Nuffnang

Saturday, May 2, 2026

SELAMAT HARI PEKERJA

Selamat Hari Pekerja untuk semua yang tak pernah berhenti berusaha, walau apa pun kerja kita — besar atau kecil, tetap ada nilai dan pengorbanannya.

Bila fikir balik, perjalanan aku dengan “kerja” ni sebenarnya bermula awal… sejak tingkatan satu lagi. Waktu tu sekolah petang, jadi pagi aku isi dengan jaga anak orang. Bukan orang lain pun, anak sepupu sendiri. Upah? RM1 sehari je. Kalau nak dibandingkan dengan sekarang, memang nampak kecil sangat. Tapi itulah titik mula.

Cuma masa tu, jujur cakap… aku belum faham lagi apa maksud sebenar bekerja. Otak masih nak bermain, belum ada rasa tanggungjawab atau kesungguhan nak cari duit. Buat kerja pun sekadar buat, bukan dengan hati yang betul-betul ikhlas.

Masuk fasa universiti, barulah perspektif tu mula berubah. Masa cuti semester, aku ambil peluang kerja di kedai RM2. Dua cuti semester, dua kedai berbeza. Kerja pun bukanlah glamor — susun barang, layan pelanggan, kira stok. Tapi dari situ, aku mula faham nilai usaha dan penat lelah cari rezeki sendiri.

Yang paling penting, masa tu niat dah lain. Bukan sekadar isi masa lapang, tapi nak rasa sendiri bagaimana hasil titik peluh tu boleh bagi sesuatu kepada mak dan ayah. Walaupun tak seberapa, ada satu kepuasan yang susah nak cerita bila dapat hulur duit hasil kerja sendiri.

Selepas tamat belajar, aku tak terus tinggalkan universiti. Aku sambung sebagai research officer. Bunyi macam hebat, buat research… tapi dalam hati aku rasa lain. Aku mula rasa knowledge aku tak berkembang sangat, dan kerja aku macam tak ada impak besar — sama ada kepada masyarakat atau negara. Dalam masa yang sama, aku tengok rakan-rakan lain dah melangkah jauh dalam dunia industri. Gaji diorang lebih tinggi, exposure lebih luas, dan paling ketara — ilmu baru yang diorang dapat.

Setiap kali bersembang, aku rasa sedikit ketinggalan. Susah nak “masuk line” sebab mentaliti aku masa tu masih macam seorang student, belum betul-betul beralih kepada dunia kerja sebenar.

Sebelum habis master, aku buat keputusan untuk masuk ke sektor swasta — tempat aku bekerja sampai sekarang. Di situlah sebenarnya aku mula betul-betul belajar. Ilmu yang aku kutip di universiti akhirnya ada tempat untuk diaplikasikan. Tapi dalam masa yang sama, aku sedar… apa yang aku tahu masih terlalu sedikit.

Masih banyak lagi yang perlu aku belajar.

Bezanya sekarang, aku seronok dengan apa yang aku buat. Kerja aku bukan sekadar kerja — tapi dah jadi sebahagian daripada minat dan hobi aku sendiri.

Cuma kadang-kadang terfikir juga… sampai bila aku nak terus bekerja?

Mungkin sampai satu hari nanti khidmat aku tak diperlukan lagi. Atau mungkin sampai aku ada sumber pendapatan pasif yang cukup untuk hidup tanpa perlu bekerja seperti sekarang.

Apa pun jalannya nanti, perjalanan ini tetap bermakna.

Akhir kata, selamat Hari Pekerja buat semua pekerja di seluruh dunia. Gunakan masa cuti ini untuk berehat, cas semula tenaga, sebelum kita sambung semula perjuangan mencari rezeki hari Isnin nanti.

Ciajuolah...


Sabtu, 2 May 2026 (12:37 pm)

Kajang, Selangor