Nuffnang

Friday, June 13, 2025

BERKORBAN ATAU TERKORBAN?

Berkorban adalah sanggup melepaskan sesuatu yang kita sayang demi Allah S.W.T. Nabi Ibrahim mengorbankan anak kedayangannya Nabi Ismail untuk memenuhi perintah Allah S.W.T.  Kita sanggup mengorbankan binatang peliharaan yg kita jaga sekian lama untuk beribadah. Korbankan wang yang kita susah payah kumpul untuk membeli kerbau/lembu untuk dikorbankan.


Berkorbankah aku? Andai perpisah menjadi percaturan sebuah teori kebahagiaan yang aku ciptakan. Atau aku hanya mengejar fatamorgana dan bakal terkorban di gurun bernama HARAPAN. 


Ciajuolah…


14 Jun 2025 (7:11 am)

Jakarta, Indonesia.

Wednesday, June 4, 2025

ISTIDRAJ

 


Mesti pernah kita melihat orang yang hidup bergelumang dengan maksiat, rasuah, tak solat, menipu dan menganiaya tetapi dilimpahi dengan rezeki yang banyak, hidup mewah serba serbi, keluarga yang Bahagia dan cukup segala-galanya. Begitu juga dengan orang bukan Islam yang tidak pernah solat, Tidak mengakui Allah S.W.T itu tuhan, minum arak, berjudi, maksiat tetapi hidupnya jauh lebih senang dan Bahagia berbanding dengan hamba Allah S.W.T yang taat dan menuruti segala perintah-Nya dengan sangat patuh.

Pasti kita tertanya mengapa Allah S.W.T masih mengurniakan mereka dengan nikmat rezeki dan kesenangan hidup sedangkan mereka ingkar dengan perintah-Nya. Itulah yang dipanggil ISTIDRAJ. Istidraj adalah nikmat kejayaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada seseorang walaupun orang itu melakukan maksiat dan jauh dari ketaatan kepada-Nya. Ia sebenarnya bukanlah satu keberkatan, tetapi merupakan ujian yang sukar. Kerana manusia lebih cenderung untuk melupakan dan menjauhi Allah S.W T apabila dalam kesenangan berbanding di dalam Kesusahan. Tanyalah diri sendiri, adakah kita masih akan mengingati Allah S.W.T dan bersyukur apabila dikurniakan kesenangan dan kemewahan? Masihkah kita akan menjaga solat? Adakah kita akan bersedekah dan membayar zakat atas kemewahan yang diperolehi? Menjawab pastinya lebih mudah dari melaksanakan.

Sesungguhnya Allah S.W.T itu maha adil lagi maha mengetahui. Tidak perlulah kita mempersoalkan mengapa dan mengapa. Tak perlulah mempertikaikan ketentuan Allah S.W.T. Bersangka baik lah dengan Allah S.W.T. Setiap perbuatan kita yang baik mahupun yang buruk pasti akan ada balasan dari Allah S.W.T. Sesetengahnya dibalas terus di dunia ini, sesetengahnya akan dibalas di akhirat kelak. Namrud sombong kerana ada semuanya, Firaun sombong kerana ada semuanya yang dia mahu sehingga mati kedua-duanya dalam keadaan yang hina.

Sebagai hamba, taatlah kepada-Nya walau dalam apa jua keadaan dan ujian yang diturunkan. Sentiasalah bersyukur engan nikmat dan rezeki yang dikurniakan tidak kira banyak atau sikit. Syukur itu ada tiga peringkat, pertama meyakini nikmat itu datang dari Allah S.W.T. Kedua mengungkapkan syukur dengan Alhamdulillah, dan ketiga memanfaatkan nikmat tepat pada tempatnya. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang sesat.

Tulisan ini bukanlah untuk mengajar tetapi lebih kepada rujukan dan peringatan kepada diri saya sendiri. Saya juga hamba Allah S.W.T dan saya tidak sempurna. Semoga bermanfaat juga kepada sesiapa yang membaca.

Ciajuolah...

4 Jun 2025 (8:07 pm)
Kuala Sungai Baru, Melaka