Nuffnang

Wednesday, December 31, 2025

SELAMAT TAHUN BARU 2026

Tahun 2026 hadir tanpa sebarang janji. Seperti biasa, masa terus berlalu, makin banyak aku belajar selok belok kehidupan.

Di tahun 2026 ini, aku berazam untuk menjadi insan yang lebih berguna dan lebih efisien bukan sekadar sibuk, tetapi benar-benar memberi makna pada apa yang dilakukan. Aku mahu hidup dengan lebih sedar, lebih teratur, dan lebih bertanggungjawab pada diri sendiri.

Aku berharap 2026 membawa pengalaman-pengalaman baru. Bukan semestinya yang mudah, tetapi yang mampu membentuk aku menjadi insan yang lebih kuat, lebih tenang, dan lebih matang dalam menghadapi realiti hidup. Kerana aku semakin sedar, hidup yang bermakna bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang bagaimana kita bangkit, belajar, dan terus melangkah walaupun dalam keadaan yang tidak ideal.

Semoga tahun ini aku mampu menjadi versi diri yang lebih baik, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang-orang di sekeliling aku.

Selamat datang 2026.
Semoga langkah kali ini lebih jelas, dan hati lebih bersedia.

Ciajuolah...

1 Januari 2026 (12:14 am)
Kajang, Selangor.

Monday, December 22, 2025

HUTANG LAGI

 

Sebagai manusia biasa, aku sendiri pernah berhutang. Dan pasal hutang ni bukan pertama kali aku tulis dalam blog ni. Dulu aku pernah tulis tentang adab berhutang, tapi tulisan tu lebih bersifat umum. Kali ni aku tulis sekadar nak meluahkan rasa.

Kenapa aku terasa nak tulis pasal hutang?
Sebab yang berhutang dengan aku bukan seorang dua. Dalam belasan orang, mungkin lebih 20. Jumlahnya pula dah melebihi RM20 ribu, dan pernah juga mencecah RM30 ribu. Tapi yang bayar hutang tu, boleh kira dengan jari. Selebihnya buat-buat tak kenal, elak bila terserempak.

Aku bukan orang kaya. Aku insan biasa juga. Aku tahu perasaan berhutang, rasa risau bila hutang belum langsai. Sebab tu aku cuba bayar secepat mungkin, dan ada masa aku lebihkan bayaran sebagai tanda terima kasih.

Tapi kebanyakan yang berhutang dengan aku tak begitu. Tenang je hati diorang. Bercuti, bermewah, malah ada yang pergi umrah. Seolah-olah hutang tu tak pernah wujud. 

Dengan hati yang kecewa, aku berazam mulai tahun 2026 dan seterusnya aku tak akan bagi hutang lagi pada sesiapa. Yang pernah berhutang tapi tak pernah ingat aku bila dah senang, jangan cari aku lagi bila perlukan duit.

Lebih baik aku tak bagi pinjam duit.
Sebab bila aku pinjamkan duit, selalunya bukan duit saja yang hilang —
kawan pun hilang.

Ciajuolah...

23 Disember 2025 (12:03 am)
Kajang, Selangor.

Wednesday, December 10, 2025

LAPAN BULAN BERLALU

 

Dah lebih kurang 8 bulan sejak aku mula aktif menulis balik… dan nampaknya blog ni masih sunyi sepi macam rumah tinggal 😅. Dari statistik ada juga beberapa orang yang singgah baca posting lama—terima kasih banyak, aku hargai walaupun aku tak tahu siapa kalian.

Walau apa pun, aku akan terus menulis. Sebab tujuan asal aku hidupkan semula blog ini bukan untuk kejar pembaca pun, tapi untuk luahkan segala benda yang bersarang dalam kepala. Menulis ni terapi murah yang sangat membantu.

Tapi kalau ada yang membaca entri ini, sudilah kiranya tinggalkan nama di bahagian registration tu ya. At least aku tahu blog ni bukan aku sorang je yang baca, dan mungkin boleh bagi aku semangat extra nak terus menulis di sini 😁

Ciajuolah...

11 Disember 2025 (9:39 am)

Kajang, Selangor.


Friday, December 5, 2025

HIDUP INI IBARAT PERJUDIAN

Kadang-kadang bila kita duduk seorang diri, termenung jauh sambil dengar bunyi kipas pusing, terlintas satu persoalan ringkas tapi berat: “Kenapa hidup ni macam tak boleh dijangka?”


Sebenarnya… sebab hidup ini memang ibarat satu perjudian.


Kita merancang, tetapi apa yang terjadi tak semestinya ikut skrip yang kita tulis. Ada masa kita dah buat sehabis baik, ikut semua “manual hidup” yang orang tua-tua ajar, tapi tetap juga diuji dengan dugaan yang datang dari seribu arah. Dan yang paling pelik, ada masa kita tak buat salah pun  tapi tetap terkena tempiasnya.


Dalam hidup, kita sentiasa berada dalam dilema. Setiap keputusan kecil atau besar rasa seperti kita sedang letakkan taruhan. Contohnya:


Perkahwinan — Kita memilih seseorang yang kita percaya boleh membahagiakan kita. Kita fikir dialah yang paling tepat. Tapi kadang-kadang, walaupun kita dah pilih dengan hati-hati, perkahwinan tetap tidak menjadi.


Pilihan keluarga — Aneh tapi benar, ada pasangan yang dipilihkan oleh keluarga, dan kita sendiri pun tak pasti “OK ke tak ni?”. Tapi peliknya, ada yang kekal bahagia sampai ke hujung hayat.


Belajar atau berhenti? — Ada orang ambil keputusan sambung belajar tinggi-tinggi. Ada pula yang berhenti separuh jalan untuk mulakan perniagaan. Dua-dua meletakkan masa depan sebagai pertaruhan. Hasilnya? Kita takkan tahu sehinggalah masa berlalu.


Kalau hidup ini ada “preview”, mesti ramai yang sanggup bayar mahal. Tapi sayangnya tidak. Kita hanya boleh buat yang terbaik dan bertawakal pada hasilnya.


Ada orang kata hidup ini bukan tentang betapa tepatnya kita pilih, tetapi bagaimana kita bertahan dan belajar. Dan itu ada betulnya. Kadang-kadang pilihan yang salah pun boleh membawa kita ke jalan yang akhirnya lebih baik.


Sebab itu hidup ini terasa seperti perjudian, bukan kerana kita suka ambil risiko, tetapi kerana masa depan sentiasa kabur. Kita hanya boleh memilih berdasarkan apa yang kita tahu hari ini.


Yang penting, apa pun terjadi, Jangan berhenti melangkah, Jangan patah balik pada kegagalan lama, dan jangan terlalu keras menyalahkan diri terhadap keputusan yang tidak menjadi.


Hidup ini tentang perjalanan, bukan kesempurnaan. Selagi kita bergerak ke hadapan, kita masih dalam permainan.


Itulah serba sedikit pandangan aku tentang kehidupan. Hidup ini sementara saja. Sementara menunggu waktu untuk bergerak balik, aku tuliskan apa yang berada dalam kepala aku.


5 Disember 2025 (5:22 pm)

Bukit Rotan, Selangor.