengalaman dan pengorbanan yang telah mereka lalui selama ini.


Ciajoulah...
Selasa, 2 Jun 2026 (12:36 pm)
Kajang, Selangor.



KALAU NAK ORANG SUKA KAT KITA

Kalau nak orang suka kepada kita, kenalah tahu apa yang dia suka. Orang yang macam mana yang dia suka? Cubalah untuk menjadi orang tersebut.

Ya, bukan mudah untuk mengubah diri. Dan bukankah lebih baik jika kita menjadi diri sendiri? Betul. Tetapi kita juga perlu ingat bahawa dalam hidup ini kita sentiasa berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik. Jika perkara yang dia suka itu tidak ada pada diri kita, tetapi boleh menjadikan kita seorang yang lebih baik, mungkin ada baiknya kita berusaha ke arah itu.

Contohnya, jika dia suka berbincang tentang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, sedangkan kita lebih gemar mengikuti gosip artis atau skandal rumah tangga orang lain. Mungkin kita boleh mula mengubah bahan bacaan kita kepada sesuatu yang lebih ilmiah. Dengan itu, kita boleh bertukar pandangan, berkongsi idea dan berbual tentang perkara yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Contoh lain, jika dia seorang yang menjaga kesihatan sedangkan kita pula berada dalam kategori obesiti. Mungkin kita boleh mula berusaha untuk menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan. Bukankah itu satu perubahan yang baik untuk diri kita sendiri?

Ataupun, jika apa yang diminatinya itu tidak begitu kena dengan jiwa kita, tetapi pada masa yang sama tidak menjadikan kita lebih baik atau lebih buruk. Contohnya, dia suka memancing tetapi kita memang tidak minat memancing. Dipaksa macam mana sekalipun, tetap tidak boleh suka.

Sekurang-kurangnya cubalah untuk memahami minatnya itu. Berilah dia masa dan ruang untuk menikmati hobinya. Lebih baik lagi jika kita mengambil tahu sedikit sebanyak tentang dunia memancing — jenis-jenis ikan, jenis umpan, teknik memancing atau apa sahaja yang boleh dijadikan modal untuk bersembang dengannya.

Namun, semua ini tidak menjamin seratus peratus bahawa dia akan menyukai kita. Tetapi sekurang-kurangnya, peluang itu menjadi lebih cerah.


Ciajuolah...

Selasa, 2 Jun 2026 (11:45am)

Kajang, Selangor.

Friday, May 29, 2026

BIAQ PI

 

Baru-baru ini aku menonton di Youtube wawancara Podcast Keluar Sekejap bersama Toh Puan Naimah, balu kepada Tun Daim Zainudin dalam Episod 177. Banyak perkara menarik yang dibincangkan, tetapi ada satu ungkapan yang paling melekat dalam fikiran aku sehingga hari ini.

"Biaq Pi."

Ringkas, tetapi cukup mendalam maknanya.

Selagi kita tahu apa yang kita buat tak salah, tak menzalimi orang lain, dan kita yakin dengan tindakan kita, maka "biaq pi" sajalah apa yang orang nak kata.

Hakikatnya, mulut manusia memang kita tak boleh kawal.

Aku teringat satu analogi tentang seorang ayah, anaknya dan seekor unta. Jika kedua-duanya menaiki unta, orang akan kata mereka menganiaya unta. Jika kedua-duanya berjalan kaki sambil menarik unta, orang akan kata mereka bodoh kerana ada unta tetapi tidak menggunakannya.

Jika si ayah menaiki unta seorang diri, orang akan kata dia tidak sayangkan anak. Jika si anak pula yang menaiki unta, orang akan kata anak itu derhaka kerana membiarkan orang tuanya berjalan kaki.

Pendek kata, apa sahaja yang dilakukan pasti ada orang yang tidak puas hati dan ada je teori konspirasi yang diciptakan.

Sebab itu aku percaya hidup ini tak boleh bergantung kepada penilaian manusia semata-mata. kalau kita asyik memikirkan apa yang orang akan kata, kita tak akan bergerak ke mana-mana.

Kita akan sentiasa tak ada keyakinan, sentiasa cuba memuaskan hati semua orang, sedangkan perkara tu mustahil untuk dicapai.

Kita boleh terima teguran yang membina, tetapi jangan terlalu memikirkan cakap-cakap dan teori konspirasi yang orang ciptakan tentang kita.

Jadi, banyakkan ilmu agama, ilmu hidup, guna logik akal sebaiknya. Pegang pada prinsip, nilai dan keyakinan diri. Lakukanlah apa yang kita yakin betul selebihnya, biaq pi!! lah apa orang nak kata.

Ciajuolah...
Jumaat, 29 Mei 2026 (10:23pm)
Kajang, Selangor.

Tuesday, May 26, 2026

KITA JAGA KITA

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan isu pembelian Naval Strike Missile (NSM) dari Norway yang dikatakan tidak dapat dieksport ke Malaysia walaupun pembayaran telah hampir selesai, malah ada laporan menyatakan sehingga 95% pembayaran telah dibuat. Isu seperti ini sepatutnya membuka mata banyak pihak tentang satu perkara yang sangat besar — betapa tingginya kebergantungan Malaysia terhadap teknologi luar, khususnya dalam industri pertahanan.

Bila kita terlalu bergantung kepada negara luar, kita sebenarnya menyerahkan sebahagian daripada keselamatan negara ke tangan orang lain.

Hari ini mereka boleh menjual. Esok mereka boleh menolak. Lusa mereka boleh mengenakan syarat baru.

Dalam dunia pertahanan, perkara seperti ini bukan sekadar urusan perniagaan. Ia melibatkan kedaulatan negara.

Ramai mungkin melihat isu ini sekadar kelewatan penghantaran aset atau masalah geopolitik biasa. Tetapi hakikatnya, ini hanyalah satu daripada banyak risiko yang bakal kita hadapi jika Malaysia terus bergantung sepenuhnya kepada teknologi pertahanan luar negara.

Apa jaminan bahawa sistem yang dibekalkan benar-benar bebas daripada “hidden access”, bugs atau backdoor yang sengaja diletakkan oleh pengeluar?

Dalam dunia teknologi moden, peperangan bukan lagi sekadar peluru dan misil. Perang hari ini melibatkan data, software, network dan remote access. Peralatan yang nampak canggih di luar mungkin sebenarnya boleh dikawal, dimatikan atau dipantau oleh pihak tertentu tanpa kita sedar.

Ini bukan teori konspirasi. Ini realiti dunia teknologi.

Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia memahami perkara ini sebab itu mereka membangunkan sendiri sebahagian besar teknologi strategik mereka. Mereka mungkin masih membeli dari luar untuk perkara tertentu, tetapi aset-aset kritikal negara tetap dibina dan dikawal sendiri.

Sebab mereka tahu, bila berlaku konflik sebenar, setiap negara akan menjaga kepentingan negara masing-masing dahulu.

OEM luar negara tidak mempunyai semangat patriotisme terhadap Malaysia. Mereka bergerak atas dasar bisnes, polisi kerajaan mereka dan kepentingan geopolitik negara mereka sendiri. Hari ini mereka boleh tersenyum semasa menandatangani kontrak. Tetapi bila keadaan dunia berubah, belum tentu mereka akan bersama kita.

Kalau berlaku peperangan atau konflik besar, jangan terlalu yakin negara pembekal akan datang membantu. Kemungkinan besar mereka hanya akan memerhati dari jauh sambil menjaga kepentingan mereka sendiri.

Tetapi rakyat tempatan berbeza.

Jurutera tempatan, saintis tempatan, industri tempatan — mereka membina untuk tanah air mereka sendiri. Mereka ada rasa memiliki. Mereka mahu negara mereka kuat. Mereka mahu teknologi mereka berjaya.

Sebab itu sudah tiba masanya Malaysia benar-benar serius membangunkan keupayaan tempatan dalam industri pertahanan.

Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu realistik.

Tidak mungkin kita yang baru bermula boleh terus menghasilkan teknologi setanding negara-negara maju yang telah membangunkan industri mereka puluhan tahun lebih awal.

Kita perlu bermula dari bawah.

Bina dahulu sistem asas. Gunakan dalam operasi sebenar. Dapatkan feedback pengguna. Perbaiki kelemahan. Upgrade sedikit demi sedikit. Ulang proses itu berkali-kali sehingga teknologi tersebut matang.

Begitulah sebenarnya semua negara maju membangunkan industri mereka.

Tiada siapa terus hebat pada hari pertama.

Apa yang penting ialah konsistensi dan sokongan jangka panjang daripada kerajaan.

Kerajaan juga perlu benar-benar mengenalpasti pemain industri tempatan yang mempunyai keupayaan sebenar, bukan sekadar pandai membuat presentation atau menjadi orang tengah semata-mata. Industri pertahanan bukan tempat untuk eksperimen politik atau projek syok sendiri. Ia melibatkan keselamatan negara.

Sebenarnya Malaysia sudah mula mempunyai beberapa pembangunan teknologi tempatan dalam bidang pertahanan. Itu petanda yang baik. Tetapi kita masih terlalu jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain yang telah lama membangunkan ekosistem industri pertahanan mereka.

Perjalanan kita masih panjang.

Dan perkara ini bukan hanya terhad kepada industri pertahanan sahaja.

Makanan, telekomunikasi, perubatan, teknologi digital dan pelbagai sektor strategik lain juga perlu mula mengurangkan kebergantungan kepada luar. Pandemik COVID-19 dahulu sudah mengajar kita betapa rapuhnya keadaan apabila rantaian bekalan dunia terganggu.

Sebab itu slogan “Kita Jaga Kita” sepatutnya tidak terhenti ketika musim COVID-19 sahaja.

Ia sepatutnya menjadi prinsip nasional.

Kita jaga ekonomi kita.
Kita jaga teknologi kita.
Kita jaga keselamatan kita.
Kita bangunkan kepakaran kita sendiri.

Sebab kalau bukan kita jaga kita, siapa lagi

Ciajuolah...

Selasa 26 Mei 2026 (10:43 am)
Kajang, Selangor

Friday, May 15, 2026

BILA LELAKI MULA DIAM

Bila lelaki tiba-tiba diam... berilah perhatian.

Bila lelaki berhenti bagi penjelasan... beri lebih perhatian.

kerana itu bukan bermaksud dia mengalah, bukanlah dia telah bersetuju.

Itu adalah lelaki yang merasa kamu tidak lagi berbaloi untuk dibantah.

Dia dah habis usaha.

Dia dah habis perkataan.

Segagah mana pun lelaki pasti akan merasa penat.

Dan dia jumpa ketenangan dari diamnya.

Kamu akan kata dia dingin.

Dia akan berhenti menegur.

Dia lepaskan harapannya.

Dia diam.

Dia tidak mengalah.

Dia hanya sedar.

Berbalah tidak berbaloi.

Ciajuolah...


Jumaat, 15 Mei 2026 (10:54 pm)

Kajang, Selangor

Wednesday, May 13, 2026

JADI DIRI SENDIRI

 

Kadang-kadang aku perasan ramai orang suka berkongsi posting daripada page motivasi, quote orang lain, atau pandangan individu tertentu.
Itu sebenarnya satu perkara yang baik. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan kita rajin membaca, mendengar dan mencari bahan yang berkualiti untuk memperbaiki diri.

Tetapi pada masa yang sama, aku juga melihat ramai yang sekadar “share” sahaja. Seolah-olah apa yang dibaca itu diterima bulat-bulat tanpa benar-benar dihadam atau difikirkan semula. Akhirnya kita jadi sekadar tukang angguk - setuju, kongsi, kemudian lupa.

Bagi aku, apa yang kita baca sepatutnya membentuk cara kita berfikir dan membina pendirian diri sendiri. Kalau sesuatu tulisan itu benar-benar memberi kesan kepada kita, cuba luahkan semula dalam gaya dan nada kita sendiri. Lagi baik kalau kita mampu gabungkan daripada beberapa bacaan, kemudian buat rumusan atau ulasan berdasarkan pemahaman sendiri, sama ada melalui tulisan, video, podcast ataupun perbualan harian.

Di situlah sebenarnya nilai ilmu itu mula nampak.

Sebab bila kita hanya membaca, setuju dan terus “forward”, aku selalu tertanya-tanya… adakah kita benar-benar faham apa yang kita baca? Atau kita cuma rasa ia nampak bijak lalu terus dikongsi? Bila sumber asal itu hilang, kita sendiri pun tak mampu nak huraikan semula kerana sebenarnya ilmu itu tidak benar-benar “masuk” dalam diri.

Ilmu yang dihadam akan keluar semula dalam bentuk pendapat, gaya bahasa dan pemikiran kita sendiri. Dari situlah orang boleh nampak identiti dan pendirian seseorang.

Perkara yang sama juga berlaku pada ucapan seperti Selamat Hari Raya atau Hari Jadi. Ramai yang lebih selesa copy paste ayat orang lain. Tidak salah, tetapi secara peribadi aku lebih suka menulis sendiri apa yang ada dalam hati. Walaupun ringkas dan tidak sempurna, aku rasa ia lebih ikhlas kerana ia datang daripada diri sendiri, bukan sekadar ayat yang di-forward.

Kadang-kadang ayat yang sederhana tetapi lahir daripada hati sendiri jauh lebih bermakna kepada penerima berbanding ayat yang terlalu cantik tetapi terasa kosong. Orang boleh rasa sama ada sesuatu itu benar-benar datang daripada diri kita atau sekadar salinan daripada orang lain.

Mungkin ada yang kata, “Aku tak pandai susun ayat.”

Sebenarnya bila kita sedar kelemahan diri, itu sudah langkah pertama yang baik. Tetapi persoalannya, apa usaha kita untuk memperbaikinya? Kalau tidak pernah cuba menulis, bercakap atau meluahkan pendapat sendiri, sampai bila-bila pun kelemahan itu akan kekal di situ.

Tak perlu tunggu sempurna untuk mula.

Walaupun ayat kita tidak cantik, tidak tersusun atau nampak biasa-biasa, kalau itu hasil daripada diri sendiri, ia tetap lebih bernilai. Sama seperti kad hari jadi yang dilukis sendiri oleh anak kita, (Macam dalam gambar thumbnail post ni) mungkin tidak kemas, mungkin tulisan senget-senget, tetapi nilainya sangat besar kerana ada usaha, ada hati dan ada diri mereka di situ.

Bandingkan dengan kad yang cantik dibeli di kedai lengkap dengan ayat-ayat indah. Cantik memang cantik, tetapi yang mana satu sebenarnya lebih menyentuh hati?

Bagi aku, jawapannya mudah.
Aku lebih menghargai sesuatu yang lahir daripada jiwa seseorang, walaupun sederhana, daripada sesuatu yang sempurna tetapi tidak benar-benar mewakili dirinya sendiri.


Ciajoulah...

Rabu, 13 Mei 2026 (1:27 pm)

Kajang, Selangor


“YE BANG”

 

Aku tak pernah perlukan seorang isteri yang sempurna.

Aku cuma sangat berharap, bila aku bercakap… jawapannya lembut dan ikhlas:

“Ye bang…”

Bagi sesetengah orang, itu cuma dua perkataan kecil.

Tapi bagi seorang lelaki yang memikul tanggungjawab, memendam penat, cuba menjadi pelindung dan pemimpin keluarga. dua perkataan itu sangat besar maknanya.

Ia bukan tentang menjadi hamba kepada suami.

Ia tentang memberi rasa dihormati.

Ramai orang fikir lelaki hanya perlukan makanan, layanan atau keperluan fizikal.

Tidak.

Kadang-kadang lelaki hanya mahu rasa dirinya diterima sebagai seorang suami.

Didengari.

Dihormati.

Tidak dicabar setiap kali bersuara.

Percayalah…

Bila seorang isteri bercakap lembut kepada suaminya, lelaki itu akan lebih kuat menghadapi dunia di luar.

“Ye bang” bukan tanda kalah.

Kadang-kadang ia tanda cinta.

Dan lelaki yang dihormati dengan ikhlas, selalunya akan lebih mudah untuk menyayangi dengan sepenuh hati.

Ciajuolah…

Rabu, 13 Mei 2026 (9:47 am)

Kajang 2, selangor

Friday, May 8, 2026

PENGHINAAN

 

Pernahkah korang merasa dihina dan terasa dihina? Blog ni aku tulis untuk berkongsi pengalaman buruk - dihina. Kalau korang ada pengalaman yang nak dikongsikan silalah kongsi di ruangan komen.

Semasa tingkatan satu aku sekolah sesi petang. Waktu tu aku memang selekeh, baju sekolah dah tak putih sangat macam orang lain, seluar pulak singkat sebab aku cepat sangat tinggi, rambut pulak tak pernah berminyak, bila kering jadi kusut masai. Boleh tengok dekat gambar tu yang paling selekeh tu lah aku.

Walaupun begitu, bukan nak berbangga tapi aku memang salah seorang pelajar yang berpotensi di sekolah. semasa tingkatan tiga, aku dipilih menyertai program pelajar harapan sekolah yang memerlukan aku duduk di asrama selama seminggu untuk memudahkan aku masuk tuisyen petang dan malam yang dibuat oleh pihak sekolah. Untuk program tu, aku sekolah kenakan bayaran murah je RM12.

Aku memang jenis tak suka duduk di asrama, cikgu pulak pilih tak ada tanya aku setuju atau tidak. Jadi, aku pun bagitau cikgu kelas aku.

 "Cikgu, saya taknak join program tu".

"Kenapa?" Tanya cikgu.

Alamak aku tak prepare pun nak jawab soalan tu sebenarnya. Aku tak ada jawapan yang bernas untuk soalan tu.

"Saya tak ada duit cikgu". jawab aku walaupun aku tau alasan aku tu tak bernas langsung dan ditolak mentah-mentah oleh cikgu. Takkan la RM12 pun mak ayah tak boleh nak bagi. tak logik langsung.

Petang tu ntah macam mana, aku dapat surat dari seseorang yang sampai hari ni aku tak tau siapa. dalam surat tu ada RM12 dan dia minta aku join program tu. Aku pasti surat tu bukan dari cikgu tetapi dari pelajar juga, dan dari tulisan dan sampul surat tu aku yakin itu budak perempuan. Aku bukak surat tu depan kawan-kawan (semua lelaki), so ramai la yang tau pasal surat tu dan kata aku ada secret admirer.

Lepas tu adalah salah sorang kawan lelaki aku ni pergi compare tulisan surat tu dengan salah sorang classmate aku yang perempuan. Budak tu antara budak perempuan yang hot di sekolah. Budak tu punyalah naik berang dekat aku dan kawan aku tu. sebab dia ingat aku syak dia yang hantar surat tu. sedangkan kawan aku tu yang memandai-mandai pergi compare dengan tulisan dia tanpa aku suruh pun. Teruk aku kena maki dan dihina dengan budak pompuan tu. antara ayat dia yang aku ingat sampai sekarang.

"Ngko ingat aku nak sangat ke kat dia? muka macam sakai, tak hingin aku la."

Gara-gara orang lain ingat dia secret admirer aku. 

Satu lagi kisah masa aku tingkatan satu aku naik bas balik sekolah. Dalam bas tu aku duduk dengan kawan aku yang selekeh sama level dengan aku jugak. Bila dua budak selekeh duduk sebelah-sebelah, maka keselekehan itu makin menyerlah. Kemudian aku dengar, ada dua orang kakak yang duduk di seat belakang baris sebelah bercakap dengan kawan dia kat sebelah.

"Weh, tu tengok tu adik-adik ngko" lepas tu gelak-gelak. 

"Ish, ngko ni". kata kawan dia.

Mungkin diorang ingat aku tak dengar, tapi aku memang dengar dengan jelas. 

Ada banyak lagi kisah sebenarnya, sebab masa aku kecik dulu memang aku sentiasa merasa rendah diri dan hina mungkin sebab aku memang selalu dihina. Apapun itu hanyalah pengalaman, dan aku tak salahkan diorang pun sebab aku memang akui aku ni selekeh dulu.

Ciajuolah...

Jumaat 8 Mei 2026 (12:59 am)
Kg Pulau, Labu Hilir,
Negeri Sembilan

Saturday, May 2, 2026

SELAMAT HARI PEKERJA

Selamat Hari Pekerja untuk semua yang tak pernah berhenti berusaha, walau apa pun kerja kita — besar atau kecil, tetap ada nilai dan pengorbanannya.

Bila fikir balik, perjalanan aku dengan “kerja” ni sebenarnya bermula awal… sejak tingkatan satu lagi. Waktu tu sekolah petang, jadi pagi aku isi dengan jaga anak orang. Bukan orang lain pun, anak sepupu sendiri. Upah? RM1 sehari je. Kalau nak dibandingkan dengan sekarang, memang nampak kecil sangat. Tapi itulah titik mula.

Cuma masa tu, jujur cakap… aku belum faham lagi apa maksud sebenar bekerja. Otak masih nak bermain, belum ada rasa tanggungjawab atau kesungguhan nak cari duit. Buat kerja pun sekadar buat, bukan dengan hati yang betul-betul ikhlas.

Masuk fasa universiti, barulah perspektif tu mula berubah. Masa cuti semester, aku ambil peluang kerja di kedai RM2. Dua cuti semester, dua kedai berbeza. Kerja pun bukanlah glamor — susun barang, layan pelanggan, kira stok. Tapi dari situ, aku mula faham nilai usaha dan penat lelah cari rezeki sendiri.

Yang paling penting, masa tu niat dah lain. Bukan sekadar isi masa lapang, tapi nak rasa sendiri bagaimana hasil titik peluh tu boleh bagi sesuatu kepada mak dan ayah. Walaupun tak seberapa, ada satu kepuasan yang susah nak cerita bila dapat hulur duit hasil kerja sendiri.

Selepas tamat belajar, aku tak terus tinggalkan universiti. Aku sambung sebagai research officer. Bunyi macam hebat, buat research… tapi dalam hati aku rasa lain. Aku mula rasa knowledge aku tak berkembang sangat, dan kerja aku macam tak ada impak besar — sama ada kepada masyarakat atau negara. Dalam masa yang sama, aku tengok rakan-rakan lain dah melangkah jauh dalam dunia industri. Gaji diorang lebih tinggi, exposure lebih luas, dan paling ketara — ilmu baru yang diorang dapat.

Setiap kali bersembang, aku rasa sedikit ketinggalan. Susah nak “masuk line” sebab mentaliti aku masa tu masih macam seorang student, belum betul-betul beralih kepada dunia kerja sebenar.

Sebelum habis master, aku buat keputusan untuk masuk ke sektor swasta — tempat aku bekerja sampai sekarang. Di situlah sebenarnya aku mula betul-betul belajar. Ilmu yang aku kutip di universiti akhirnya ada tempat untuk diaplikasikan. Tapi dalam masa yang sama, aku sedar… apa yang aku tahu masih terlalu sedikit.

Masih banyak lagi yang perlu aku belajar.

Bezanya sekarang, aku seronok dengan apa yang aku buat. Kerja aku bukan sekadar kerja — tapi dah jadi sebahagian daripada minat dan hobi aku sendiri.

Cuma kadang-kadang terfikir juga… sampai bila aku nak terus bekerja?

Mungkin sampai satu hari nanti khidmat aku tak diperlukan lagi. Atau mungkin sampai aku ada sumber pendapatan pasif yang cukup untuk hidup tanpa perlu bekerja seperti sekarang.

Apa pun jalannya nanti, perjalanan ini tetap bermakna.

Akhir kata, selamat Hari Pekerja buat semua pekerja di seluruh dunia. Gunakan masa cuti ini untuk berehat, cas semula tenaga, sebelum kita sambung semula perjuangan mencari rezeki hari Isnin nanti.

Ciajuolah...


Sabtu, 2 May 2026 (12:37 pm)

Kajang, Selangor

Thursday, April 23, 2026

GAMBAR RAYA BUAT KENANGAN

Gambar-gambar raya aku letak di sini sebagai kenangan:

Sehari sebelum Raya - Bakar lemang

Raya Pertama - Raya Sorang

Raya Pertama - Bergambar dengan family

Raya Pertama - Makan Pizza dengan anak- anak jantan dan Maknye

Raya Kedua - Lepak Sungai

Raya Ketiga - Beraya dengan anak-anak perempuan dengan Mamanye

Raya Keempat - Raya di perjalanan

Raya Kelima - Ke Sungai Besar

Raya keenam - Ke Melaka

Raya ketujuh - Ke Port Dickson/Sepang

Ciajuolah...


Khamis
24 April 2026 (12:36 am)
Mont Kiara, Kuala Lumpur

Tuesday, March 31, 2026

7 PERKARA BUAT KITA BAHAGIA

 

1 - JANGAN PERNAH MEMBENCI
Siapa kita untuk membenci orang lain sedangkan semua ciptaan Allah S.W.T itu sempurna belaka. Membenci hanya akan membuat kita rasa terluka dan marah dan seterusnya merasa tidak bahagia. Hilangkanlah segala kebencian dan kemarahan dalam diri dengan memaafkan semua orang. InsyaAllah diri kita akan merasa lebih bahagia.

2 - JANGAN RISAU
Mengapa perlu risau jika segalanya telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T? Yang akan terjadi tetap akan terjadi. Risau tidak akan menyelesaikan apa-apa. Berusahalah menjadi sebaik-baik manusia, berusahalah sebaik mungkin dan bertawakkallah kepada Allah. InsyaAllah kebahagiaan akan jadi milik kita jika tidak di dunia, di akhirat nanti.

3 - HIDUP BERSEDERHANA
Lebih banyak yang kita kejar lebih banyak kita akan stress dan lebih mudah kita akan merasa kecewa. Fokus kepada perkara yang betul-betul penting sahaja - Tuhan, Kasih sayang dan orang-orang yang menyayangi kita.

4 - JANGAN TERLALU BERHARAP

Jangan berharap terlalu tinggi kerana lagi tinggi harapan kita lagi hebat kekecewaan apabila tidak tercapai. Sentiasa bersyukur dengan setiap kurniaan Allah pada kita sama ada kecil atau besar. Bersyukur membuat kita lebih bahagia.


5 - SENTIASA MEMBERI

Jadilah pemurah terhadap semua orang. tidak semestinya memberi harta berharga, boleh juga memberikan masa, kebaikan, kasih sayang. Percayalah, lebih banyak memberi membuatkan diri kita lebih kaya bukan lebih miskin.


6 - SENTIASA TERSENYUM

Senyuman adalah percuma. Dengan tersenyum hari kita akan lebih ceria malah orang lain yang melihat senyuman kita akan turut merasa bahagia. Tak kisahlah apa sahaja ujian yang datang, bersabar dan senyumlah. Fikirkanlah penyelesaiannya dengan tenang.


7 - SENTIASA MENGINGATI ALLAH S.W.T

Apa sahaja yang kita lakukan, lakukanlah kerana Allah S.W.T. Serahkan segala usaha kita kepada Allah S.W.T. kerana Allah S.W.T maha berkuasa dan hanya Dia boleh memberi kejayaan kepada kita. Kita akan menjadi lebih tenang dan kuat dalam apa jua yang kita lakukan.


Semoga semua yang membaca blog ini dikurniakan kebahagiaan. Jika anda rasa entry ini membantu, ringankanlah jari menaip komen. Semoga komen anda membawa kebahagiaan kepada saya juga.


Ciajuolah...

31 March 2026 (11:37 pm)

Labu, Negeri Sembilan

Thursday, March 26, 2026

PELABURAN EMAS



Suatu masa dahulu aku sendiri tak terbuka mata tentang pelaburan emas ni. Pada aku kalau harga emas naik pun berapa ringgit sangat lepas tu nanti pasti akan turun juga.


Sebenarnya harga emas sentiasa meningkat walaupun adakalanya harganya turun tetapi untuk jangkamasa panjang harganya meningkat.

Peningkatan harga emas setiap tahun

Harga Emas 5 tahun terkini

Bayangkan harga emas pada 2020 sekitar rm216/g pada tahun 2025 harga emas adalah rm418/g kan dah untung rm202 jika kita menyimpan 1g. Kalau ada 10g, darablah 10.


Kesedaran pelaburan emas ni aku dapat bila ke cawangan public gold untuk mengaktifkan semula akaun yang dah dorman. Waktu tu harga emas sekitar rm490/g (Ogos 2025) Untuk mengaktifkan semula akaun aku perlu membeli emas sekurang-kurangnya rm100. Waktu tu aku teragak-agak nak beli rm100 atau 10g (RM4900). Akhirnya aku membuat keputusan untuk beli RM100 dulu. Sejak tu aku mengikuti harga emas semasa. Dan dari situlah aku tahu lajunya harga emas ni meningkat. Dalam masa sebulan harga emas dah jadi RM650/g. Masa tu mula menyesal sebab tak beli 10g hari tu. kalau tidak aku dah untung rm1500.


Kesimpulan yang aku dapat ialah jika kita ada duit simpanan dalam bank RM5000, dalam beberapa tahun nilainya masih lagi RM5000 malah kuasa membelinya mungkin telah berkurangan. Tetapi jika simpanan RM5000 itu ditukar kepada emas, dalam beberapa tahun ia akan menjadi harta bernilai RM7000 - RM8000. 


Kerana sering bertanya dan bersembang tentang emas maka ramailah kawan-kawan yang memberi info tentang pelaburan emas ada bermacam-macam cara. Yang ni aku akan huraikan di post yang akan datang.


Jika ada yang inginkan khidmat nasihat percuma tentang emas boleh letakkan nombor telefon atau email di ruangan komen. InsyaAllah saya akan kongsikan segala yang saya tahu sebagai seorang sahabat. 


Ciajuolah…


26 March 2026 (1:45 pm)

Kg Sungai Bil, Perak