Aku mengikuti rapat kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih, Tapah. Banyak juga tempat yang bernama Batu Putih rupanya. Ada Bukit Batu Putih di Port Dickson, ada Pulau Batu Putih di Singapura, dan sekarang Gunung Batu Putih pula menjadi perhatian seluruh negara.
Hari ini (2 Jun 2026) merupakan hari ke-10 beliau dilaporkan hilang. Setakat yang aku tahu, kes kehilangan dalam hutan yang paling lama melibatkan tujuh kanak-kanak Orang Asli dari Pos Tohoi pada tahun 2015, iaitu selama 47 hari. Kes kedua ialah kehilangan Umaisarah pada tahun 2008 yang ditemui selepas 19 hari. Ada juga kes yang sehingga hari ini masih belum menemui jawapan seperti kes Acap.
Aku berharap kehilangan Jaslinda tidak akan memecahkan rekod kedua-dua kes tersebut. Lebih daripada itu, aku berharap beliau ditemui dalam keadaan selamat dan dapat kembali kepada keluarganya.
Aktiviti hiking bukanlah satu kesalahan. Dan aku percaya tiada siapa yang keluar mendaki dengan niat untuk menghilangkan diri atau menyusahkan orang lain. Namun, aku melihat banyak komen di media sosial yang menyalahkan beliau, mengatakan beliau degil dan sebagainya.
Ya, mungkin ada kesilapan dalam keputusan yang dibuat. Tetapi aku tidak rasa beliau berniat untuk menyusahkan sesiapa. Jika benar beliau mengambil keputusan untuk bergerak sendiri kerana tidak mahu menyusahkan rakannya yang menumpangkan kenderaan, itu hanyalah satu keputusan yang malang, bukannya satu niat yang jahat.
Apa yang menarik perhatian aku hari ini ialah apabila pesawat helikopter terbesar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), iaitu Mi-17 buatan Rusia, dikerahkan untuk membantu operasi Search and Rescue (SAR) bagi mencari Jaslinda.
Aku terbaca banyak komen negatif yang mengatakan penggunaan helikopter tersebut merupakan pembaziran aset negara dan operasi ini menyusahkan pasukan SAR. Entahlah. Aku tidak rasa anggota SAR menganggap tugas yang diamanahkan kepada mereka sebagai satu beban. Malah, aku percaya ramai dalam kalangan mereka lebih bersemangat apabila dapat menjalankan operasi sebenar berbanding sekadar menunggu tanpa sebarang tugasan.
Aku sendiri yang hanya sekali-sekala pergi hiking pun terasa teruja mengikuti perkembangan operasi ini. Dalam hati terlintas juga, manalah tahu kalau dapat turut serta dan menjadi orang yang menemui mangsa.
Aku terbayangkan perasaan pilot helikopter tersebut. Mungkin dia berasa bangga, bersemangat dan teruja kerana dapat terlibat dalam satu misi yang penting seperti ini. Mana tidaknya, kali terakhir helikopter itu digunakan dalam operasi besar mungkin ketika kebakaran tanah gambut di Pengerang pada awal tahun dahulu. Selain itu, kebanyakan tugas yang dilaksanakan mungkin sekadar rondaan, penghantaran bekalan bantuan, operasi banjir atau tugasan rutin yang lain.
Tetapi kali ini berbeza.
Misinya lebih mencabar. Risiko dan tekanannya juga lebih tinggi. Tambahan pula, seluruh negara sedang mengikuti perkembangan operasi ini.
Bayangkan jika Jaslinda berjaya ditemui dan helikopter tersebut ditugaskan membawa beliau keluar ke kawasan selamat. Bukankah itu akan menjadi satu detik yang sangat bermakna buat pilot dan seluruh kru yang terlibat? Mungkin bertahun-tahun kemudian, kisah itu masih akan diceritakan kepada anak-anak dan cucu mereka sebagai antara pengalaman paling berharga sepanjang perkhidmatan.
Kadang-kadang kita melihat sesuatu operasi hanya dari sudut kos dan kesukaran. Tetapi bagi mereka yang memilih kerjaya untuk menyelamatkan nyawa orang lain, inilah saat-saat yang memberikan makna kepada segala latihan, pengalaman dan pengorbanan yang telah mereka lalui selama ini.
Kajang, Selangor.


No comments:
Post a Comment