Nuffnang

Friday, July 24, 2026

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Kalau tengok di media sosial hari ni, pasti kita akan jumpa komen menghina dan membodohkan orang lain walaupun tak kenal satu sama lain. Makian diucapkan seolah-olah itulah budaya kita di Malaysia ni.


Kita selalu sibuk mempertahankan Rukun Negara nombor 1, 2, 3 dan 4. Berdebat panjang tentang kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.


Tapi kita terlupa rukun negara ke-5.


Kesopanan dan Kesusilaan.


Tak siapa peduli.


Sedih bila tengok ada orang membodohkan orang lain tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ada yang datang kononnya menegur, tapi bahasa dan caranya tetap kasar. Yang lain pula bersorak, menyokong dan menambah lagi makian.


Astaghfirullah…


Kadang-kadang kita terlupa, komen yang kita tulis tu bukan hilang selepas beberapa minit. Ia kekal kat situ. Hari ini orang baca, esok orang baca, tahun depan pun mungkin masih ada orang baca.


Setiap kali orang baca, setiap kali itulah kata-kata kesat itu terulang. Tak pasti dari segi hukum, tapi jangan sampai ada dosa yang berterusan hanya kerana beberapa baris ayat yang ditaip tanpa berfikir panjang.


Yang lebih menyedihkan, kebanyakan yang saya lihat berperangai begini ialah orang Melayu kita sendiri. Saya bukan kata semua, tetapi jumlahnya cukup ramai untuk membuatkan saya berfikir.


Macam mana kita nak harapkan bangsa lain menghormati kita kalau sesama sendiri pun budaya menghina dan merendahkan orang lain dijadikan budaya? 


Ya, ia dah jadi budaya. Sebab tu ia datang secara automatik bila nampak komen yang kita tak setuju, dan tak ada rasa bersalah lagi di hati untuk menaip hinaan dan merendahkan orang lain.


Berbeza pendapat tu perkara biasa. Tak bersetuju pun tak apa. Tetapi kita masih boleh memilih untuk bercakap dengan sopan. Kita masih boleh berhujah tanpa menghina. Kita masih boleh menegur tanpa menjatuhkan maruah orang lain.


Saya menulis bukan kerana saya rasa diri ini lebih baik daripada orang lain. Saya pun banyak kekurangan dan masih belajar menjaga lidah serta jari sendiri.


Sekadar peringatan untuk diri saya terlebih dahulu, dan kalau ada yang sudi mengambil manfaat, Alhamdulillah.


Semoga kita semua lebih berhati-hati sebelum menekan butang “Post” atau “Reply”. Kerana kadang-kadang, satu ayat yang ditaip hanya mengambil masa beberapa saat, tetapi kesannya boleh dibawa sampai ke akhirat.


Sesungguhnya segala yang baik itu datang daripada Allah SWT, dan segala kekurangan dalam penulisan ini datang daripada diri saya sendiri.


Ciajuolah…

Jumaat, 24 Julai 2026 (10:31 am)

Kajang, Selangor.

Sunday, July 19, 2026

MENTALITI B40

Tak salah pun jadi B40. Malah kalau kita tengok kisah ramai usahawan dan jutawan hari ini, ramai yang bermula dari keluarga susah. Ada yang kerja kilang, ada yang berniaga kecil-kecilan, ada yang membesar dalam rumah kampung. Mereka bukan terus lahir sebagai T20.

Yang jadi masalah bukan status B40, tapi “MANTALITI B40”.

Aku pun bukan nak menghina B40. Aku kenal ramai orang B40 yang rajin bekerja, sanggup buat dua tiga kerja sehari, belajar kemahiran baru dan berusaha keluar daripada kelompok tersebut. Orang macam ni insya-Allah lambat laun akan berubah kehidupan mereka.

Tetapi ada satu kelompok yang walaupun pendapatan naik, mentaliti tetap tak berubah. Akhirnya hidup sentiasa cukup-cukup makan. Dari pemerhatian aku, inilah antara mentaliti yang selalu memerangkap seseorang.


1. Nak kaya cepat, tapi memilih kerja

Ramai orang nak hidup senang, tapi kerja yang susah sikit tak nak. Nak kerja yang gaji tinggi, masa fleksibel, dekat rumah, tak stress dan kalau boleh tak perlu belajar benda baru.

Hakikatnya, hampir semua orang yang berjaya pernah buat kerja yang diorang tak suka demi membina pengalaman dan kemahiran.


2. Malas bekerja dan malas belajar

Dunia sentiasa berubah. Kalau kita tak tambah ilmu dan kemahiran, nilai kita dalam pasaran kerja pun susah nak meningkat.

Ramai orang sanggup scroll TikTok berjam-jam, tapi bila disuruh belajar, terus kata “tak ada masa.”


3. Biar papa asal bergaya

Ini penyakit yang semakin biasa.

Gaji RM3,000 tapi telefon RM6,000.

Kereta cantik, pakaian berjenama, kopi premium setiap hari… tapi hujung bulan makan maggie.

Lagi bahaya bila berbelanja ikut emosi. Stress sikit shopping. Sedih sikit bukak shopee. Dapat bonus terus habis sebab rasa “aku pun berhak.”

Tak salah nak bergaya sekali-sekala, tapi jangan sampai gaya hidup lebih besar daripada kemampuan.


4. Hutang dianggap sumber pendapatan

Bila dapat kad kredit, rasa macam dapat bonus.

Bila bank lulus pinjaman, rasa macam dapat extra income.

Padahal hutang bukan pendapatan. Hutang hanyalah duit yang kita pinjam daripada diri kita pada masa depan.

Semakin banyak hutang yang tak perlu, semakin sempit pilihan hidup kita kelak.


5. Fikir jangka pendek

Mentaliti ni selalu fikir hari ini saja.

Hari ni ada duit, hari ni jugak habiskan.

Tak fikir simpanan kecemasan, pelaburan, persaraan atau pendidikan anak-anak.

Sedangkan orang yang berjaya biasanya sanggup berkorban keseronokan hari ini demi kehidupan yang lebih baik pada tahun yang akan datang.


6. Orang lain semua salah

Bos salah.

Kerajaan salah.

Ekonomi salah.

Kawan salah.

Semua orang salah kecuali diri sendiri.

Memang ada perkara di luar kawalan kita. Tapi kalau setiap masalah disalahkan kepada orang lain, bila masa kita nak baiki diri sendiri?


7. Cepat puas hati

Dapat kenaikan gaji RM100, terus rasa dah selesa.

Dah kerja 10 tahun, tapi tak pernah cuba naikkan kemahiran atau cari peluang yang lebih baik.

Sikap cepat puas hati menyebabkan seseorang berhenti berkembang.


Sekali lagi aku nak tekankan, ini bukan sifat eksklusif orang B40. Ramai jugak M40 dan T20 yang ada mentaliti macam ni. Bezanya, mereka mungkin masih diselamatkan oleh income yang tinggi atau harta keturunan.

Begitu juga ramai orang B40 yang langsung tak ada mentaliti ni. Mereka rajin, berdisiplin, sentiasa belajar dan bijak mengurus kewangan. Orang macam ni biasanya hanya menunggu masa untuk keluar daripada kelompok B40.

Jadi jangan malu kalau hari ini kita masih B40.

Yang patut kita malu ialah kalau mentaliti kita masih B40 walaupun peluang untuk berubah sentiasa ada.

Sebab status kewangan boleh berubah… tetapi kalau mentaliti tak berubah, selalunya nasib pun susah nak berubah.

Peringatan untuk diri sendiri juga…


Ciajuolah…


Ahad, 19 Julai 2026 (8:58 am)

Alor Setar, Kedah.


Friday, July 17, 2026

DAMAI

Tak semua benda harus diperjuangkan, ada yang tuhan mahu kita redha melepaskan dan berdamai.

Ciajuolah…

Jumaat, 17 Julai 2026 (8:19 am)

Kg Sungai Jurong, Slim River, Perak

Sunday, July 5, 2026

CINTA TAK KENAL SIAPA

 

Perlukah kita ada sesuatu yang special untuk membuatkan seseorang jatuh cinta kepada kita?

Cinta tak kenal siapa. Gemuk atau kurus, kaya atau miskin, cantik atau biasa-biasa. Cinta hadir tak diundang, pergi bukan diusir.


Jadi, tak perlulah terlalu sibuk bertanya, ‘kenapa cintakan aku?’ ‘Apa yang istimewa sangat pada aku?” Kadang-kadang, jawapannya memang tak ada. Cinta memang tak selalu datang dengan logik.


Tetapi, kalau bercakap tentang hidup bersama hingga ke akhir hayat, cinta semata-mata tidak mencukupi. Hubungan yang berkekalan memerlukan persefahaman, saling menghormati, komunikasi yang baik dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.


Perasaan cinta mungkin menjadi sebab dua insan bertemu. Namun, sikap dan usaha kedua-duanyalah yang menentukan sama ada cinta itu terus mekar atau perlahan-lahan pudar ditelan masa.


Sekadar pendapat.


Ciajuolah…


Sabtu, 5 Julai 2026 (4:19 pm)

Bandar baru Slim River, Perak.