Nuffnang

Friday, July 24, 2026

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Kalau tengok di media sosial hari ni, pasti kita akan jumpa komen menghina dan membodohkan orang lain walaupun tak kenal satu sama lain. Makian diucapkan seolah-olah itulah budaya kita di Malaysia ni.


Kita selalu sibuk mempertahankan Rukun Negara nombor 1, 2, 3 dan 4. Berdebat panjang tentang kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.


Tapi kita terlupa rukun negara ke-5.


Kesopanan dan Kesusilaan.


Tak siapa peduli.


Sedih bila tengok ada orang membodohkan orang lain tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ada yang datang kononnya menegur, tapi bahasa dan caranya tetap kasar. Yang lain pula bersorak, menyokong dan menambah lagi makian.


Astaghfirullah…


Kadang-kadang kita terlupa, komen yang kita tulis tu bukan hilang selepas beberapa minit. Ia kekal kat situ. Hari ini orang baca, esok orang baca, tahun depan pun mungkin masih ada orang baca.


Setiap kali orang baca, setiap kali itulah kata-kata kesat itu terulang. Tak pasti dari segi hukum, tapi jangan sampai ada dosa yang berterusan hanya kerana beberapa baris ayat yang ditaip tanpa berfikir panjang.


Yang lebih menyedihkan, kebanyakan yang saya lihat berperangai begini ialah orang Melayu kita sendiri. Saya bukan kata semua, tetapi jumlahnya cukup ramai untuk membuatkan saya berfikir.


Macam mana kita nak harapkan bangsa lain menghormati kita kalau sesama sendiri pun budaya menghina dan merendahkan orang lain dijadikan budaya? 


Ya, ia dah jadi budaya. Sebab tu ia datang secara automatik bila nampak komen yang kita tak setuju, dan tak ada rasa bersalah lagi di hati untuk menaip hinaan dan merendahkan orang lain.


Berbeza pendapat tu perkara biasa. Tak bersetuju pun tak apa. Tetapi kita masih boleh memilih untuk bercakap dengan sopan. Kita masih boleh berhujah tanpa menghina. Kita masih boleh menegur tanpa menjatuhkan maruah orang lain.


Saya menulis bukan kerana saya rasa diri ini lebih baik daripada orang lain. Saya pun banyak kekurangan dan masih belajar menjaga lidah serta jari sendiri.


Sekadar peringatan untuk diri saya terlebih dahulu, dan kalau ada yang sudi mengambil manfaat, Alhamdulillah.


Semoga kita semua lebih berhati-hati sebelum menekan butang “Post” atau “Reply”. Kerana kadang-kadang, satu ayat yang ditaip hanya mengambil masa beberapa saat, tetapi kesannya boleh dibawa sampai ke akhirat.


Sesungguhnya segala yang baik itu datang daripada Allah SWT, dan segala kekurangan dalam penulisan ini datang daripada diri saya sendiri.


Ciajuolah…

Jumaat, 24 Julai 2026 (10:31 am)

Kajang, Selangor.

No comments:

Post a Comment