Nuffnang

Wednesday, January 2, 2019

Movie Review: Forest Gump



Post pertama untuk tahun 2019 ni saya nak buat movie review. Bukan movie baru tapi movie lama yang penggemar movie wajib tengok dan kebanyakan yang kaki movie memang dah tengok pun iaitu Forest Gump.

Mengisahkan kisah hidup seorang lelaki yang lembap atau lurus bendul yang tidak pernah menganggap dirinya dan apa yang dimilikinya sebagai kekurangan. Dibesarkan tanpa ayah, ibunya yang sentiasa bersikap positif menjadi pendorong dalam hidupnya sehingga dia berjaya mencapai banyak kejayaan dalam hidup dari pemain bola (American Football) yang berjaya, menyertai militari dan menerima pingat ketenteraan semasa misi di Vietnam, pemain ping pong antarabangsa, nelayan udang yang berjaya dan ahli perniagaan yang kaya raya.

Tetapi orang yang paling disayangi oleh Forest mungkin adalah yang paling sukar untuk diselamatkan olehnya iaitu kekasihnya sejak kecil yang bernama Jenny. Jenny seorang yang sangat sosial hidupnya akibat dari latar belakang semasa kecilnya. Walaupun bermacam perkara buruk yang dilakukan oleh Jenny namun Forest tetap dapat menerimanya dan mengasihinya sehingga ke akhir hayat.

Cerita ini ringan dan terdapat banyak babak lucu kerana sifat kebudak-budakkan forest. Pada saya apa yang paling menarik adalah mesej yang tersirat di sebalik cerita ini terutama sekali sikap sentiasa berfikiran positif Forest Gump. Mesej-mesej tersebut dapat saya simpulkan seperti berikut:

  1. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Malah sesuatu yang kita anggap kekurang mungkin boleh menjadi kelebihan buat kita jika ianya dipandang secara positif.
  2. Dengar nasihat ibu bapa dan orang yang sayangkan kita, sesungguhnya apa yang dinasihatkan oleh mereka itu adalah untuk kebaikan kita.
  3. Jangan ada sifat hasad dengki atau membenci orang lain walau sejahat mana pun orang itu kerana setiap orang boleh berubah. 
  4. Mesej yang paling penting sekali dalam cerita ini ialah sentiasa berfikiran positif dalam setiap apa yang dilakukan. InsyaAllah kita akan sentiasa maju dan akan berjaya.

Ciajuolah...

Monday, December 31, 2018

SELAMAT TAHUN BARU 2019

Hari ini hari terakhir 2018. Terasa cepatnya masa berlalu esok dah nak masuk tahun baru 2019. Rasa macam belum puas lagi nak bersuka-ria di tahun 2018.

Teringat lagi kenangan di pintu sekolah tadika waktu umur 6 tahun, mengira umur pada masa hadapan terasa tahun 2018 tu terlalu jauh dan takkan sampai. Tup-tup 30 tahun dah berlalu dan 2018 pun dah nak berakhir. Kalau difikirkan masa lampau memang sentiasa ada keinginan untuk kembali ke masa tersebut, maklumlah masa muda.

Banyak azam tahun baru yang difikirkan untuk tahun 2019, nak tulis blog banyak-banyak, nak kurus, nak baca buku banyak-banyak, nak tambah ilmu dan sebagainya. Tapi semua azam yang difikirkan akan menuju kepada satu kunci yang sama untuk dicapai. Iaitu DISIPLIN. 

Perkataan disiplin ni memang banyak kali didengar masa sekolah dulu sampai rasa muak, cuba bila dah tua ni barulah faham kenapa ianya banyak kali diulang dan diterangkan. Sebab ianya adalah kunci dalam mencapai sesuatu matlamat. Jadi azam saya untuk tahun 2019 ini ialah untuk menjadi lebih berdisiplin supaya segala matlamat yang saya usahakan akan tercapai InsyaAllah.

SELAMAT TAHUN BARU 2019

Ciajuolah...

Saturday, December 29, 2018

Hak Keistimewaan Orang Melayu


Setelah lama tak update blog ni tiba-tiba hati tergerak untuk menulis kembali. Kali ini ingin menyentuh isu yang agak berat iaitu hak-hak keistimewaan orang melayu dan jugak bantuan-bantuan dari kerajaan kepada rakyat terutamanya orang melayu. Namun ini hanyalah pendapat peribadi saya sahaja, tidak mewakili mana-mana organisasi atau kaum.

Sejak pertukaran kerajaan Malaysia daripada kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan banyak perubahan telah berlaku dan diperdebatkan antaranya hak-hak keistimewaan orang Melayu dan juga bantuan-bantuan kerajaan ada yang dikurangkan ada yang ditambah juga.

Ramai masyarakat Melayu yang membantah ratifikasi ICERD, ramai marah bila BR1M ditukar nama dan dikurangkan, ramai yang marah bila banyak Menifesto kerajaan PH tak dapat dilaksanakan seperti yang dijanji. Saya tidaklah membantah atau tidak bersetuju kerana pada saya apa yang disuarakan itu ada juga benarnya.

Pada pendapat saya segala bantuan kerajaan, subsidi dan hak-hak keistimewaan kepada orang melayu hanyalah suatu kelebihan sahaja. Sepatutnya dengan bantuan dan hak keistimewaan ini taraf hidup masyarakat orang melayu lebih baik dari kaum-kaum lain. Dan apabila bantuan dan hak keistimewaan ini dimansuhkan sepatutnya kita setaraf dengan kaum-kaum lain. Tapi apa yang berlaku ialah dengan bantuan dan hak keistimewaan masyarakat melayu masih tak setaraf dengan kaum lain apatah lagi tanpa bantuan dan hak keistimewaan. Mungkin segala bantuan dan hak keistimewaan yang diberikan selama ini membuatkan masyarakat Melayu terlalu bengantung kepadanya  melemahkan mereka pada masa yang sama ia menguatkan kaum lain yang terpaksa bersaing dengan masyarakat melayu yang mempunyai hah keistimewaan.

Harapan saya kepada masyarakat melayu dan diri saya sendiri berusaha dengan lebih keras dan lebih bijak lagi dan menggunakan segala bantuan dan hak keistimewaan yang diberi sebagai suatu kelebihan sahaja bukan sebagai suatu kebergantungan. Cuaca tak selalunya cerah, adakalanya ribut melanda juga. Jadi, bersedialah...


***Gambar kredit kepada http://azlanrumadi.blogspot.com




Ciajuolah....

Monday, March 28, 2016

Makanan Student Masa Kini

Semalam saya singgah makan seorang diri di kedai tom yam berhampiran office. Oleh kerana kepenatan bekerja saya pun pesanlah makanan yang 'mewah' sedikit iaitu nasi goreng USA dan teh ais. Tambahan pula dah lama saya tak singgah ke restoran tersebut.

Kawasan restoran tersebut berhampiran dengan kawasan kolej-kolej swasta, kalau tak silap saya sekurang-kurangnya ada dua kolej swasta berhampiran, satu kolej yang majoriti pelajarnya melayu dan satu lagi yang majoritinya pelajar cina. Restoran tersebut terletak di bahagian bawah bangunan lima tingkat, bahagian atas bangunan pula adalah hostel-hostel pelajar kolej.

Saya duduk di meja bahagian luar restoran, di sebelah saya ada tiga orang pelajar cina sedang menunggu pesanan, apabila makanan yang mereka pesan sampai, salah seorang dari mereka bangun dan datang kepada saya. "Ini tak guna ka?" tanyanya sambil menunjukkan kepada bekas sudu di atas meja saya. Saya senyum dan mengambil satu set sudu dan garpu untuk kegunaan saya dan memberikan bekas sudu dan garpu tersebut kepadanya. Daripada percakapannya saya rasa dia bukanlah seorang yang fasih berbahasa melayu dan kebarangkalian dia merupakan pelajar cemerlang dalam subjek bahasa melayu adalah rendah. Mungkin subjek bahasa melayu bukan lagi subjek penting kemasukan ke kolej masa kini terutamanya kolej swasta. Berbanding dahulu kebanyakkan kolej memerlukan kredit dalam bahasa melayu sebagai syarat kemasukan.

Saya sempat menjeling ke arah menu yang dipesan oleh mereka, ketiga-tiga mereka memilih menu yang sama iaitu nasi putih, telur dadar dan sup kosong. Ini membuatkan saya mengimbas kembali zaman student saya dulu. Rasanya tak ada sekalipun saya pesan menu begitu walaupun dalam keadaan berjimat. Apa yang saya fikir ketika itu ialah mungkin yuran kolej swasta yang majoritinya cina itu terlalu tinggi hingga pelajarnya terpaksa berjimat sampai begitu sekali. Tambahan pula pelajar cina sukar untuk diterima memasuki kolej-kolej awam dan tidak layak ke kolej tajaan MARA yang kosnya lebih rendah. Saya juga tak nampak pelajar melayu yang makan sekali di restoran itu menguatkan lagi sangkaan saya. Mungkin mereka makan di restoran lain yang lebih banyak pilihan makanan.

Selesai makan saya ke kaunter di dalam restoran untuk membayar harga makanan, di dalam ada seorang pelajar perempuan melayu sedang makan, membuat saya tertanya-tanya apakah menunya. Dalam hati saya mengagak tentulah menu yang mewah sedikit berbanding pelajar cina tadi, kerana pelajar melayu ada banyak pilhan kolej untuk dimasuki dan kosnya lebih murah. Tapi sangkaan saya meleset kerana menu pelajar melayu tersebut memesan menu yang sama seperti pelajar cina tadi.

Kesimpulan saya mana-mana tempat pun mungkin itulah menu standard student: Nasi putih, telur dadar dan sup kosong. Bukan lagi nasi goreng kampung seperti dulu karana harga nasi goreng kampung kini RM4.00-RM4.50 berbanding dulu RM2.00- RM2.50. Kos sara hidup di kolej mungkin telah meningkat tatapi bajet untuk makan mungkin sama lagi seperti dulu menyebabkan student kini terpaksa berkorban lebih sedikit. Kesimpulan saya mungkin tidak berapa tepat kerana ia berdasarkan pemerhatian saya ke atas beberapa orang student sahaja. Sekian.


Ciajuolah...

Thursday, October 29, 2015

Kesan Peristiwa Kehilangan Terhadap Masyarakat Orang Asli


Dua bulan lepas kita digemparkan dengan kehilangan 7 murid orang asli di Gua Musang yang akhirnya ditemui semula selepas 47 hari. Itupun hanya dua orang masih hidup, empat lagi telah meninggal dunia dan satu lagi masih tidak ditemui hingga kini.

Apa yang hendak saya bincangkan di sini bukanlah kisah kanak-kanak malang ini, tetapi kesan peristiwa ini kepada masyarakat orang asli. Mungkin ramai yang beranggapan perkara ini telah selesai selepas penemuan semula tersebut. 

Kesan yang paling utama adalah mentaliti masyarakat orang asli terhadap sekolah akan mula berubah. Anak-anak orang asli mula takut handak ke sekolah, manakala ibu bapa pula akan merasa risau apabila anak mereka dihantar ke sekolah kerana bimbang perkara malang seperti yang berlaku terhadap tujuh anak orang asli berlaku kepada mereka.

Sebelum ini pun memang sukar untuk menyekolahkan anak-anak orang asli. Pengalaman saya semasa di sekolah dulu dalam kelas saya ada sepuluh orang murid orang asli namun hanya 30 peratus sahaja yang menamatkan persekolahan sehingga dahjah enam. dan sepanjang saya bersekolah hanya seorang sahaja anak orang asli yang sampai ke tingkatan lima. Walaupun mereka dibekalkan dengan peralatan, pakaian, yuran dan pengangkutan percuma ke sekolah tetapi mereka masih malas mahu bersekolah. Pada pendapat saya ini hanyalah kerana mentaliti mereka masih tidak berubah dan merasa selesa mencari rezeki di hutan. Yang lagi best kesepuluh anak orang asli ni datang semula ke sekolah semasa perperiksaan UPSR selepas 6 tahun ponteng sekolah - pening kepala cikgu.

Satu lagi pengalaman saya ialah pada tahun 2009 saya melakukan kerja di kawasan Sekolah Kebangsaan POS Blau, Gua Musang, POS ini tidak jauh dari jalan Cameron Highlan - Gua Musang. Menurut guru-guru di situ, mereka tiada masalah sangat dengan kehadiran murid di sekolah tetapi POS-POS orang asli yang lebih pedalaman guru-guru kena pergi dari rumah ke rumah menjemput anak orang asli balik ke asrama dan memujuk ibu bapa melepaskan anak mereka ke sekolah. Apabila berlaku peristiwa kehilangan anak orang asli di sekolah saya dapat bayangkan cabaran cikgu selepas ini untuk memujuk anak-anak orang asli ini ke sekolah.

Sangkaan saya tepat apabila terbaca artikel "Pujuk hantar anak sekolah" dalam Harian Metro 27 oktober 2015. Pada saya langkah ini bagus kerana bukanlah tugas mudah untuk mengubah pendirian dan mentaliti seseorang. Bantuan dari NGO amatlah diperlukan, peruntukan dari pihak kerajaan pusat dan negeri amatlah dialu-alukan. Mungkin ada genius dikalangan anak orang asli tetapi tidak dapat pendedahan kepada ilmu, semoga ini tidak berlaku.

Kepada anak-anak orang asli khususnya kaum Temiar, 

"LAJARLAH KEMEN-KEMEN"

Monday, April 20, 2015

Book Review - Berkomunikasi Dalam Bahasa Inggeris Surat, Telefon dan Percakapan



Tajuk: Berkomunikasi Dalam Bahasa Inggeris Surat, Telefon dan Percakapan.
Pengarang: Azlan Shamsudin.
Penerbit: Crescent's Learning English Series.
Tahun: 2006.
Bahasa: Melayu.
ISBN: 9830616398

Review:

Buku ini berbentuk buku panduan dan fokusnya adalah tentang penulisan surat, perbualan telefon dan percakapan dalam bahasa Inggeris. Dalam panduan penulisan surat, terdapat dua format yang diterangkan iaitu surat rasmi dan tidak rasmi. Kedua-dua format ini diterangkan dalam dua bentuk penulisan iaitu gaya penulisan Amerika dan gaya penulisan British. Perbezaan utama kedua-dua gaya penulisan ini ialah format dan bahasa, ini kerana terdapat sedikit perbezaan dalam bahasa Inggeris kedua-dua negara ini. Disertakan juga contoh-contoh surat, ayat-ayat dan perkataan yang selalu digunakan dalam surat. Gaya penulisan yang selalu digunakan di Malaysia adalah gaya penulisan British.

Penerangan tentang penulisan surat agak panjang, manakala penerangan tentang perbualan telefon dan percakapan agak pendek dan tertumpu kepada contoh-contoh. Keseluruhannya buku ini agak ringkas tetapi memadai dan berguna terutama sekali kepada pembaca yang terlibat dalam urusan perniagaan. Pada pandangan saya, di zaman komunikasi di hujung jari ini adalah lebih relevan jika diterangkan juga cara penulisan E-mail dalam bahasa Inggeris. 

Sekian,

Ciajuolah...

Thursday, April 2, 2015

Ikatan Kasih Sayang



Ramai yang salah faham orang bercinta atau berkahwin adalah untuk kebahagian diri sendiri. Dalam mindset kebanyakannya berfikir kalau aku kawin dengan dia mesti hidup aku bahagia, dia cantik/hensem, kaya, baik, beriman dan budiman, ada kereta, rumah, kerja tetap dan cukup segalanya. Sebenarnya itu salah kerana dalam hidup berpasangan sepatutnya memberi dan menerima bukannya menerima sahaja.

Yang sepatutnya, kita berpasangan adalah untuk membuat pasangan kita bahagia. Supaya kita boleh sentiasa berada di sisinya dan melakukan apa sahaja yang akan membuatkan dia gembira. Kita akan sentiasa berfikir dan ambil tahu apa saja yang boleh membuatkan pasangan kita merasa bahagia. Insya-Allah dengan kebahagiaan yang kita beri pada pasangan kita, dari situ kita mendapat kebahagiaan kita dan Insya-Allah pasangan kita pun akan melakukan perkara yang sama.

Rindu adalah perkara yang penting mesti ada terutama apabila berjauhan. Bayangkan kita asyik menerima sahaja dari pasangan kita dan tiba-tiba kita kena berjauhan. Silap haribulan pasangan kita merasa lagi seronok bersendirian berbanding berpasangan. Tapi jika kita sentiasa membuat pasangan kita merasa gembira dan bahagia tentunya dia akan merasa sunyi dan rindu bila kita tak ada di sisinya.

Satu lagi perkara yang boleh membantu ngukuhkan kasih sayang adalah dengan mempelbagaikan aktiviti harian kita. Jadikan diri kita sibuk dengan perkara-perkara yang di luar kebiasaan dan menyeronokkan. Make life happening. Dengan cara ini kita dapat membawa pasangan kita sama-sama having happening life. Pastinya dia akan merasa sunyi dan rindu bila kita tak ada, Dengan ini diri kita akan lebih dihargai oleh pasangan kita.

Akhir sekali, tak perlulah bebankan pasangan kita dengan masalah kecil atau pun remeh seperti boring tak tau nak buat apa, atau masalah kerja yang tak ada apa yang dapat dibantu olehnya. Bukankah lebih baik kita selesaikan sahaja sendiri dan mungkin kita boleh ceritakan bagaimana kita selesaikan masalah tersebut untuk dijadikan bahan cerita yang seronok didengar.

Pada pendapat saya "good couple always bring the best to each other". Renungkanlah...

Ciajuolah...