Nuffnang

Sunday, January 27, 2019

Pilihan Raya Kecil Cameron Highland!



Saya bukanlah seorang yang suka berpolitik, tapi sebagai salah seorang rakyat Malaysia, keadaan politik ni negara ini sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan saya.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan TAHNIAH saya ucapkan kepada pengundi di Cameron Highland di atas keputusan pengundian mereka yang pada pendapat saya adalah tepat. Saya bukanlah penyokong parti Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan. Pada PRU yang lepas saya sangat menyokong Pakatan Harapan dan sangat gembira atas pertukaran kerajaan. Namun selepas isu kesultanan melayu dan keagamaan dan perkauman dimainkan saya rasa kerajaan Pakatan Harapan patut diberi teguran di atas prestasi hambar mereka memrintah kerajaan, dan saya rasa di PRK Cameron Highland inilah teguran ini berjaya disampaikan.

Menyokong parti politik pada saya bukanlah seperti menyokong pasukan bola sepak yang kita tetap akan sokong walau apa pun berlaku. Tidak sepatutnya ada penyokong tegar sesuatu parti politik kerana penyokong tegar inilah yang akan menyebabkan pemerintah bertindak sesuka hati mereka. 

Sepatutnya - apabila kerajaan memerintah tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kita patut bersuara, dengan memberi sokongan kepada pembangkang supaya kerajaan memerintah sedar dan memperbaiki kelemahan mereka atau berundur diri. Tetapi jika mereka melakukan tugas dengan cemerlang kita teruskanlah sokongan.

Terima kasih Cameron Highland, suara anda mewakili suara saya juga....

Ciajuolah...

Sunday, January 6, 2019

Ada Apa dengan Orang Asli?


Salam semua... Sejak kecil lagi Orang Asli bukanlah asing bagi saya. Kampung saya dikelilingin dengan kampung Orang Asli, di sekolah rendah saya sekelas dengan Orang Asli. Tapi dulu saya taklah berminat sangan dengan mereka, tak nampak apa-apa keistimewaan. 

Namun akhir-akhir ini saya sering berminat untuk ingin tahu tentang mereka, mengenali suku kaum yang ada dan perbezaannya, mengenali budaya mereka dengan lebih dekat, mendengar lagu-lagu bahasa mereka dan kalau boleh ingin mempelajari bahasa mereka. Apa yang ada pada Orang Asli ni?

Serba seikit tentang Orang Asli, Orang asli di Malaysia terdapat 18 suku kaum terbahagi kepada tiga kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Setiap kategori ini terdiri daripada lebih kurang enam suku kaum. nak tahu lebih lanjut bolehlah melawat ke website rasmi JAKOA

Ramai yang menganggap Orang Asli mundur, tak berpelajaran dan tiada masa depan. Namun pada saya dunia Orang Asli adalah satu dunia yang berbeza dari dunia moden kita sekarang. Kebanyakan mereka yang masih belum moden, tidak pening memikirkan pekerjaan, hutang, komitmen dan sebagainya. Mereka tidak suka dikongkong oleh peraturan yang ketat dan remeh temeh.

Mereka tidak menerima permodenan bukan bermakna mereka bodoh, pada saya ianya hanyalah perbezaan cara berfikir. Contohnya cara bertani moden biasanya kita akan bersihkan kawasan hutan dari segala pokok-pokok menggunakan jentera-jentera berat sehingga menjadi tanah yang lapang dan kemudian membuat batas dan menabur biji benih. Orang Asli di Australia (Maaf tak terfikir lagi contoh untuk orang asli di Malaysia) cara mereka bertani ialah dengan membuat satu perimeter dan membakar obor dan api yang marak di sekeliling parameter tersebut sehingga pokok-pokok dalam perimeter tersebut menjadi kering dan daun-daun serta bunga dan benih pokok gugur ke tanah. Mereka meninggalkan perimeter tersebut setelah semua pokok hanya tinggal dahan dan ranting. Tanah yang terbakar akan menjadi lebih subur, daun-daun yang gugur akan menjadi baja dan buah atau bunga yang gugur akan menjadi benih. Setelah beberapa bulan mereka akan kembali dan menuai hasil dari pokok-pokok baru yang tumbuh. Bijak bukan?

Jadi janganlah kita memandang rendah pada mereka hanya kerana mereka tidak moden, bukannya mereka tidak boleh tapi mereka lebih suka cara mereka. Sebenarnya ada banyak yang boleh kita pelajari dari mereka.

Ciajuolah...

Wednesday, January 2, 2019

Movie Review: Forest Gump



Post pertama untuk tahun 2019 ni saya nak buat movie review. Bukan movie baru tapi movie lama yang penggemar movie wajib tengok dan kebanyakan yang kaki movie memang dah tengok pun iaitu Forest Gump.

Mengisahkan kisah hidup seorang lelaki yang lembap atau lurus bendul yang tidak pernah menganggap dirinya dan apa yang dimilikinya sebagai kekurangan. Dibesarkan tanpa ayah, ibunya yang sentiasa bersikap positif menjadi pendorong dalam hidupnya sehingga dia berjaya mencapai banyak kejayaan dalam hidup dari pemain bola (American Football) yang berjaya, menyertai militari dan menerima pingat ketenteraan semasa misi di Vietnam, pemain ping pong antarabangsa, nelayan udang yang berjaya dan ahli perniagaan yang kaya raya.

Tetapi orang yang paling disayangi oleh Forest mungkin adalah yang paling sukar untuk diselamatkan olehnya iaitu kekasihnya sejak kecil yang bernama Jenny. Jenny seorang yang sangat sosial hidupnya akibat dari latar belakang semasa kecilnya. Walaupun bermacam perkara buruk yang dilakukan oleh Jenny namun Forest tetap dapat menerimanya dan mengasihinya sehingga ke akhir hayat.

Cerita ini ringan dan terdapat banyak babak lucu kerana sifat kebudak-budakkan forest. Pada saya apa yang paling menarik adalah mesej yang tersirat di sebalik cerita ini terutama sekali sikap sentiasa berfikiran positif Forest Gump. Mesej-mesej tersebut dapat saya simpulkan seperti berikut:

  1. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Malah sesuatu yang kita anggap kekurang mungkin boleh menjadi kelebihan buat kita jika ianya dipandang secara positif.
  2. Dengar nasihat ibu bapa dan orang yang sayangkan kita, sesungguhnya apa yang dinasihatkan oleh mereka itu adalah untuk kebaikan kita.
  3. Jangan ada sifat hasad dengki atau membenci orang lain walau sejahat mana pun orang itu kerana setiap orang boleh berubah. 
  4. Mesej yang paling penting sekali dalam cerita ini ialah sentiasa berfikiran positif dalam setiap apa yang dilakukan. InsyaAllah kita akan sentiasa maju dan akan berjaya.

Ciajuolah...

Monday, December 31, 2018

SELAMAT TAHUN BARU 2019

Hari ini hari terakhir 2018. Terasa cepatnya masa berlalu esok dah nak masuk tahun baru 2019. Rasa macam belum puas lagi nak bersuka-ria di tahun 2018.

Teringat lagi kenangan di pintu sekolah tadika waktu umur 6 tahun, mengira umur pada masa hadapan terasa tahun 2018 tu terlalu jauh dan takkan sampai. Tup-tup 30 tahun dah berlalu dan 2018 pun dah nak berakhir. Kalau difikirkan masa lampau memang sentiasa ada keinginan untuk kembali ke masa tersebut, maklumlah masa muda.

Banyak azam tahun baru yang difikirkan untuk tahun 2019, nak tulis blog banyak-banyak, nak kurus, nak baca buku banyak-banyak, nak tambah ilmu dan sebagainya. Tapi semua azam yang difikirkan akan menuju kepada satu kunci yang sama untuk dicapai. Iaitu DISIPLIN. 

Perkataan disiplin ni memang banyak kali didengar masa sekolah dulu sampai rasa muak, cuba bila dah tua ni barulah faham kenapa ianya banyak kali diulang dan diterangkan. Sebab ianya adalah kunci dalam mencapai sesuatu matlamat. Jadi azam saya untuk tahun 2019 ini ialah untuk menjadi lebih berdisiplin supaya segala matlamat yang saya usahakan akan tercapai InsyaAllah.

SELAMAT TAHUN BARU 2019

Ciajuolah...

Saturday, December 29, 2018

Hak Keistimewaan Orang Melayu


Setelah lama tak update blog ni tiba-tiba hati tergerak untuk menulis kembali. Kali ini ingin menyentuh isu yang agak berat iaitu hak-hak keistimewaan orang melayu dan jugak bantuan-bantuan dari kerajaan kepada rakyat terutamanya orang melayu. Namun ini hanyalah pendapat peribadi saya sahaja, tidak mewakili mana-mana organisasi atau kaum.

Sejak pertukaran kerajaan Malaysia daripada kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan banyak perubahan telah berlaku dan diperdebatkan antaranya hak-hak keistimewaan orang Melayu dan juga bantuan-bantuan kerajaan ada yang dikurangkan ada yang ditambah juga.

Ramai masyarakat Melayu yang membantah ratifikasi ICERD, ramai marah bila BR1M ditukar nama dan dikurangkan, ramai yang marah bila banyak Menifesto kerajaan PH tak dapat dilaksanakan seperti yang dijanji. Saya tidaklah membantah atau tidak bersetuju kerana pada saya apa yang disuarakan itu ada juga benarnya.

Pada pendapat saya segala bantuan kerajaan, subsidi dan hak-hak keistimewaan kepada orang melayu hanyalah suatu kelebihan sahaja. Sepatutnya dengan bantuan dan hak keistimewaan ini taraf hidup masyarakat orang melayu lebih baik dari kaum-kaum lain. Dan apabila bantuan dan hak keistimewaan ini dimansuhkan sepatutnya kita setaraf dengan kaum-kaum lain. Tapi apa yang berlaku ialah dengan bantuan dan hak keistimewaan masyarakat melayu masih tak setaraf dengan kaum lain apatah lagi tanpa bantuan dan hak keistimewaan. Mungkin segala bantuan dan hak keistimewaan yang diberikan selama ini membuatkan masyarakat Melayu terlalu bengantung kepadanya  melemahkan mereka pada masa yang sama ia menguatkan kaum lain yang terpaksa bersaing dengan masyarakat melayu yang mempunyai hah keistimewaan.

Harapan saya kepada masyarakat melayu dan diri saya sendiri berusaha dengan lebih keras dan lebih bijak lagi dan menggunakan segala bantuan dan hak keistimewaan yang diberi sebagai suatu kelebihan sahaja bukan sebagai suatu kebergantungan. Cuaca tak selalunya cerah, adakalanya ribut melanda juga. Jadi, bersedialah...


***Gambar kredit kepada http://azlanrumadi.blogspot.com




Ciajuolah....

Monday, March 28, 2016

Makanan Student Masa Kini

Semalam saya singgah makan seorang diri di kedai tom yam berhampiran office. Oleh kerana kepenatan bekerja saya pun pesanlah makanan yang 'mewah' sedikit iaitu nasi goreng USA dan teh ais. Tambahan pula dah lama saya tak singgah ke restoran tersebut.

Kawasan restoran tersebut berhampiran dengan kawasan kolej-kolej swasta, kalau tak silap saya sekurang-kurangnya ada dua kolej swasta berhampiran, satu kolej yang majoriti pelajarnya melayu dan satu lagi yang majoritinya pelajar cina. Restoran tersebut terletak di bahagian bawah bangunan lima tingkat, bahagian atas bangunan pula adalah hostel-hostel pelajar kolej.

Saya duduk di meja bahagian luar restoran, di sebelah saya ada tiga orang pelajar cina sedang menunggu pesanan, apabila makanan yang mereka pesan sampai, salah seorang dari mereka bangun dan datang kepada saya. "Ini tak guna ka?" tanyanya sambil menunjukkan kepada bekas sudu di atas meja saya. Saya senyum dan mengambil satu set sudu dan garpu untuk kegunaan saya dan memberikan bekas sudu dan garpu tersebut kepadanya. Daripada percakapannya saya rasa dia bukanlah seorang yang fasih berbahasa melayu dan kebarangkalian dia merupakan pelajar cemerlang dalam subjek bahasa melayu adalah rendah. Mungkin subjek bahasa melayu bukan lagi subjek penting kemasukan ke kolej masa kini terutamanya kolej swasta. Berbanding dahulu kebanyakkan kolej memerlukan kredit dalam bahasa melayu sebagai syarat kemasukan.

Saya sempat menjeling ke arah menu yang dipesan oleh mereka, ketiga-tiga mereka memilih menu yang sama iaitu nasi putih, telur dadar dan sup kosong. Ini membuatkan saya mengimbas kembali zaman student saya dulu. Rasanya tak ada sekalipun saya pesan menu begitu walaupun dalam keadaan berjimat. Apa yang saya fikir ketika itu ialah mungkin yuran kolej swasta yang majoritinya cina itu terlalu tinggi hingga pelajarnya terpaksa berjimat sampai begitu sekali. Tambahan pula pelajar cina sukar untuk diterima memasuki kolej-kolej awam dan tidak layak ke kolej tajaan MARA yang kosnya lebih rendah. Saya juga tak nampak pelajar melayu yang makan sekali di restoran itu menguatkan lagi sangkaan saya. Mungkin mereka makan di restoran lain yang lebih banyak pilihan makanan.

Selesai makan saya ke kaunter di dalam restoran untuk membayar harga makanan, di dalam ada seorang pelajar perempuan melayu sedang makan, membuat saya tertanya-tanya apakah menunya. Dalam hati saya mengagak tentulah menu yang mewah sedikit berbanding pelajar cina tadi, kerana pelajar melayu ada banyak pilhan kolej untuk dimasuki dan kosnya lebih murah. Tapi sangkaan saya meleset kerana menu pelajar melayu tersebut memesan menu yang sama seperti pelajar cina tadi.

Kesimpulan saya mana-mana tempat pun mungkin itulah menu standard student: Nasi putih, telur dadar dan sup kosong. Bukan lagi nasi goreng kampung seperti dulu karana harga nasi goreng kampung kini RM4.00-RM4.50 berbanding dulu RM2.00- RM2.50. Kos sara hidup di kolej mungkin telah meningkat tatapi bajet untuk makan mungkin sama lagi seperti dulu menyebabkan student kini terpaksa berkorban lebih sedikit. Kesimpulan saya mungkin tidak berapa tepat kerana ia berdasarkan pemerhatian saya ke atas beberapa orang student sahaja. Sekian.


Ciajuolah...

Thursday, October 29, 2015

Kesan Peristiwa Kehilangan Terhadap Masyarakat Orang Asli


Dua bulan lepas kita digemparkan dengan kehilangan 7 murid orang asli di Gua Musang yang akhirnya ditemui semula selepas 47 hari. Itupun hanya dua orang masih hidup, empat lagi telah meninggal dunia dan satu lagi masih tidak ditemui hingga kini.

Apa yang hendak saya bincangkan di sini bukanlah kisah kanak-kanak malang ini, tetapi kesan peristiwa ini kepada masyarakat orang asli. Mungkin ramai yang beranggapan perkara ini telah selesai selepas penemuan semula tersebut. 

Kesan yang paling utama adalah mentaliti masyarakat orang asli terhadap sekolah akan mula berubah. Anak-anak orang asli mula takut handak ke sekolah, manakala ibu bapa pula akan merasa risau apabila anak mereka dihantar ke sekolah kerana bimbang perkara malang seperti yang berlaku terhadap tujuh anak orang asli berlaku kepada mereka.

Sebelum ini pun memang sukar untuk menyekolahkan anak-anak orang asli. Pengalaman saya semasa di sekolah dulu dalam kelas saya ada sepuluh orang murid orang asli namun hanya 30 peratus sahaja yang menamatkan persekolahan sehingga dahjah enam. dan sepanjang saya bersekolah hanya seorang sahaja anak orang asli yang sampai ke tingkatan lima. Walaupun mereka dibekalkan dengan peralatan, pakaian, yuran dan pengangkutan percuma ke sekolah tetapi mereka masih malas mahu bersekolah. Pada pendapat saya ini hanyalah kerana mentaliti mereka masih tidak berubah dan merasa selesa mencari rezeki di hutan. Yang lagi best kesepuluh anak orang asli ni datang semula ke sekolah semasa perperiksaan UPSR selepas 6 tahun ponteng sekolah - pening kepala cikgu.

Satu lagi pengalaman saya ialah pada tahun 2009 saya melakukan kerja di kawasan Sekolah Kebangsaan POS Blau, Gua Musang, POS ini tidak jauh dari jalan Cameron Highlan - Gua Musang. Menurut guru-guru di situ, mereka tiada masalah sangat dengan kehadiran murid di sekolah tetapi POS-POS orang asli yang lebih pedalaman guru-guru kena pergi dari rumah ke rumah menjemput anak orang asli balik ke asrama dan memujuk ibu bapa melepaskan anak mereka ke sekolah. Apabila berlaku peristiwa kehilangan anak orang asli di sekolah saya dapat bayangkan cabaran cikgu selepas ini untuk memujuk anak-anak orang asli ini ke sekolah.

Sangkaan saya tepat apabila terbaca artikel "Pujuk hantar anak sekolah" dalam Harian Metro 27 oktober 2015. Pada saya langkah ini bagus kerana bukanlah tugas mudah untuk mengubah pendirian dan mentaliti seseorang. Bantuan dari NGO amatlah diperlukan, peruntukan dari pihak kerajaan pusat dan negeri amatlah dialu-alukan. Mungkin ada genius dikalangan anak orang asli tetapi tidak dapat pendedahan kepada ilmu, semoga ini tidak berlaku.

Kepada anak-anak orang asli khususnya kaum Temiar, 

"LAJARLAH KEMEN-KEMEN"