Nuffnang

Tuesday, June 2, 2026

KES KEHILANGAN PENDAKI JASLINDA SALUDIN

 


Aku mengikuti rapat kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih, Tapah. Banyak juga tempat yang bernama Batu Putih rupanya. Ada Bukit Batu Putih di Port Dickson, ada Pulau Batu Putih di Singapura, dan sekarang Gunung Batu Putih pula menjadi perhatian seluruh negara.

Hari ini (2 Jun 2026) merupakan hari ke-10 beliau dilaporkan hilang. Setakat yang aku tahu, kes kehilangan dalam hutan yang paling lama melibatkan tujuh kanak-kanak Orang Asli dari Pos Tohoi pada tahun 2015, iaitu selama 47 hari. Kes kedua ialah kehilangan Umaisarah pada tahun 2008 yang ditemui selepas 19 hari. Ada juga kes yang sehingga hari ini masih belum menemui jawapan seperti kes Acap.

Aku berharap kehilangan Jaslinda tidak akan memecahkan rekod kedua-dua kes tersebut. Lebih daripada itu, aku berharap beliau ditemui dalam keadaan selamat dan dapat kembali kepada keluarganya.

Aktiviti hiking bukanlah satu kesalahan. Dan aku percaya tiada siapa yang keluar mendaki dengan niat untuk menghilangkan diri atau menyusahkan orang lain. Namun, aku melihat banyak komen di media sosial yang menyalahkan beliau, mengatakan beliau degil dan sebagainya.

Ya, mungkin ada kesilapan dalam keputusan yang dibuat. Tetapi aku tidak rasa beliau berniat untuk menyusahkan sesiapa. Jika benar beliau mengambil keputusan untuk bergerak sendiri kerana tidak mahu menyusahkan rakannya yang menumpangkan kenderaan, itu hanyalah satu keputusan yang malang, bukannya satu niat yang jahat.

Apa yang menarik perhatian aku hari ini ialah apabila pesawat helikopter terbesar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), iaitu Mi-17 buatan Rusia, dikerahkan untuk membantu operasi Search and Rescue (SAR) bagi mencari Jaslinda.

Pesawat Mi-17 JBPM

Aku terbaca banyak komen negatif yang mengatakan penggunaan helikopter tersebut merupakan pembaziran aset negara dan operasi ini menyusahkan pasukan SAR. Entahlah. Aku tidak rasa anggota SAR menganggap tugas yang diamanahkan kepada mereka sebagai satu beban. Malah, aku percaya ramai dalam kalangan mereka lebih bersemangat apabila dapat menjalankan operasi sebenar berbanding sekadar menunggu tanpa sebarang tugasan.

Aku sendiri yang hanya sekali-sekala pergi hiking pun terasa teruja mengikuti perkembangan operasi ini. Dalam hati terlintas juga, manalah tahu kalau dapat turut serta dan menjadi orang yang menemui mangsa.

Aku terbayangkan perasaan pilot helikopter tersebut. Mungkin dia berasa bangga, bersemangat dan teruja kerana dapat terlibat dalam satu misi yang penting seperti ini. Mana tidaknya, kali terakhir helikopter itu digunakan dalam operasi besar mungkin ketika kebakaran tanah gambut di Pengerang pada awal tahun dahulu. Selain itu, kebanyakan tugas yang dilaksanakan mungkin sekadar rondaan, penghantaran bekalan bantuan, operasi banjir atau tugasan rutin yang lain.

Tetapi kali ini berbeza.

Misinya lebih mencabar. Risiko dan tekanannya juga lebih tinggi. Tambahan pula, seluruh negara sedang mengikuti perkembangan operasi ini.

Bayangkan jika Jaslinda berjaya ditemui dan helikopter tersebut ditugaskan membawa beliau keluar ke kawasan selamat. Bukankah itu akan menjadi satu detik yang sangat bermakna buat pilot dan seluruh kru yang terlibat? Mungkin bertahun-tahun kemudian, kisah itu masih akan diceritakan kepada anak-anak dan cucu mereka sebagai antara pengalaman paling berharga sepanjang perkhidmatan.

Kadang-kadang kita melihat sesuatu operasi hanya dari sudut kos dan kesukaran. Tetapi bagi mereka yang memilih kerjaya untuk menyelamatkan nyawa orang lain, inilah saat-saat yang memberikan makna kepada segala latihan, pengalaman dan pengorbanan yang telah mereka lalui selama ini.


Ciajoulah...
Selasa, 2 Jun 2026 (12:36 pm)
Kajang, Selangor.



KALAU NAK ORANG SUKA KAT KITA

Kalau nak orang suka kepada kita, kenalah tahu apa yang dia suka. Orang yang macam mana yang dia suka? Cubalah untuk menjadi orang tersebut.

Ya, bukan mudah untuk mengubah diri. Dan bukankah lebih baik jika kita menjadi diri sendiri? Betul. Tetapi kita juga perlu ingat bahawa dalam hidup ini kita sentiasa berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik. Jika perkara yang dia suka itu tidak ada pada diri kita, tetapi boleh menjadikan kita seorang yang lebih baik, mungkin ada baiknya kita berusaha ke arah itu.

Contohnya, jika dia suka berbincang tentang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, sedangkan kita lebih gemar mengikuti gosip artis atau skandal rumah tangga orang lain. Mungkin kita boleh mula mengubah bahan bacaan kita kepada sesuatu yang lebih ilmiah. Dengan itu, kita boleh bertukar pandangan, berkongsi idea dan berbual tentang perkara yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Contoh lain, jika dia seorang yang menjaga kesihatan sedangkan kita pula berada dalam kategori obesiti. Mungkin kita boleh mula berusaha untuk menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan. Bukankah itu satu perubahan yang baik untuk diri kita sendiri?

Ataupun, jika apa yang diminatinya itu tidak begitu kena dengan jiwa kita, tetapi pada masa yang sama tidak menjadikan kita lebih baik atau lebih buruk. Contohnya, dia suka memancing tetapi kita memang tidak minat memancing. Dipaksa macam mana sekalipun, tetap tidak boleh suka.

Sekurang-kurangnya cubalah untuk memahami minatnya itu. Berilah dia masa dan ruang untuk menikmati hobinya. Lebih baik lagi jika kita mengambil tahu sedikit sebanyak tentang dunia memancing — jenis-jenis ikan, jenis umpan, teknik memancing atau apa sahaja yang boleh dijadikan modal untuk bersembang dengannya.

Namun, semua ini tidak menjamin seratus peratus bahawa dia akan menyukai kita. Tetapi sekurang-kurangnya, peluang itu menjadi lebih cerah.


Ciajuolah...

Selasa, 2 Jun 2026 (11:45am)

Kajang, Selangor.