Pernah tak kita perhatikan bagaimana anak-anak boleh leka bermain dengan permainan mereka? Sebuah kereta mainan boleh menjadi kereta lumba, patung kecil boleh menjadi seorang puteri, malah kotak kosong pun boleh bertukar menjadi kapal angkasa. Semuanya hidup dalam imaginasi mereka.
Sebenarnya, imaginasi inilah yang boleh kita gunakan untuk mendidik anak-anak.
Ada perbezaan antara telling dan storytelling. Telling bermaksud memberitahu sesuatu secara terus, manakala storytelling pula menyampaikan sesuatu melalui penceritaan.
Contohnya, jika kita mahu mengajar anak tentang kejujuran, kita boleh sahaja berkata, “Jangan menipu. Kita mesti bercakap benar walaupun melakukan kesalahan.” Itu namanya telling.
Tetapi, kita boleh juga bercerita tentang seorang budak yang berbohong kerana takut dimarahi. Akibat pembohongannya, orang lain pula yang menerima hukuman. Biarkan anak membayangkan situasi itu dan memahami sendiri mengapa kejujuran itu penting.
Pada saya, storytelling jauh lebih berkesan dalam mendidik anak-anak. Ketika kecil, imaginasi mereka sangat tinggi. Mereka mudah membayangkan sesuatu seolah-olah mereka sendiri berada dalam cerita tersebut. Mereka bukan sekadar mendengar, tetapi turut merasai emosi, memahami situasi dan belajar daripada pengalaman watak dalam cerita.
Sebab itulah sesuatu yang disampaikan melalui cerita lebih mudah melekat dalam ingatan berbanding nasihat yang hanya didengar sepintas lalu.
Kadangkala, kita tidak perlu terlalu banyak menasihati atau memberitahu anak-anak apa yang betul dan salah. Cukuplah dengan sebuah cerita yang baik, biarkan mereka berfikir dan mencari sendiri pengajarannya.
Kerana telling memberitahu anak apa yang perlu difahami, tetapi storytelling membantu mereka memahami dengan sendirinya dan mungkin akan diingat di sepanjang hayatnya.
Ciajuolah…
Isnin, 9 November 2026 (11:23 am)
Puncak Gunung Angsi, Negeri Sembilan.

No comments:
Post a Comment