Nuffnang

Saturday, October 11, 2014

Pembetulan Peribahasa Melayu

Burung Pegar

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi - Salah

Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi - Betul

Bukan PAGAR yang makan padi, tapi PEGAR yang makan padi iaitu sejenis burung. Disebabkan kesilapan membaca tulisan jawi maka PEGAR bertukar menjadi PAGAR. Burung pegar adalah dari spesis yang memakan serangga dan bijirin. Apabila dijumpai di sawah padi burung ini tidak dihalau kerana sianggap boleh menakutkan haiwan lain dari datang memakan padi. Tetapi memang spesis burung ini juga memakan padi dari situ lahirlah peribahasa "Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi". 

Tidak logik jika Pagar makan padi kerana Pagar bukanlah objek hidup yang perlukan makanan. Tambahan pula, tidak ada mana-mana pesawah di dunia ni yang memagar sawah mereka.


Batok


Melepaskan Batuk di Tangga - Salah

Melepaskan Batok di Tangga - Betul

Batok yang dimaksudkan bukanlah perbuatan seperti terbatuk, tapi adalah merupakan peralatan yang diletakkankan di tepi tangga untuk membasuh kaki. Sudah menjadi kebiasaan orang dulu-dulu membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Biasanya di tepi tangga diletakkan tempayan berisi air dan Batok yang dibuat dari tempurung kelapa digunakan untuk mencedok air tersebut. Selepas digunakan, biasanya batok diletakkan semula ke tempatnya. Sebab itulah orang yang membuat kerja separuh jalan itu diibaratkan "Melapaskan batok di tangga". Sepatutnya dia menghabiskan kerjanya mencuci kaki dengan meletakkan semula batok tersebut di tempatnya. 

Tiada kaitan antara perbuatan terbatuk di tangga dengan orang yang membuat kerja separuh jalan. Lagipun batuk bukanlah seperti kentut yang boleh ditahan-tahan untuk dilepaskan. Biasanya batuk berlaku secara spontan.


Bagaimanapun, untuk adik-adik yang masih belajar digalakkan untuk membuat kajian lebih mendalam di dewan bahasa dan pustaka kerana skema perperiksaan mengikut dewan bahasa dan pustaka, bukan hujah dan logik kita sendiri.

Thursday, October 9, 2014

Minyak Naik Lagi

Cuba tengok video berita di atas, apa pendapat anda? Aku bukanlah penyokong kuat pembangkang atau mana-mana parti, tetapi dari sebab yang diberikan memang jelas nyata harga minyak dinaikkan tanpa sebab yang kukuh. Sebab itulah keluar alasan yang entah apa-apa - TIDAK SENGAJA. Alasan perdana menteri ini tidak dapat diterima logik akal dan aku pun malas nak komen lebih-lebih. Tengoklah sendiri video tu dan nilaikanlah....

Cuba tengok pulak ucapan Ustaz Azhar Idrus ni...
Ucapan UAI ini lebih logik dan diterima akal. Bukan nak membandingkan antara mereka sebab pada aku kedua-dua nya pemikir yang hebat, cuma bezanya UAI menyatakan apa yang sebenarnya berlaku (Sebab itu logik) manakala PM melindungi apa yang sebenarnya berlaku tetapi mungkin ketandusan idea (Sebab itu ntah apa-apa).

Untuk rakyat marhein seperti kita ini tak banyak yang kita boleh buat, cuma post banyak-banyak dekat facebook pasal harga minyak naik, dua hari kemudian pos gambar lembu dan rendang sempena Raya Haji. Senyap terus pasal minyak.

Dari kita bising-bising kat facebook tapi harga minyak naik jugak baik kita layan video Wak Uteh - Minyak Naik dan Lembu Naik Minyak ni semoga terubat sikit hati yang kecewa dengan kenaikan harga minyak. Nak buat macam mana lagi...? Ciajuolah...




Wednesday, October 1, 2014

Roh Orang yang Berhutang

"Roh orang berhutang tidak dapat temui Allah S.W.T selagi hutang tak dibayar. Bahkan Rasulullah tidak akan bersolat ke atas mayat yang hutang belum dijelaskan - ada hadis. Sabdanya "Sesungguhnya roh orang mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya. Sehinggalah hutangnya dijelaskan." (Bukhari Adn At-Tarmizi)


Hadis lain pula meriwayatkan Abu Qatadah pernah menjamin membayar hutang seorang mati sebanyak dua dinar. Setelah dijelaskan, Rasulullah bersabda "Sekarang telah sejuk kulitnya" (Al-Hakim, Ail-Baihaki, At-Tayalisi dan Ahmad)."

Ciajuolah...

Tuesday, September 30, 2014

Isu LGBT - "Ketepi Dosa Asal Nafsu Puas"

Aku tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Ardyhansah Amat dalam Harian Metro tak berapa lama dulu mengenai pendapat penceramah bebas Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani tentang isu LGBT yang semakin berleluasa. Apa yang ditulis banyak kebenarannya. Di sini saya tulis semula artikel tersebut untuk dikongsi bersama.

"Kesibukan masyarakat mengejar duniawi menjadi antara punca utama keteguhan akhlak mula terhakis.

Penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani berkata, tindakan mengasingkan syariat agama daripada kehidupan harian menyebabkan masyarakat tidak memikirkan dosa dan pahala asalkan ia dapat memenuhi tuntutan hidup di dunia.

Memang ketika ini kita seolah olah tidak merasai kesan secara drastik sikap masyarakat yang meminggirkan syariat dengan mata kasar.

Bagaimanapun saya menyifatkan ia sebagai barah yang wujud tanpa disedari tetapi mampu merebak seterusnya menyebabkan kematian.

Masalah homoseksual atau seangkatan dengannya termasuk lesbian, biseksual dan transeksual (LGBT) juga seperti barah yang akhirnya merosakkan masyarakat dan negara.

Kita menyedari kewujudan masalah ini tetapi menganggap ia seolah-olah perkara kecil atau masalah terpencil. Namun hakikatnya kini, ia sedikit demi sedikit membelenggu masyarakat dan negara kita.

Bukti paling jelas apabila Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) mula membuat tuntutan melalui Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober lalu bagi mendesak kerajaan mengiktiraf LGBT yang disifatkan mereka sebagai hak asasi manusia.

Ia jelas ada pihak yang semakin berani mencabar kedaulatan negara dan kesucian agama Islam.

Golongan ini perlu disedarkan bahawa pembentukan negara ini bermula dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi, katanya ketika diminta mengulas laporan Wajah Kehidupan berhubung aktiviti golongan homoseksual di sekitar bandar raya ini.

Tambah Dasuki lagi, masalah ini juga berpunca daripada sikap keterbukaan amalan perundangan yang tidak bertunjangkan sepenuhnya al-Quran dan sunnah.

Undang-undang yang ada sekarang tidak menyeluruh atau masih terdapat lompong menyebabkan kesukaran membanteras atau menangani masalah seperti ini secara menyeluruh.

Jangan melihat perundangan Islam melalui hukum hudud dan kisas semata-mata, kerana kita juga mempunyai hukum takzir iaitu hukuman yang membabitkan penghakiman dan budi bicara pemerintah.

Ini termasuklah sebatan, penjara, buang daerah dan denda termasuk ancaman (amaran) kepada pesalah bagi mendorongnya untuk mengubah tingkah laku,” katanya."

Percayalah LGBT pada hari ini ada di sekeliling kita dan masalah ini bukanlah kecil, bayangkanlah jika ia berlaku kepada ahli keluarga kita yang kita sayangi. Bukanlah perkara yang mudah untuk dipulihkan kerana melibatkan hati dan naluri yang tak dapat dilihat. Apatah lagi jika individu tersebut tiada keinginan langsung untuk berubah kerana terlalu menurutkan kehendak nafsu.

Kalau setakat nasihat memang tak akan berkesan kepada golongan ini, kerana sememangnya golongan ini hati kering sebab itulah tuhan pun diorang tak takut. Setakat ini yang dapat aku perhatikan golongan ini akan hanya berubah apabila:

1 - Menerima hidayah - Mimpi ngeri, musibah, kematian orang tersayang dan lain lain.

2 - Tua - Tiada waris dan tiada pasangan, hidup sendiri dan menyesal.

Amat menyedihkan apabila tersedar di hari tua kerana masa tidak boleh diundurkan. Walaupun amat jarang yang ingin berubah setelah menerima kaunseling atau nasihat, namun teruskanlah berdoa kepada Allah S.W.T dan terus menasihati mana tahu nasihat yang kali ini Allah S.W.T bukakan hatinya untuk berubah. Jika ada golongan LGBT yang membaca artikel ini semoga digerakkan hatinya untuk berubah sebelum menyesal di hari tua kelak. In Syaa Allah...

Ciajuolah...

Saturday, September 27, 2014

Kesilapan yang Sering Berlaku Shell Easy Win Contest


Ramai yang tahu tentang Shell Easy Win Contest kan? Alah yang orang ramai-ramai pakat isi borang lepas isi minyak dekat stesen Minyak Shell tu lah. Biasanya lepas bayar minyak kita akan isi borang dulu & masukkan dalam kotak lepas tu baru isi minyak kan? Sebenarnya salah cara macam tu.

Sepatutnya lepas bayar kita kena pergi isi minyak dulu lepas tu pergi kaunter balik mintak resit lagi sekali, sebab resit yang dikeluarkan sebelum ini adalah prepay reciept/fuel prepay dan ia TIDAK SAH untuk Shell Easy Win Contest. Sila rujuk Term & Cond.

Aku pun baru tahu baru-baru ni bila cashier india dekat stesen minyak Tapah bagitau. Thanks to kakak india yang aku dah lupa namanya tu. Semoga menjadi info berguna untuk semua orang dan semoga murah rezeki.

Ciajuolah...

Friday, September 5, 2014

My First Keyword

Setkat ini belum ada lagi orang yang meng-Google blog ni. Sebab belum ada keyword yang dijumpai. So sesiapa yang nak menjadi orang yang pertama yang memasuki website ni melalui Google, peluang masih terbuka. Tak ada hadiah dan tak masuk Malaysian book of record pun. Cuma ucapan terima kasih...

Ciajuolah...

Friday, August 29, 2014

Dunia, Pentas Ujian


Ramai yang beranggapan orang yang bahagia dan hidup senang itu orang yang bertuah kerana hidupnya tidak diuji ataupun tidak menerima ujian yang berat dari Allah S.W.T. Orang yang susah, kurang upaya dan menderita itu menerima ujian yang berat dari Allah S.W.T

Sesungguhnya Allah S.W.T itu maha adil. Dia menguji hambanya dengan sama rata kerana kesenangan, kekayaan, kebahagiaan dan kesihatan juga sebenarnya adalah merupakan ujian dari-Nya.

Suka saya mengketegorikan ujian dari Allah S.W.T kepada dua iaitu ujian positif dan ujian negatif. Ujian positif adalah ujian yang tidak menyiksakan seperti kekayaan, kebahagiaan, kesenangan, kesihatan dan sebagainya. Ia diturunkan oleh Allah S.W.T untuk menguji hambanya sama ada mereka bersyukur atau tidak dengan nikmat yang diberi. Biasanya ujian ini lebih sukar dan ramai yang gagal kerana lupa bahawa segala nikmat tersebut adalah pinjaman dari Allah S.W.T, bukanlah hak mereka.

Ujian negatif pula ujian yang menyiksakan seperti kesakitan, kesusahan, kemiskinan dan lain-lain. Biasanya apabila ujian ini diturunkan, ramai yang akan datang menghampiri Allah S.W.T walaupun sebelum ujian ini turun mereka jarang sekali mengingati Allah S.W.T. Ini kerana dengan siksa yang diberi barulah mereka sedar bahawa hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membantu mereka. Namun ada juga yang menjadi semakin jauh dengan Allah S.W.T akibat ujian tersebut dengan memilih jalan yang salah untuk mengatasinya seperti melacurkan diri untuk mendapat kesenangan, membuat maksiat untuk melupakan masalah, meminta bantuan bomoh yang syirik untuk merawat penyakit dan sebagainya.


Namun begitu, adat ujian ada yang berjaya ada yang gagal. Apa pun ujian yang akan diturunkan oleh Allah S.W.T kepada kita, marilah kita bersama berdoa semoga urusan kita dipermudahkan. Jadilah hamba Allah S.W.T yang bersyukur, sesungguhnya bukanlah bahagia yang membuat kita bersyukur, tetapi bersyukur yang membuat kita bahagia.

Ciajuolah...