Kerana asyik menulis tentang melayan perasaan je, hari ni aku terasa ingin nak menulis tentang sesuatu yang teknikal pula. Melayan perasaan berlebih-lebih hanya membuatkan diri bertambah galau. Jadi kali ni aku nak menulis sesuatu yang teknikal supaya berguna untuk diri sendiri dan bermanfaat kepada yang membaca.
Aku cuba tulis dalam bahasa yang mudah difahami oleh sesiapa pun yang membaca.
Aku nak kenalkan bidang yang aku ceburi iaitu Peperangan Elektronik atau Electronic Warfare (EW). Macam gempak kan? Ada perang-perang, tapi apa itu EW?
EW adalah penggunaan teknologi elektromagnetik seperti gelombang radio, radar dan sistem komunikasi untuk mengesan, melindungi dan mengganggu sistem elektronik pihak lawan.
Senang cerita, macam kita berperang di udara menggunakan gelombang elektromagnetik. Kita cuba tahu apa sistem elektronik yang digunakan oleh musuh, cuba memahami bagaimana mereka beroperasi dan apa yang mereka lakukan, kemudian mengganggu atau menipu sistem yang mereka gunakan supaya tidak dapat berfungsi dengan baik. Dalam masa yang sama, kita juga memastikan sistem elektronik yang kita gunakan sendiri tidak mudah terjejas dan terus selamat beroperasi.
Walaupun teknologi elektronik seperti komputer dan telefon pintar macam baru je bermula, teknologi EW sebenarnya dah bermula lama lagi, iaitu sejak komunikasi radio mula digunakan oleh pihak tentera.
Antara penggunaan awal yang sering dikaitkan dengan EW berlaku semasa Perang Russo-Japanese pada tahun 1904–1905, iaitu peperangan antara Empayar Rusia dan Jepun dalam merebut pengaruh dan wilayah di Manchuria dan Korea.
Dalam peperangan tersebut, komunikasi radio memainkan peranan penting. Pihak Jepun menggunakan pemantauan terhadap komunikasi radio pihak Rusia untuk mendapatkan maklumat tentang pergerakan dan aktiviti mereka. Ini memberikan kelebihan dari segi amaran awal dan persediaan menghadapi serangan.
Semasa Perang Dunia Pertama (WWI), sistem komunikasi radio pula menjadi semakin kritikal dan digunakan dengan meluas. Pada masa yang sama, sistem pemantauan dan direction finding (DF) untuk mengenal pasti arah dan lokasi pancaran radio turut mula dibangunkan.
Ini membolehkan pihak tentera mendapatkan maklumat tentang komunikasi, pergerakan dan kedudukan pihak musuh. Dengan mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh musuh, sesuatu serangan boleh dijangka dan tindakan yang bersesuaian dapat dibuat.
Masuk pula Perang Dunia Kedua (WWII), teknologi radar mula diperkenalkan dan diaplikasikan secara meluas dalam peperangan. Radar menjadi seperti mata dan telinga untuk mengesan aset-aset ketenteraan dari jauh.
Sudah tentu, kalau radar adalah mata dan telinga musuh, maka radar juga menjadi sesuatu yang perlu kita kesan dan pantau. Sebab itu sistem untuk mengesan pancaran radar mula dibangunkan supaya kita tahu di mana sistem radar musuh berada dan bagaimana ia beroperasi.
Sejak itu, teknologi EW berkembang dengan sangat pesat.
Secara mudah, EW boleh dibahagikan kepada Communication EW dan Non-Communication EW, bergantung kepada sasaran sistem tersebut sama ada sistem komunikasi pihak lawan ataupun sistem elektronik lain seperti radar.
EW juga secara asasnya terbahagi kepada tiga bahagian utama:
Electronic Support (ES) – sistem yang mengesan, memintas dan mengumpul maklumat daripada pancaran elektromagnetik pihak lawan. Contohnya, mengenal pasti jenis sistem komunikasi atau radar yang digunakan, frekuensi yang digunakan dan dari mana pancaran tersebut datang.
Electronic Attack (EA) – sistem yang digunakan untuk mengganggu, menipu atau mempengaruhi sistem elektronik pihak lawan. Contohnya melalui jamming atau deception supaya sistem musuh gagal berfungsi seperti yang sepatutnya.
Electronic Protection (EP) – sistem dan kaedah perlindungan supaya sistem elektronik kita tidak mudah terjejas oleh gangguan atau serangan elektromagnetik pihak lawan, di samping memastikan penggunaan sistem elektronik kita tidak memberi kesan yang tidak diingini kepada sistem lain di sekeliling.
Kalau nak mudah faham, boleh bayangkan EW macam perlawanan fizikal antara pahlawan.
ES adalah telinga dan mata kita. EA adalah senjata atau pedang kita. EP pula adalah perisai untuk kita melindungi diri sendiri. Siapa yang mempunyai deria yang lebih peka, pedang yang lebih tajam dan perisai yang lebih kukuh, dialah yang berkelebihan untuk menang.
Tiga-tiga ni saling berkait.
Setakat ini dulu. Nanti kalau ada kesempatan, aku terangkan satu-satu setiap bahagian dalam EW dengan bahasa yang lebih mudah dan contoh-contoh yang dekat dengan kehidupan seharian.
Semoga bermanfaat.
Ciajuolah...
Rabu, 7 Oktober 2026 (1:44 pm)
Kajang, Selangor.
