Nuffnang

Tuesday, May 26, 2026

KITA JAGA KITA

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan isu pembelian Naval Strike Missile (NSM) dari Norway yang dikatakan tidak dapat dieksport ke Malaysia walaupun pembayaran telah hampir selesai, malah ada laporan menyatakan sehingga 95% pembayaran telah dibuat. Isu seperti ini sepatutnya membuka mata banyak pihak tentang satu perkara yang sangat besar — betapa tingginya kebergantungan Malaysia terhadap teknologi luar, khususnya dalam industri pertahanan.

Bila kita terlalu bergantung kepada negara luar, kita sebenarnya menyerahkan sebahagian daripada keselamatan negara ke tangan orang lain.

Hari ini mereka boleh menjual. Esok mereka boleh menolak. Lusa mereka boleh mengenakan syarat baru.

Dalam dunia pertahanan, perkara seperti ini bukan sekadar urusan perniagaan. Ia melibatkan kedaulatan negara.

Ramai mungkin melihat isu ini sekadar kelewatan penghantaran aset atau masalah geopolitik biasa. Tetapi hakikatnya, ini hanyalah satu daripada banyak risiko yang bakal kita hadapi jika Malaysia terus bergantung sepenuhnya kepada teknologi pertahanan luar negara.

Apa jaminan bahawa sistem yang dibekalkan benar-benar bebas daripada “hidden access”, bugs atau backdoor yang sengaja diletakkan oleh pengeluar?

Dalam dunia teknologi moden, peperangan bukan lagi sekadar peluru dan misil. Perang hari ini melibatkan data, software, network dan remote access. Peralatan yang nampak canggih di luar mungkin sebenarnya boleh dikawal, dimatikan atau dipantau oleh pihak tertentu tanpa kita sedar.

Ini bukan teori konspirasi. Ini realiti dunia teknologi.

Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia memahami perkara ini sebab itu mereka membangunkan sendiri sebahagian besar teknologi strategik mereka. Mereka mungkin masih membeli dari luar untuk perkara tertentu, tetapi aset-aset kritikal negara tetap dibina dan dikawal sendiri.

Sebab mereka tahu, bila berlaku konflik sebenar, setiap negara akan menjaga kepentingan negara masing-masing dahulu.

OEM luar negara tidak mempunyai semangat patriotisme terhadap Malaysia. Mereka bergerak atas dasar bisnes, polisi kerajaan mereka dan kepentingan geopolitik negara mereka sendiri. Hari ini mereka boleh tersenyum semasa menandatangani kontrak. Tetapi bila keadaan dunia berubah, belum tentu mereka akan bersama kita.

Kalau berlaku peperangan atau konflik besar, jangan terlalu yakin negara pembekal akan datang membantu. Kemungkinan besar mereka hanya akan memerhati dari jauh sambil menjaga kepentingan mereka sendiri.

Tetapi rakyat tempatan berbeza.

Jurutera tempatan, saintis tempatan, industri tempatan — mereka membina untuk tanah air mereka sendiri. Mereka ada rasa memiliki. Mereka mahu negara mereka kuat. Mereka mahu teknologi mereka berjaya.

Sebab itu sudah tiba masanya Malaysia benar-benar serius membangunkan keupayaan tempatan dalam industri pertahanan.

Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu realistik.

Tidak mungkin kita yang baru bermula boleh terus menghasilkan teknologi setanding negara-negara maju yang telah membangunkan industri mereka puluhan tahun lebih awal.

Kita perlu bermula dari bawah.

Bina dahulu sistem asas. Gunakan dalam operasi sebenar. Dapatkan feedback pengguna. Perbaiki kelemahan. Upgrade sedikit demi sedikit. Ulang proses itu berkali-kali sehingga teknologi tersebut matang.

Begitulah sebenarnya semua negara maju membangunkan industri mereka.

Tiada siapa terus hebat pada hari pertama.

Apa yang penting ialah konsistensi dan sokongan jangka panjang daripada kerajaan.

Kerajaan juga perlu benar-benar mengenalpasti pemain industri tempatan yang mempunyai keupayaan sebenar, bukan sekadar pandai membuat presentation atau menjadi orang tengah semata-mata. Industri pertahanan bukan tempat untuk eksperimen politik atau projek syok sendiri. Ia melibatkan keselamatan negara.

Sebenarnya Malaysia sudah mula mempunyai beberapa pembangunan teknologi tempatan dalam bidang pertahanan. Itu petanda yang baik. Tetapi kita masih terlalu jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain yang telah lama membangunkan ekosistem industri pertahanan mereka.

Perjalanan kita masih panjang.

Dan perkara ini bukan hanya terhad kepada industri pertahanan sahaja.

Makanan, telekomunikasi, perubatan, teknologi digital dan pelbagai sektor strategik lain juga perlu mula mengurangkan kebergantungan kepada luar. Pandemik COVID-19 dahulu sudah mengajar kita betapa rapuhnya keadaan apabila rantaian bekalan dunia terganggu.

Sebab itu slogan “Kita Jaga Kita” sepatutnya tidak terhenti ketika musim COVID-19 sahaja.

Ia sepatutnya menjadi prinsip nasional.

Kita jaga ekonomi kita.
Kita jaga teknologi kita.
Kita jaga keselamatan kita.
Kita bangunkan kepakaran kita sendiri.

Sebab kalau bukan kita jaga kita, siapa lagi

Ciajuolah...

Selasa 26 Mei 2026 (10:43 am)
Kajang, Selangor

No comments:

Post a Comment