Nuffnang

Tuesday, November 17, 2026

BAYANGAN DUNIA MASA DEPAN

Masa sekolah dulu, pernah tak cikgu korang suruh bayangkan dunia masa depan, kemudian lukis atau buat karangan tentangnya? Yang wajib ada dalam imaginasi korang tu mestilah robot dan kereta terbang, kan? Manusia berehat sahaja, semua kerja robot yang buat. Betul tak?

Aku rasa dunia macam tu sebenarnya dah semakin hampir. Cuma ada sedikit perbezaan. Berdasarkan perkembangan teknologi terkini, aku rasa manusia pada masa depan akan lebih banyak bergantung kepada Artificial Intelligence (AI).

Kalau sekarang manusia perlu menaip prompt untuk meminta bantuan AI, mungkin pada masa depan kita dah tak perlu menaip apa-apa. Sebaliknya, setiap manusia akan mempunyai peranti khas yang dilengkapi kamera dan mikrofon. AI akan mengenal pasti situasi semasa kita dan terus memberikan maklumat tentang apa yang kita perlukan atau apa yang terbaik untuk kita lakukan.

Mungkin lebih canggih lagi, peranti tersebut turut dilengkapi sensor untuk mengesan suhu badan, keadaan persekitaran, paras hormon dan denyutan nadi. Dengan semua maklumat ini, AI dapat memahami keadaan kita dengan lebih mendalam untuk bantu kita berfikir dan bertindak.

Di zaman itu, mungkin manusia yang bijak tidak lagi menjadi satu kelebihan yang begitu penting. Sebaliknya, yang lebih penting ialah AI yang cukup terlatih, mempunyai banyak data dan mampu memberikan maklumat serta cadangan yang bijak.

Senang cerita, bukan manusia yang menciptakan robot, tetapi manusia itu sendiri yang akhirnya menjadi robot. Bezanya, bukan robot yang dicipta mengikut arahan manusia, tetapi manusia yang mungkin akan mengikut arahan robot. Setiap tindak-tanduk kita diperhatikan, dianalisis dan dipandu oleh AI.

Tapi kalau kita meramal lebih jauh lagi, mungkin suatu hari nanti teknologi yang kita bangunkan sendiri akan menjadi punca kehancuran tamadun manusia. Mungkin manusia terpaksa kembali hidup seperti zaman batu, atau lebih buruk lagi, teknologi yang tidak terkawal merosakkan planet kita sehingga membawa kepada kepupusan manusia.

Wallahua'lam.

Macam mana pula imaginasi korang tentang dunia pada masa depan?

Ciajuolah...

Selasa, 17 November 2026 (11:07 pm)

Kajang, Selangor.

No comments:

Post a Comment