Nuffnang

Friday, October 24, 2025

CINTA DATANG DAN PERGI

 

Perasaan CINTA adalah perasaan yang semulajadi.

Dia datang dan pergi dengan sendirinya.

Bila dia dah datang, jagalah dengan sebaiknya.

Bila dia pergi dia takkan kembali semula walau dipaksa. 

Kerana dia datang bukanlah kerana dijemput.

Dia pergi bukanlah kerana diusir.

Dia semulajadi.


Ciajuolah…


Kajang, Selangor 

(Sabtu 25 Oktober 2025 9:56am)

Saturday, October 18, 2025

HEBAT PUN TAK GUNA KALAU ORANG TAK SUKA


Baru-baru ni aku ada beli satu buku, aku tertarik dengan quote dari Dale Carnegie yang disebut dalam buku ni:

“Technical knowledge contributes only 15% to a person's success, while the remaining 85% depends on communication skills and the ability to manage interpersonal relationships.”

Aku rasa ramai yang ada masalah ni di tempat kerja, sampai politik di tempat kerja ni jadi rumit sangat. Ramai antara kita yang bangga sangat dengan ilmu teknikal masing-masing sampai terlupa satu perkara — manusia ni bukan mesin. Kita bukan bekerja dengan komputer semata-mata, tapi dengan manusia lain yang ada hati, emosi, dan perasaan.

Aku jumpa ramai orang yang hebat ilmu teknikalnya — boleh selesaikan masalah kompleks, faham teori mendalam, tapi bila bab bergaul... zero. Tak boleh nak bekerjasama, cepat sentap, suka kritik orang, dan akhirnya dipulaukan. Orang taknak kerja dengan dia walaupun sebenarnya dia sangat berbakat. Dalam jangka panjang, dia susah nak maju sebab kejayaan sebenar dalam dunia pekerjaan ni bukan sekadar know-how, tapi juga know-who dan know-how-to-deal-with-people.

Satu lagi benda yang aku perasan — kadang-kadang keputusan atau tindakan kita sebenarnya dah betul, tapi cara kita sampaikan atau cara kita laksanakan tu tak kena. Nada suara, timing, atau gaya penyampaian boleh buat orang terasa. Niat kita nak betulkan keadaan, tapi cara kita tu yang menyebabkan orang lain tak selesa. Akhirnya mesej baik pun tak sampai, malah kita pula yang dilihat sombong atau “bossy”. Jadi bukan saja apa yang kita buat penting, tapi macam mana kita sampaikan dan laksanakan pun memainkan peranan.

Setahu aku dalam Islam pun, hubungan sesama manusia ni sangat dituntut. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maknanya, kehebatan kita ni bukan diukur pada kepandaian semata-mata, tapi bagaimana kita memperlakukan orang lain juga penting. Kita kena belajar untuk terima orang — walau perangai dia menyakitkan hati atau tak kena dengan selera kita. Jangan cepat menghukum. Kadang-kadang orang tu bukan jahat, cuma dia belum sampai masa untuk berubah. Tugas kita bukan menilai, bersabarlah cari cara terbaik untuk berurusan dan tunggu masa yang sesuai kalau nak menegur.

Hubungan yang baik ni bukan tentang berpura-pura, tapi kena ikhlas menghormati dan memahami orang lain. Bila kita boleh jaga hubungan sesama manusia, rezeki pun jadi lebih luas, kerja lebih lancar, dan hati lebih tenang.

Ciajuolah...

19 Oktober 2025 (8:54 am)

Kajang, Selangor.

Friday, October 10, 2025

PESAN UNTUK DIRI




 Assalamualaikum:

Hati yang pasrah, rezeki makin mudah. Lisan yang bersyukur, hidup makin teratur. Solat bukan hanya perintah, ia adalah pintu keberkatan kepada rezeki yang bersih dan jiwa yang tenang. Jangan lupa berzikir dan bermunajat,  kerana rezeki bukan hanya pada harta, tetapi juga pada kesihatan, kasih sayang, dan usia yang bermakna.

━━•⊰✿🌹✿⊱•━━

Ciajuolah…

11 Oktober 2025 (10:18am)

SK Bandar Rinching, Semenyih.

Sunday, September 14, 2025

LOLLIPOP MOMENT

 

Seorang pelajar senior sebuah universiti yang bertugas menjaga pendaftaran pelajar-pelajar baru melihat keresahan pada wajah seorang perempuan yang sedang beratur untung berdaftar. Mungkin ini adalah pertama kali dia berpisah dengan keluarganya.


Dia ingin meredakan keresahan pelajar tersebut dan mengambil sebatang gula-gula lollipop untuk diberikan kepada pelajar tersebut. Tetapi, dia tidak memberikan lollipop terus kepada pelajar tersebut, malah memberikan kepada pelajar lelaki yang juga sedang beratur di hadapan pelajar tersebut dan berkata, “Berikan Lollipop ini kepada perempuan yang paling cantik kamu lihat pada hari ini”. 


Tanpa berfikir panjang, pelajar lelaki tersebut memberikan lollipop tersebut kepada pelajar perempuan yg keresahan itu. Tak lama selepas itu senior tersebut melihat mereka sedang rancak berbual tanpa sebarang keresahan dia wajah masing-masing. 


Lima tahun kemudian, pelajar senior tersebut menghadiri reunion universiti dan dia tiba-tiba didatangi oleh sepasang suami isteri. Si suami tanpa berkata apa-apa terus memeluk senior tersebut dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.


Rupanya pasangan itu adalah pelajar baru yang telah dibantu oleh senior tersebut lima tahun lalu. Sejak berkenalan melalui lollipop itu, mereka telah menjadi kawan rapat dan saling jatuh cinta. Percintaan mereka telah membuatkan mereka saling membantu dalam pelajaran sehingga berjaya. Mereka telah mendapat pekerjaan yang baik, berkahwin dan bekeluarga.


Siapa sangka dengan sebatang lollipop dapat mengubah nasib seseorang menjadi lebih baik. Kisah ini dikenali sebagai “lollipop moment”. Apakah lollipop moment anda?


Lollipop moment saya ialah pada waktu tingkatan 5, penolong ketua kelas saya baru balik dari menghantar buku kerja sekolah rakan-rakan kelas di bilik guru yang terletak agak jauh dari kelas. Sebaik melangkah masuk, beberapa orang rakan kelas yang baru sampai menyerahkan buku mereka untuk dihantar. 


Penolong ketua kelas saya tersebut sedikit pun tidak mengeluh, malah hanya menggaru kepala dan menerima buku tersebut dengan senyuman dan keluar semua untuk menghantar buku rakan-rakan tadi. 


Melihat situasi tersebut saya jadi tersentuh dan kagum dengan ketabahan penolong ketua kelas tadi. Lalu saya berazam untuk menjadi seorang yang tabah seperti dia. Saya tidak akan mengeluh setiap kali ujian atau masalah datang, malah bertekad untuk mengharunginya tanpa sebarang keluhan, rintihan, putus asa, patah semangat dan sebagainya.


Alhamdulillah sifat tersebut masih kekal dalam diri ini dan ianya sangat membantu tugas saya sebagai ketua jurutera. Masalah dan cabaran adalah makanan harian saya. Perkara pertama yang saya fikirkan apabila masalah datang adalah apakah cara terbaik untuk menyelesaikannya. Bukan mencari orang untuk disalahkan ataupun mengeluh dan meratapi. Jauh sekali untuk berpatah semangat dan bersedih sepanjang hari.


Lollipop moment ini bagus untuk dikongsikan bersama kerana ia dengan mudah boleb menjadi inspirasi atau semangat kepada orang lain. Cuba kongsikan lollipop mement anda dia ruangan komen.


Ciajuolah…


14 September 2025 (4:16pm)

Kampung Sungai Jurong, Slim River, Perak.

Wednesday, August 27, 2025

BENDERA TERBALIK

 

Mood kemerdekaan aku rasa macam spoil sikit tahun ni. Beberapa kes bendera Malaysia dan negeri dipasang terbalik betul-betul buat orang bercakap. Dari kes pelajar OKU kat sekolah, kedai hardware kat Penang, kes kat Pontian (Malaysia & Johor), sampailah baru-baru ni bomba turunkan bendera terbalik kat Batu Caves.

Ramai orang cepat kaitkan dengan isu perkauman. Tapi pada aku, benda ni lebih kepada isu semangat patriotik dan rasa cintakan negara. Malah sekarang ni ada orang jadi takut nak kibarkan Jalur Gemilang sebab risau tersalah pasang atau tak perasan bendera tu ada kecacatan.

Padahal bulan ni sepatutnya bulan paling best untuk kita tunjuk rasa bangga jadi rakyat Malaysia. Sepatutnya makin rapatkan hubungan antara kaum. Tapi apa yang jadi macam terbalik pulak.

Tambah pula dengan kes arwah Zara Qairina, lagi buat aku rasa sambutan kemerdekaan kali ni hambar. Kerajaan yang lahir hasil perjuangan kemerdekaan sepatutnya bela rakyat, bukannya buat rakyat rasa macam masih dijajah oleh tangan sendiri. Jadi, persoalan tu muncul: kita ni betul-betul merdeka ke?

Aku bukan nak back up sesiapa yang pasang bendera terbalik tu. Aku cuma nak ajak semua orang: kibarkan bendera kita dengan bangga, hormati apa jua lambang negara. Isu-isu salah pasang tu biar pihak berkuasa settle. Tugas kita — simple je — cintakan negara ni.

Selamat Hari Merdeka, geng 🇲🇾❤️

Ciajuolah...

27 Ogos 2025 (22:23 pm)

Jeram, Selangor

Sunday, August 10, 2025

YA ALLAH... AKU TERIMA TAKDIRKU

 

Ya Allah aku terima takdirku

Kalau ini yang terbaik untukku... aku terima.

Masa... cepatlah berlalu supaya aku cepat sembuh.

Kau kuatkanlah diriku ya Allah untuk aku lalui semua ini.

Aku pasrahkan diriku padaMu, maka permudahkanlah langkahku.

Aku yakin apa yang baik menurutMu, pasti itulah yang terbaik.

Semoga ada hikmah di balik kecewa, Ada pelajaran di balik luka.

Dan ada takdirMu yang lebih indah dari harapanku.


Amin ya Rab.


Ciajuolah...


11 Ogos 2025 (8:52 am)

Kajang, Selangor.

Thursday, August 7, 2025

MONOLOG ORANG TUA

 

Semakin usia bertambah semakin saya mengerti tak semua benda perlu dijawab, dibalas dan diperjuangkan. Adakalanya diam itu lebih mahal dari seribu perkataan.


Masa muda dulu seboleh-boleh nak menang tapi sekarang saya lebih memilih untuk tenang. Belajar untuk melepaskan, belajar untuk redha.


Makin meningkat usia juga, saya belajar memilih apa saja yang boleh beri hati ini kedamaian. Saya tak kisah kalau tak ada siapa yang faham diri ini. Saya cuma berharap Allah redha. 


Makin jauh perjalanan hidup semakin saya sedar Allah je tempat selamat untuk saya kembali. Saya tak sempurna tapi usia mengajar untuk tak mengejar kesempurnaan. Cukup jadi lebih baik dari semalam.


Kalau ada segalanya tapi hati tak damai pun tak bermakna juga hidup. Lebih baik sendiri dengan hati yang damai akan rasa lebih bahagia.


Selamat hari ulang tahun perkahwinan kepada bekas isteri saya. Walaupun perkahwinan dah berakhir tetapi ia tetap menjadi sebahagian dari sejarah hidup saya yang banyak mengajar saya untuk menjadi lebih dewasa. Sekarang kedua-duanya dah single, masing-masing tenang dengan cara hidup masing-masing.


Semoga bahagia untuk semua…


Ciajuolah…


8 Ogos 2025 (8:33 am)

Kampung Parit Jerman, Pontian, Johor.