Nuffnang

Friday, February 22, 2019

Jauh Berjalan Luas Pemandangan - Ho Chi Minh, Vietnam

Setibanya di Ho Chi Minh, Vietnam saya terpegun dengan bilangan motorsikal di jalanraya, seperti semut memenuhi jalan raya dan bilangan kereta boleh dibilang dengan jari sahaja. Kebanyakan rakyat di negara ini dari golongan miskin dan tidak mampu memiliki kereta. hampir semua aktiviti harian di negara ini menggunakan motosikal, daripada mengakut orang sampailah mengangkut barang sebesar-besar barang. Tak ketinggalan mengangkut binatang ternakan. Malah kemiskinan ini lebih parah lagi di luar bandaraya Ho Chi Minh. Kita di Malaysia patut merasa bertuah. 



Undang-undang mewajibkan memakai topi keledar untuk penunggang motorsikal juga baru dilaksanakan di negara ini (2013), saya diberitahu sangat susah mendidik masyarakat Vietnam untuk memakai topi keledar pada awalnya namun kini semuanya telah mula akur dengan peraturan itu walaupun topi keledar yang dipakai tidak memenuhi spesifikasi keselamatan jalan raya. Penguatkuasa menganggap lebih bagus ada daripada tak ada langsung, dan menganggap ianya sebagai perubahan berperingkat.




Kemiskinan di negara ini memaksa rakyatnya untuk mempunyai dua pekerjaan, contohnya, siang ke sawah dan malam meniaga. Saya amat kagum dengan kegigihan mereka. Sebenarnya kegigihan ikhtiar hidup rakyat Vietnam ini ada sejak perang dunia kedua lagi. Buktinya pembinaan terowong bawah tanah sewaktu perang dunia tersebut. Terowong ini bukan setakat laluan sahaja kerana di dalamnya ada hospital, dapur, tandas, makmal peluru, perangkap dan sebagainya. Boleh dikatakan terowong ini adalah terowong perang dan merupakan senjata paling ampuh tentera Vietnam yang dipanggil Vietkong. Kalau berpeluang ke terowong ini jangan lupa mengambil tour guide kerana tanpa tour guide anda tak akan merasa apa-apa yang menarik tentang terowong ini kerana anda tak faham. Memang patut mereka berbangga dengan pencapaian mereka semasa perang dan saya rasa banyak yang rakyat Malaysia boleh belajar dari kegigihan mereka itu.




Walaupun aspek keselamatan kurang diambil berat di Vietnam, namun sepanjang saya di sana tiada satu pun kemalangan jalan raya saya saksikan. Rakyat Vietnam juga sangat mementingkan kesihatan, kalau diperhatikan hampir kesemua rakyat Vietnam memilikan berat badan yang ideal dengan ketinggian. Mungkin juga disebabkan kemiskinan tapi saya diberitahu bayaran hospital di sana sangat mahal sehingga rakyatnya lebih rela mati di rumah dari ke hospital dan menanggung hutang hospital sehingga mati dan menyusahkan keluarga mereka. Oleh itu mereka sangat menjaga makan dan melakukan senaman untuk kesihatan. Memikirkan tentang ini menjadikan saya bersemangat untuk menjaga kesihatan.




Semua yang saya tulis ini adalah daripada pemerhatian saya dan info yang diterima dari tour guide. Ada kebarangkalian untuk tidak betul. Untuk lebih pasti bolehlah anda ke Vietnam melihat sendiri ya.

No comments:

Post a Comment