Nuffnang

Friday, May 29, 2026

BIAQ PI

 

Baru-baru ini aku menonton di Youtube wawancara Podcast Keluar Sekejap bersama Toh Puan Naimah, balu kepada Tun Daim Zainudin dalam Episod 177. Banyak perkara menarik yang dibincangkan, tetapi ada satu ungkapan yang paling melekat dalam fikiran aku sehingga hari ini.

"Biaq Pi."

Ringkas, tetapi cukup mendalam maknanya.

Selagi kita tahu apa yang kita buat tak salah, tak menzalimi orang lain, dan kita yakin dengan tindakan kita, maka "biaq pi" sajalah apa yang orang nak kata.

Hakikatnya, mulut manusia memang kita tak boleh kawal.

Aku teringat satu analogi tentang seorang ayah, anaknya dan seekor unta. Jika kedua-duanya menaiki unta, orang akan kata mereka menganiaya unta. Jika kedua-duanya berjalan kaki sambil menarik unta, orang akan kata mereka bodoh kerana ada unta tetapi tidak menggunakannya.

Jika si ayah menaiki unta seorang diri, orang akan kata dia tidak sayangkan anak. Jika si anak pula yang menaiki unta, orang akan kata anak itu derhaka kerana membiarkan orang tuanya berjalan kaki.

Pendek kata, apa sahaja yang dilakukan pasti ada orang yang tidak puas hati dan ada je teori konspirasi yang diciptakan.

Sebab itu aku percaya hidup ini tak boleh bergantung kepada penilaian manusia semata-mata. kalau kita asyik memikirkan apa yang orang akan kata, kita tak akan bergerak ke mana-mana.

Kita akan sentiasa tak ada keyakinan, sentiasa cuba memuaskan hati semua orang, sedangkan perkara tu mustahil untuk dicapai.

Kita boleh terima teguran yang membina, tetapi jangan terlalu memikirkan cakap-cakap dan teori konspirasi yang orang ciptakan tentang kita.

Jadi, banyakkan ilmu agama, ilmu hidup, guna logik akal sebaiknya. Pegang pada prinsip, nilai dan keyakinan diri. Lakukanlah apa yang kita yakin betul selebihnya, biaq pi!! lah apa orang nak kata.

Ciajuolah...
Jumaat, 29 Mei 2026 (10:23pm)
Kajang, Selangor.

No comments:

Post a Comment