Nuffnang

Tuesday, March 31, 2026

7 PERKARA BUAT KITA BAHAGIA

 

1 - JANGAN PERNAH MEMBENCI
Siapa kita untuk membenci orang lain sedangkan semua ciptaan Allah S.W.T itu sempurna belaka. Membenci hanya akan membuat kita rasa terluka dan marah dan seterusnya merasa tidak bahagia. Hilangkanlah segala kebencian dan kemarahan dalam diri dengan memaafkan semua orang. InsyaAllah diri kita akan merasa lebih bahagia.

2 - JANGAN RISAU
Mengapa perlu risau jika segalanya telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T? Yang akan terjadi tetap akan terjadi. Risau tidak akan menyelesaikan apa-apa. Berusahalah menjadi sebaik-baik manusia, berusahalah sebaik mungkin dan bertawakkallah kepada Allah. InsyaAllah kebahagiaan akan jadi milik kita jika tidak di dunia, di akhirat nanti.

3 - HIDUP BERSEDERHANA
Lebih banyak yang kita kejar lebih banyak kita akan stress dan lebih mudah kita akan merasa kecewa. Fokus kepada perkara yang betul-betul penting sahaja - Tuhan, Kasih sayang dan orang-orang yang menyayangi kita.

4 - JANGAN TERLALU BERHARAP

Jangan berharap terlalu tinggi kerana lagi tinggi harapan kita lagi hebat kekecewaan apabila tidak tercapai. Sentiasa bersyukur dengan setiap kurniaan Allah pada kita sama ada kecil atau besar. Bersyukur membuat kita lebih bahagia.


5 - SENTIASA MEMBERI

Jadilah pemurah terhadap semua orang. tidak semestinya memberi harta berharga, boleh juga memberikan masa, kebaikan, kasih sayang. Percayalah, lebih banyak memberi membuatkan diri kita lebih kaya bukan lebih miskin.


6 - SENTIASA TERSENYUM

Senyuman adalah percuma. Dengan tersenyum hari kita akan lebih ceria malah orang lain yang melihat senyuman kita akan turut merasa bahagia. Tak kisahlah apa sahaja ujian yang datang, bersabar dan senyumlah. Fikirkanlah penyelesaiannya dengan tenang.


7 - SENTIASA MENGINGATI ALLAH S.W.T

Apa sahaja yang kita lakukan, lakukanlah kerana Allah S.W.T. Serahkan segala usaha kita kepada Allah S.W.T. kerana Allah S.W.T maha berkuasa dan hanya Dia boleh memberi kejayaan kepada kita. Kita akan menjadi lebih tenang dan kuat dalam apa jua yang kita lakukan.


Semoga semua yang membaca blog ini dikurniakan kebahagiaan. Jika anda rasa entry ini membantu, ringankanlah jari menaip komen. Semoga komen anda membawa kebahagiaan kepada saya juga.


Ciajuolah...

31 March 2026 (11:37 pm)

Labu, Negeri Sembilan

Thursday, March 26, 2026

PELABURAN EMAS



Suatu masa dahulu aku sendiri tak terbuka mata tentang pelaburan emas ni. Pada aku kalau harga emas naik pun berapa ringgit sangat lepas tu nanti pasti akan turun juga.


Sebenarnya harga emas sentiasa meningkat walaupun adakalanya harganya turun tetapi untuk jangkamasa panjang harganya meningkat.

Peningkatan harga emas setiap tahun

Harga Emas 5 tahun terkini

Bayangkan harga emas pada 2020 sekitar rm216/g pada tahun 2025 harga emas adalah rm418/g kan dah untung rm202 jika kita menyimpan 1g. Kalau ada 10g, darablah 10.


Kesedaran pelaburan emas ni aku dapat bila ke cawangan public gold untuk mengaktifkan semula akaun yang dah dorman. Waktu tu harga emas sekitar rm490/g (Ogos 2025) Untuk mengaktifkan semula akaun aku perlu membeli emas sekurang-kurangnya rm100. Waktu tu aku teragak-agak nak beli rm100 atau 10g (RM4900). Akhirnya aku membuat keputusan untuk beli RM100 dulu. Sejak tu aku mengikuti harga emas semasa. Dan dari situlah aku tahu lajunya harga emas ni meningkat. Dalam masa sebulan harga emas dah jadi RM650/g. Masa tu mula menyesal sebab tak beli 10g hari tu. kalau tidak aku dah untung rm1500.


Kesimpulan yang aku dapat ialah jika kita ada duit simpanan dalam bank RM5000, dalam beberapa tahun nilainya masih lagi RM5000 malah kuasa membelinya mungkin telah berkurangan. Tetapi jika simpanan RM5000 itu ditukar kepada emas, dalam beberapa tahun ia akan menjadi harta bernilai RM7000 - RM8000. 


Kerana sering bertanya dan bersembang tentang emas maka ramailah kawan-kawan yang memberi info tentang pelaburan emas ada bermacam-macam cara. Yang ni aku akan huraikan di post yang akan datang.


Jika ada yang inginkan khidmat nasihat percuma tentang emas boleh letakkan nombor telefon atau email di ruangan komen. InsyaAllah saya akan kongsikan segala yang saya tahu sebagai seorang sahabat. 


Ciajuolah…


26 March 2026 (1:45 pm)

Kg Sungai Bil, Perak

Sunday, March 22, 2026

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2026

 


Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua
Sekiranya ada penulisan di dalam blog ini yang mengguris hati
Sekiranya ada tersalah silap, terkasar bahasa dan tertypo
Saya memohon ampun dan maaf

Kepada yang mengenali diri ini, seribu kemaafan diminta untuk segala tingkah laku saya yang tidak menyenangkan.

Semoga di hari bahagia ini semua beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Semoga kita bertemu lagi di Ramadhan yang akan datang
InsyaAllah

Ciajuolah…
22 March 2026 (7:57 am)
Kg Sungai Jurong, Slim River, Perak

Wednesday, March 18, 2026

RADAR AKTIF, RADAR PASIF DAN ELINT - APA BEZANYA?

 

Dalam dunia peperangan elektronik (Electronic Warfare – EW) dan pengawasan spektrum, kita sering mendengar istilah radar aktif, radar pasif dan ELINT. Ketiga-tiga sistem ini berkaitan dengan pengesanan mo ancaman ketenteraan dari asset ketenteraan (Jet pejuang, Kapal Perang, Missil dan sebagainya), tetapi cara Ketiga-tiga sistem ini beroperasi sangat berbeza. Di si saya terangkan serba sedikit perbezaan tersebut.


Radar Aktif

Radar aktif adalah sistem radar yang paling biasa digunakan. Ia berfungsi dengan memancarkan gelombang radio ke arah sasaran dan kemudian menerima pantulan gelombang tersebut.

Daripada pantulan ini, sistem boleh mengira jarak, arah dan kadangkala kelajuan objek. Radar kawalan trafik udara, radar cuaca dan radar pertahanan udara semuanya menggunakan konsep ini.

Kelebihan radar aktif ialah ia boleh mengesan objek dengan tepat. Namun kelemahannya, kerana ia memancarkan isyarat, kedudukannya juga boleh dikesan oleh pihak lawan. Ia juga tidak dapat mengklasifikasikan objek yang dikesan. Dengan erti kata lain ia boleh mengesan objek tetapi tidak dapat mengenalpasti apakah objek yang dikesan itu.


Radar Pasif

Radar pasif pula tidak memancarkan sebarang gelombang radio. Sebaliknya, ia menggunakan isyarat yang sudah wujud di persekitaran seperti siaran TV, radio, atau komunikasi selular.

Apabila objek seperti pesawat melalui kawasan tersebut, ia akan mengganggu atau memantulkan isyarat yang sedia ada. Sistem radar pasif akan menganalisis perubahan pada isyarat ini untuk mengesan kehadiran objek.

Kelebihan radar pasif ialah ia sukar dikesan kerana tidak memancarkan apa-apa. Namun ia sangat bergantung kepada kewujudan sumber isyarat luaran.

Sama seperti Radar Aktif, Radar Pasif juga tidak dapat mengenalpasti objek yang dikesan.


ELINT

ELINT (Electronic Intelligence) pula berbeza sedikit daripada radar. Tujuan utamanya bukan untuk mengesan objek secara langsung, tetapi untuk mengesan dan menganalisis pancaran radar atau sistem elektronik pihak lawan.

Melalui ELINT, kita boleh mengenal pasti jenis radar, lokasi, mod operasi dan kadangkala identiti sistem tersebut. Maklumat ini sangat penting untuk tujuan risikan, pemetaan spektrum dan perancangan operasi ketenteraan.

Ringkasnya, radar aktif mencari objek dengan memancarkan gelombang sendiri, radar pasif mengesan objek menggunakan isyarat sedia ada, manakala ELINT pula memantau dan menganalisis pancaran elektronik daripada sistem lain (Target).

Sistem ini sangat bergantung kepada pancaran radar target, jika target tidak memancarkan apa-apa isyarat, sistem ini tidak akan dapat mengesan target tersebut.


Kesimpulan

Radar aktif, radar pasif dan ELINT masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam membina gambaran situasi spektrum elektromagnetik. Tiada satu pun yang “lebih baik” secara mutlak—semuanya saling melengkapi bergantung kepada keperluan operasi.

Bagi yang berminat untuk melihat sendiri teknologi ini dengan lebih dekat, anda dijemput ke Defense Services Asia 2026 (DSA 26) yang akan berlangsung pada 20–23 April 2026. Pameran ini menghimpunkan pelbagai sistem ketenteraan terkini dari seluruh dunia, termasuk teknologi radar aktif, radar pasif dan ELINT.

Menariknya, Malaysia juga merupakan salah satu negara yang membangunkan sistem radar aktif dan ELINT berkualiti tinggi. Ini peluang terbaik untuk melihat sendiri keupayaan tempatan berdiri seiring dengan teknologi global.

Saksikan sendiri di DSA 26.


Ciajuolah…

18 March 2026 (3:01 pm)
Kajang, selangor.

Thursday, March 5, 2026

BIRU WARNAKU


Biru adalah warnaku
Aku suka warna biru sebab dia neutral
Tidak terlalu kiri tidak terlalu kanan
Tidak keras dan tidak lembut
Neutral dan seimbang

Warna biru menenangkan
Ia adalah warna langit
Ia juga warna laut
Sesuatu yang menenangkan bila kita lihat
Kerana warnanya biru

Biru juga warna yang friendly
Ia mudah dipadankan dengan warna lain
Mudah diterima dan disukai ramai

Biru warna yang releks
melambangkan sesuatu yang sejuk
cool...
sebab itu bila seseorang itu terlalu releks dan tenang
mungkin dia tengah layan blues

Ciajuolah...

5 Mac 2026 (10:14 pm)
Pavilion Hotel, Sandakan, Sabah.


 

Thursday, February 26, 2026

KAU YANG DINGIN

 Dah penat menulis kali ni aku lukis lah...




Ciajuolah...


26 Februari 2026 (2:27 pm)

Kajang, Selangor.

Tuesday, February 24, 2026

SALAHKAH TAKDIR?


 Hanya tulus yang mampu kuberikan padamu

tanpa cinta... aku tak berdaya

salahkah takdir yang telah direncanakan?

adapun perpisahan menjadi percaturan

kerana cinta aku yang jadi korban

biarlah ku berundur... 

aku tak berdaya...

.

Ciajuolah...


24 Februari 2026 (10:07 am)

Kajang, Selangor


Friday, February 20, 2026

BALIMAU KASAI

 

Balimau kasai adalah satu adat dan budaya Masyarakat Melayu khususnya di Kabupaten Kampar, Indonesia. Ianya adalah simbolik penyucian diri zahir & batin bagi menyambut bulan Ramadhan. Ia diadakan di sepanjang Sungai Kampar sehari dua sebelum 1 Ramadhan. Ianya bukanlah tuntutan agama tetapi lebih kepada adat dan budaya masyarakat Melayu Kampar.


Aku tahu tentang budaya ni dari lagu-lagu bahasa Kampar yang aku selalu dengar dan dari situ aku menjadi ‘courious’ dan teringin untuk menyaksikan sendiri bagaimana ianya dilakukan.


Pada 17 Feb 2026 aku ke Pekanbaru dan seterusnya bermotorsikal ke Bangkinang untuk menyaksikan sendiri acara ini yang dijangkakan pada 18 Feb 2026 kerana 1 ramadhan bakal jatuh pada 19 Feb 2026.


Tidak banyak Info yang ada di internet tentang acara ni, di mana ia lokasi tepatnya dan waktunya. Jadi seawal pagi aku dah bergerak dari hotel mencari tapak tempat acara ini diadakan.


Sebenarnya 1 ramadhan jatuh sama ada pada 18 atau 19 Feb 2026 bergantung pada Hilal (Anak bulan). Maka di sesetengah tempat mengambil kira 17 Feb sebagai hari terakhir Syaaban. Maka Balimau Kasai diadakan pada 17 Feb 2026 sebagai hari terakhir.


Dipendekkan cerita, kesimpulan aku selepas menyaksikan sendiri acara ni:


  1. Acara ni bermula seawal 10 pagi tapi waktu kemuncaknya adalah waktu petang (Jam 2 petang dan ke atas)
  2. Aktivitinya adalah mandi manda di Sungai Kampar, hanyut atas pelampung/rakit dari hulu hingga hilir sungai, menaiki bot, perahu berhias, jualan, acara panjat pinang, nyanyian, cabutan bertuah dan banyak lagi.
  3. Banyak spot Belimau Kasai di sepanjang tebing Sungai Kampar, pusatnya adalah di Bangkinang cuma sampai sekarang aku tak tau exact spot di bangkinang tu.
  4. Spot-spot yang hot dikenakan bayaran masuk sekitar rp7000 dan bayaran parking motosikal sekitar rp5000.
  5. Acara tamat menjelang Maghrib.
Terima kasih kepada Ilham, penduduk tempatan yang banyak membantu aku sewaktu aku di sana.


Cuma aku terkilan sedikit sebab aku berada di satu spot tu seharian sebab menyangkakan segalanya boleh dilihat di situ. Jadi aku terlepas acara panjat pinang dan perahu berhias.


Pada pemerhatian aku, acara berlimau kasai pada waktu dahulu mungkin berbeza dan lebih menerapkan nilai keinsafan dan penyucian diri rohani dan fizikal. Ia berasal dari mandi sunat taubat sebelum Ramadhan. Berbanding sekarang yang lebih cenderung kepada aktiviti bersuka ria dan hiburan.


Secara keseluruhannya acara ini memang menarik dan meriah sekali. Cuma ramai yang tak tau jadi aku tak nampak pun pelancong luar datang. Semoga adat ini menjadi warisan yang dikekalkan dan pengisiannya akan menjadi lebih bermakna.


Ciajuolah…



20 Februari 2026 (8:04 am)

Pekanbaru, Riau, Indonesia.




Wednesday, February 18, 2026

MENCARI ASAL USUL - DEYEN UWANG KAMPAU

 

Aku orang kampar. Aku dibesarkan di dalam family kampar. Bahasa pertuturan kami adalah bahasa kampar. Aku pandai bertutur bahasa kampar dahulu sebelum aku tau bahasa Melayu.


Sewaktu sekolah rendah aku malu kalau orang tau tentang asal usul aku. Walaupun orang Kampar juga orang melayu, aku malu sebab aku lain dari kawan-kawan yang lain.


Pada tahun 2009, waktu itu masih belajar di UTM, aku merasakan kelainan aku itu adalah sesuatu yang unik yang orang lain tak ada. Mwnjadikan aku bangga dengan keunikan aku. Aku mula research tentang asal usul aku.


Dari situlah aku tau ada tempat bernama Bangkinang di mana di sekelilingnya ada kampung-kampung yang dihuni oleh orang-orang Kampar seperti aku. Dan salah satu kampung tersebut mungkin adalah kampung nenek moyang aku dulu.


Aku jadi courious, dan rasa ingin tahu jadi membuak-buak. Aku teringin ke tempat tu, dimana semua orang bertutur bahasa yang sama macam aku - Bahasa Kampar.


Dan hari ini aku di sini, di Bangkinang. Mempelajari salah satu budaya kami - Balimau Kasai. Acara mandi di Sungai Kampar sempena menyambut bulan Ramadhan.


Sampai sini dulu, Detail tentang Balimau Kasai akan aku tulis dalam entry akan datang. InsyaAllah.


Ciajuolah…


18 Februari 2026 (10:33pm)

Bangkinang, Riau, Indonesia

Friday, February 13, 2026

HIDUP IBARAT ROLLER COASTER

 

Hidup ini ibarat Roller Coaster,

Ada naik ada turun 

adakala tenang adakalanya mencemaskan

kadang-kadang kita rasa kita berada di landasan yang betul

Kadang-kadang kita rasa seperti dunia ni dah terbalik

Ada yang gembira, ada yang ketakutan, 

ada terpekik terlolong, ada juga yang menangis

memang banyak risiko dan kebarangkalian yang mungkin terjadi

Namun akhirnya kita tetap membayarnya


Ciajuolah...


13 February 2026 (10:07 am)

Kajang, Selangor

Thursday, February 12, 2026

KUIL HARAM

 

Kebelakangan ini hangat diperkatakan tentang isu kuil haram. Isu ini simple tetapi telah dimanipulasi sehingga kelihatan seperti 3R (Race, Religion & Royalty). 

Ianya bukanlah isu agama, tetapi isu binaan yang dibuat secara haram di tanah orang. Haram di sini lebih kepada istilah yang biasa digunakan oleh orang melayu bagi menunjukkan sesuatu yang Illegal. Seperti pembalakan yang dilakukan tanpa permit - Pembalakan Haram. Perlumbaan di jalan raya tanpa kebenaran - Lumba Haram. Anak yang tidak sah taraf - Anak Haram. 

 Keengganan tuan punya kuil untuk berpindah dan memainkan sentimen 3R sebagai mekanisme mempertahankan kuil menyebabkan kegelisahan kaum. Lebih memburukkan keadaan adalah tindakan kerajaan yang tidak tegas malah memberi pampasan kepada pembina kuil haram ini menyemarakkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat. 

Tindakan polis dan pihak berkuasa tempatan yang saling menepis tanggungjawab dan tidak membantu pula menyebabkan rakyat hilang kebergantungan kepada penegak undang-undang dan terpaksa bertindak sendiri. Maka lahirlah NGO seperti Tanah Malaya yang dipimpin oleh saudara Tamim Dahari. 

Jika sebelum ini banyak dakwaan yang undang-undang hanya terpakai kepada orang melayu, pihak berkuasa hanya berani pada orang melayu. Dakwaan itu seolah-olah hanya mengikut perasaan kerana melibatkan isu yang berasingan. Tetapi bila isu kuil haram ini timbul dan dikaitkan dengan kaum nampak jelas dan nyata apa yang didakwa selama ini adalah memang tepat sekali. Buat perhimpunan, melayu ditahan, dihalang dan dikepung ketika cuba membersihkan tanah sendiri juga melayu ditahan. Mendedahkan lokasi kuil haram juga melayu ditahan. Tidak hairanlah kita dijajah 400 tahun dan terpaksa merayu-rayu barulah diberi kemerdekaan. 

Hakikatnya, orang Islam di Malaysia tidak memusuhi mana-mana bangsa atau agama. Binalah rumah ibadat di mana sahaja dan sebesar mana pun — selagi ia didirikan di atas tanah sendiri dan mengikut undang-undang.

Sekali lagi saya nyatakan isu ini simple cuma pihak kerajaan mahupun pihak berkuasa tidak ada yang berani tegas menegakkan undang-undang. Akhirnya bukan kuil haram yang dirobohkan tapi pendirian mereka.

Ciajuolah...


12 February 2026 (10:42 am)

Kajang, Selangor.

Monday, February 2, 2026

KAK NORITA

Tahun 2004, ketika aku masih belajar di UTM, aku pernah berkenalan dengan seorang kakak bernama Norita. Waktu itu dia masih bujang, berusia sekitar 30 tahun, dengan jurang umur kami hampir 10 tahun. Perkenalan kami berlaku secara tidak sengaja di dalam bas—aku dalam perjalanan pulang ke kampus, manakala dia pula hendak pulang ke rumahnya di Masai.

Pada awalnya, hubungan kami sekadar perkenalan santai. Namun lama-kelamaan, ia menjadi agak menekan apabila Kak Norita terlalu kerap menghubungi aku, hampir setiap jam. Keadaan itu membuatkan aku berasa rimas. Perkenalan kami berlanjutan agak lama, mungkin hampir setahun, sehinggalah satu hari aku hilang sabar dan mengeluarkan kata-kata yang kasar kepadanya. Tidak lama selepas itu, aku menukar nombor telefon dan hubungan kami pun terputus begitu sahaja.

Melalui entri ini, aku mengakui bahawa aku sangat menyesal dengan sikap aku yang kasar ketika itu. Aku cuba mencari Kak Norita semula kerana aku berasa rindu dan ingin memohon maaf kepadanya. Apa yang masih aku ingat, Kak Norita berasal dari Masai, Johor, dan ketika itu bekerja di kilang Bernas. Nama penuhnya pula sudah tidak aku ingat.

Aku berharap Kak Norita belum berputus asa untuk berkawan dengan aku. Nombor telefon aku pada waktu itu ialah 012-7544240, namun kini aku sudah tidak lagi menggunakan nombor tersebut. Aku berharap, sekiranya Kak Norita tergerak hati untuk mencari nombor lama itu dan menemui blog ini, dia sudi menghubungi aku di 016-3850926.

Aku benar-benar berharap aku sempat berjumpa dan memohon maaf kepadanya sebelum akhir hayat aku.

Ciajuolah…

2 Feb 2026 (1:23 pm)

Felda Sening, Kota Tinggi, Johor.
 

Friday, January 2, 2026

SELF-CENTERED


Pernah tak bila kita cerita kita dapat bonus, reaksi pertama yang kita terima bukan “alhamdulillah”, tapi

“boleh la belanja AKU”

atau

“bagi la AKU sikit”.


Atau bila kita kata kita nak pergi bercuti, jawapan yang datang bukan doa yang baik-baik, tapi

“untunglah kau, AKU jangan harap”

atau

“kenapa tak ajak AKU sekali”.


Atau bila kita cakap kita nak beli telefon baru, terus keluar ayat

“belilah untuk AKU sekali”

atau

“yang lama tu bagi AKU”.


Ayat-ayat ni mungkin kedengaran macam gurauan. Tapi bila ia berulang, kita mula sedar satu perkara:

orang tu bukan betul-betul gembira dengan kebahagiaan orang lain.


Segala cerita tentang rezeki, usaha, dan kegembiraan kita akan sentiasa ditarik balik kepada satu pusat iaitu DIRI DIA SENDIRI. Sebab itulah setiap jawapannya ada AKU.


Apa yang aku perasan, orang yang self-centered ni bukanlah orang yang jahat. Mereka cuma terlalu biasa melihat dunia dari sudut “AKU”.

Apa yang aku dapat?

Apa yang aku rugi?

Kenapa orang lain lebih?


Dalam kepala mereka, rezeki orang lain bukan sesuatu untuk diraikan, tapi sesuatu untuk dibandingkan.


Jarang sangat kita dengar ayat semudah:

“Alhamdulillah, rezeki KAU.”

“Baguslah KAU dapat peluang tu.”

“Aku doakan yang terbaik untuk KAU.”


Padahal ayat-ayat itulah yang membuatkan persahabatan terasa ringan dan ikhlas.


Kawan yang baik bukanlah yang tumpang menikmati hasil kita, tapi yang tumpang gembira dengan kejayaan kita.

Bukan yang melihat keberuntungan kita sebagai peluang, tetapi sebagai bukti bahawa rezeki Tuhan itu luas.

Tak semua yang ketawa bersama kita, benar-benar bahagia melihat keberuntungan kita.


Dan itu satu pelajaran yang mahal, dan juga perlu.


Ciajuolah…

2 Januari 2026 (2:43 pm)

Bangi, selangor