Nuffnang

Sunday, May 17, 2020

10 Album Rockapak yang Paling Saya Suka


Kali saya dedahkan 10 album terbaik pada pendapat saya sebagai seorang peminat Rockapak. Album-album berikut adalah album rockapak yang saya selalu dengar dari dulu sehingga kini tak jemu-jemu:

10) Search – Mentari Merah diufuk Timur (1987)

Tak sah kalau dalam list album terbaik tak ada album gergasi Rockapak Search. Tapi dalam list saya letak tempat ke 10 sebab kebanyakan album mereka tak semua lagu yang boleh masuk dengan saya walaupun banyak lagu search yang best tapi semuanya bukan dalam satu album.

Dalam banyak-banyak album Search yang terbaik pada saya ialah album Mentari Merah diufuk Timur. Bila tengok cover album ni saya mesti tengok ejaan ‘diufuk’ yang sepatutnya dijauhkan ‘di Ufuk’. Memang dari awal lagi saya dah perasan.

Diterbitkan pada tahun 1987. Kebanyakan lagu dalam album ini digubah oleh M Nasir & Bakri Johari. Yang paling saya suka ialah ‘Pelesit Kota’, ‘Gadisku’ dan ‘ Pembakar Perasaan’. Lagu seperti ‘Fantasia Bulan Madu’ mungkin sebab dah tepu gara-gara terlalu kerap keluar di radio. Walaupun pada awal album ini keluar lagu tu lah yang saya paling suka dan nyanyi setiap hari.

9) Lefthanded - Keadilan (1986)

Bila sebut Lefthanded mesti semua akan teringat Man kidal dan Nash kan? Ya mereka adalah ikon besar dalam sejarah Rockapak. Lefthanded ada banyak lagu-lagu yang hits di radio baik yang slow ataupun rancak. Bukan senang nak dengar lagu rancak kumpulan rock keluar di radio tau. Tapi lagu rancak Lefthanded memang biasa didengar di radio.

Diterbitkan pada tahun 1986. Petikan Man Kidal memang mantap terutama sekali untuk lagu ‘Keadilan’ dan ’Debunga Wangi’. Kalau tak silap ini adalah album single mereka yang pertama selepas menyertai Battle of the Band. Lefthanded sianggotai oleh Nash (Vokal), Man Kidal (Gitar), Samad (2nd Gitar), Yan (Bass) dan Man Dayak (Drum).

Cakap banyak tak guna, kalau nak tau macam mana terbaiknya album ni dapatkan sendiri di pasaran kerana album ini telah dicetak semua dalam bentuk CD dengan kualiti bunyi yang lebih baik.


8) BPR - Bisa (1988)


BPR merupakan nama besar pada zaman kegemilangan rockapak. Pernah keluarkan kira-kira enam album dan album terbaik mereka pada saya ialah album ‘Bisa’ yang dikeluarkan pada tahun 1988.

BPR atau nama penuh kumpulan Bumi Putra Rockers dianggotai oleh Joey (Vokal), Awang (Gitar), Harun (2nd Gitar), Enal (Drum) dan Yem Bai (Bass). Apa yang menjadikan album bisa ini menarik ialah kerana ia mendapat sentuhan composer yang memang bukan calang-calang seperti M Nasir dan JS Kevin. Antara lagu yang menarik dalam album ini ialah ‘Dajal’, ‘Seribu Tahun Takkan Mungkin’, ‘1511’ dan ‘Harum Subur di Hati’. Kebanyakan lagu lain juga tak kurang sedap dan terbaik.


7) Junction - Arah
Saya tertarik dengan album ni sebab gambar pada cover depannya yang pada saya memang rockapak habis. Warna merah pulak tu ha ha. Masa mula-mula jumpa album ni tak dapat dengar sebab tak ada duit nak beli masa tu sekolah lagi. Cuma dengar lagu-lagu slow rock Junction yang selalu keluar di radio iaitu ‘Akan Ku Kenang’ dan ‘Demi Cinta Setia’.

Untuk kumpulan Junction ni saya tak berapa minat dengar lagu slow rock mereka mungkin sebab dah selalu sangat keluar di Radio. Saya paling suka lagu lagu rancak dalam album ini seperti ‘Kesetiaan’ dan ‘Arah Kehidupan’. Susunan muzik dalam album ni juga cemerlang.

Junction yang diangotai oleh Hatta (Vokal), Noorazman (Lead Gitar), Amir (Rhythm), Syed (Bass) dan Misman (Drum) berasal dari Simpang Jabi Johor. Album ‘Arah’ merupakan album pertama mereka dan diterbitkan pada 1988. Kumpulan Junction pernah menghasilkan tiga buah album sepanjang penglibatan mereka dalam industry muzik iaitu ‘Arah’ (1988), ‘Penentuan’ (1989) dan ‘Petualang’ (1990). Tapi entah kenapa hanya lagu-lagu dalam album ‘Arah’ ni sahaja yang boleh masuk dengan saya. Semua lagu saya suka. 


6) Rockers - Harakah (1988)
Pertama kali saya tengok gambar kumpulan Rockers ialah gambar cover depan album ‘Kekejaman’ kerana tertarik dengan rambut basis mereka iaitu Man Karen yang mcm kena karen tapi drummer mereka iaitu Irman yang duduk tengah rambut macam budak sekolah je. Terus tertarik nak dengar lagu mereka. Hari tu juga saya kirim dengan kawan saya untuk beli apa saja album Rockers yang dia jumpa di pekan. Dan dia beli album Harakah.

Saya ada kesemua empat album rockers dari ‘Kekejaman’, ‘Harakah’, ‘Andalusia’ dan ‘Dukun’ tapi yang paling saya suka tetap album pertama yang saya beli iaitu ‘Harakah’. Album ‘Harakah’ diterbitkan pada tahun 1988, kumpulan Rockers berasal dari Singapura pada masa itu dianggotai oleh Johan (Vokal), Aziz (Gitar), Rasyid (Gitar kedua), Hamzah (bass) dan Irman (Drum). Semasa album ‘Harakah’ ni Man Karen dan keluar menyertai kumpulan Rusty Blade dan digantikan oleh Hamzah maka tiadalah rambut karen dalam cover album harakah.

Lagu yang paling saya suka dalam album ni ialah ‘Harakah’, ‘Rayuan Syaitan’, ‘Kesedaran’ dan ‘Musnah Harapan’. Namun ada juga lagu yang saya selalu skip iaitu lagu ‘Lagenda Rock n Roll’. Yang lain semua sedap dan susunan muzik juga unik dan rockapak habis.


5) MAY - Strategi (1991)
Kebanyakan album kumpulan MAY saya suka sebab saya memang minat dengan vocal Mus dan muzik mereka yang keras. Tapi dalam banyak-banyak album mereka, album ‘Strategi’ yang paling saya suka walaupun album ni tak popular dan tak berapa laku berbanding album mereka yang lain. Mesti ramai yang tak pernah lagu-lagu dalam album ni kan?

Album ini merupakan album keempat kumpulan MAY diterbitkan pada tahun 1991 di bawah label Muzik Antares Sdn Bhd. Kebanyakan lagu dalam album ini dibuat oleh ahli kumpulan MAY sendiri dan yang paling saya suka ialah ‘Duri’, ‘Raja Jiwa’, ‘Singa Taring Palsu’, ‘Empat Sudut Berdiri’ dan ‘Sendiri Untuk Kemana’. Cuma ada satu lagu yg tak berapa masuk dan saya selalu skip iaitu lagu ‘Generasi’.

Walaupun album ini dikeluarkan pada tahun 1991, tapi saya beli kasetnya tujuh tahun kemudian iaitu tahun 1998 dengan harga RM7.90. Saya rasa kaset tu kaset lama yang tak laku dijual sebab tu harganya murah. Tapi saya tak menyesal beli sebab hampir kesemua lagu dalam kaset ini sedap.


4) XPDC - Brutal (1997)
Berbeza dengan album lain yang diterbitkan pada tahun 80an dan awal 90an, album XPDC ‘Brutal’ diterbitkan pada hujung 90an iaitu tahun 1997. Album ini adalah album paling laris pernah dikeluarkan oleh XPDC dan telah melonjakkan nama XPDC sehingga Berjaya menganjurkan Konsert gergasi di stadium merdeka. Album ini juga menaikkan semua imej rockapak yang semakin luntur pada waktu tersebut dan XPDC ada pengaruh mereka sendiri dan dikenali sebagai raja Fun Fair pada Ketika itu.

Album ini sangat Berjaya walaupun pada waktu itu usaha promosi tidak berapa aktif berikutan pengunduran penyanyi mereka iaitu Mael dari XPDC. Namun sebab lagu-lagu dalam album ini memang terbaik album ini terjual 500,000 unit meraih 4x platinum dan tersenarai dalam Top 5 kategori Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 1988. Album ini juga menyebabkan album-album lama kumpulan XPDC seperti ‘Kita Peng Yu’, ‘Timur Barat’ dan ‘Darjah Satu’ laris terjual Kembali.

XPDC pada waktu album ini keluar dianggotai oleh Mael (Vokal), Izo (Gital), Zuar (Bass) dan Amy(Drum). Antara lagu yang saya suka dalam album ini ialah ‘Hentian Ini’, ‘Hidup Bersama’, ‘Apa Nak Dikata’ dan ‘Aku Masih di Sini’. Namun lagu-lagu lain tak kurang hebatnya. Album ini juga menimbulkan satu fenomena baru dalam industry muzik di mana kesemua genre muzik di metalkan terutama sekali lagu-lagu 60an. Dan yang paling Berjaya sekali ialah album ‘Metal 60’an’ oleh XPDC sendiri. Album XPDC ‘Brutal’ ni memang legend.


3) Wings - Mencari Asal Usul (1998)

Saya memang meminati kumpulan Wings kerana kebanyakkan album memang tak mengecewakan kerana kebiasaannya hampir kesemua lagu dalam album mereka sedap. Tapi dalam banyak-banyak album Wings yang paling saya suka sekali ialah album ‘Mencari Asal-Usul’ ni walaupun album ni tak mendapat anugerah platinum dan tak tinggi penjualannya seperti album wings yang lain.

Diterbitkan pada tahun 1998 pada waktu itu dianggotai oleh Mus (Vokal), Joe (Gitar), Eddis (Bass) dan Black (Drum) merupakan album kedua Wings bersama Mus. Yang menjadikan album ini adalah yang paling saya suka ialah kerana kesemua lagu dalam album ini saya boleh layan. Terutama sekali ‘Sakit Bantal Empuk’, ‘Padamkan Lampu Tidur’, ‘Krisis di Pertengahan Hidup’ dan ‘Delailah’. Lagu-lagu lain pun sedap juga sebab memang semua lagu dalam album ni sedap. Saya dah dengar banyak kali dan sampai sekarang masih tak jemu dengar lagu-lagu dari album ni.


2) Crossfire - Metonimia (1993)

Kali pertama saya dengar album ni samasa saya pinjam kaset dari kawan saya, waktu tu kaset tersebut dah berhabuk dan berkulat tiada cover dan kotak. Dengan sifat ingin tahu nak dengar album ni saya bersungguh-sungguh cuci dan bersihkan balik kaset tersebut sampailah boleh dengar semula walaupun kualiti audionya tak berapa bagus.

Diterbitkan pada tahun 1993 dan dianggotai oleh Aim (Vokal), Yus (gitar), Burn (Bass) dan Yem Sambora (Drum) menampilkan sepuluh lagu termasuk satu lagu Inggeris ‘No More War”.
Yang menjadikan album ni terbaik pada saya ialah kerana vokal Aim yang tinggi dan muzik yang mantap dimainkan oleh kumpulan ini. Saya rasa setiap ahli kumpulan telah memberikan yang terbaik dalam menghasilkan album ini.

Walaupun lagu popular mereka iaitu ‘Realiti dan Fantasi’ tiada dalam album ini, tetapi kesemua lagu dalam album ini saya sifatkan sebagai menjadi dan sedap belaka. Semua lagu sedap dan yang paling saya suka ialah ‘Generasiku’, ‘Sindrom’ dan ‘No More War’ kesemuanya lagu rancak sebab pembawakan penyanyinya menyanyi lagu rancak memang terbaik.

Dari keset tu tak berapa clear sebab tali kaset berkedut saya main banyak kali sampai jadi elok semula. Menunjukkan betapa menariknya album ni.

1) Sofea - Kembali (1987)

Bukanlah rockapak kalau anda tak pernah dengar kumpulan Sofea. Kumpulan ini muncul di tengah-tengah zaman kegemilangan muzik rockapak, tidak terlalu awal dan tidak lambat. Mereka mempunyai pengaruh dan imej sendiri. Boleh dikatakan mereka adalah ikon utama muzik rockapak yang membawa pengaruh besar pada remaja rockapak pada zaman tersebut. Kalau nak tiru gaya rockapak kumpulan ini adalah rujukan anda yang paling sesuai.

Diterbitkan pada tahun 1987. Boleh dikatakan semua lagi dalam album ini sedap dan menjadi. Sofea yang dianggotai oleh Amir (Vocal), Zam (guitar), Man Rani (Bass) dan Nahar (Drum) sebelum ini dikenali sebagai kumpulan SYJ. Kalau diteliti pada logo Sofea tersebut terdapat logo SYJ di belakangnya. Album Kembali ini adalah album pertama mereka selepas dikenali sebagai Sofea.

Album ini turut memuatkan lagu-lagu yang popular semasa SYJ menyertai Battle of the Band iaitu ‘Orang Timur’ dan ‘Mata Sepet’. Antara lagu favorite saya dalam album ini ialah ‘Kawasan Larangan’, ‘Api’, ‘Hujan’ dan ‘Garis Dipersimpangan’ namun pada saya lagu-lagu lain juga tak kurang hebatnya. Semua lagu dalam album ni best dan tak jemu walau dah dengar banyak kali. Maka album ni adalah album rockapak yang terbaik saya pada saya.

Friday, May 1, 2020

Jalan-jalan di Kerala




Jalan jalan di Kerala, India

Pada Februari 2020 saya berpeluang melawati bandar Kochi di Kerala di India atas urusan kerja. Lawatan selama dua hari itu melibatkan aktiviti kerja selama setengah hari sahaja, masa selebihnya saya gunakan untuk jalan-jalan di sekitar bandar Kerala. Nak pergi jauh-jauh tak sempat.

Kerala adalah sebuah negeri persisir laut yang terletak di Barat Laut India. Berkepadatan 30 Juta orang, majoriti berbangsa Malayalam. Bandar terbesar di Kerala ialah Kochi (ada yang panggil Cochin), rata-rata penduduk di Kochi beragama Hindu (Kebanyakan di selatan), Kristian (kebanyakan di pusat bandar) dan Islam (kebanyakan di utara). Cuaca di sini lebih kurang macam di Malaysia/Thailand sebab berkongsi Latitude dengan Thailand.
Kerala di India

Terdapat dua penerbangan terus Air Asia dari Kuala Lumpur ke Kochi. Kedua-duanya pada sebelah malam. Penerbangan lain saya tak berapa pasti sebab tiket flight disediakan oleh syarikat, jadi saya tak survey tiket.

Saya bertolak dari Kuala Lumpur jam 9:00 malam waktu KL dan tiba di sana dalam jam 10:30 waktu tempatan, cuaca panas lebih kurang di Malaysia. Airport di sana agak selesa kerana kelihatan baru, bersih dan tak ramai orang. Paip juga disediakan di tandas.
Airport Bersih

Keluar sahaja dari Airport ternampak restoran bernama ‘Chili’ terus perut terasa lapar. Menu di sini lebih kurang macam kedai mamak di Malaysia, suasana pun lebih kurang. Tapi potion makanannya banyak.

Semasa di Kuala Lumpur saya dah study apps E-Hailing yang available di Kerala dan saya menjumpai applikasi ‘Ola’. Selesai makan, saya pun book Ola untuk ke Hotel. Mungkin penggunaannya lain sikit dari Grab sebab lepas book tu driver Ola tersebut call saya bertanyakan lokasi sebenar saya seolah-olah dia tak tahu. Agak sukar nak berkomunikasi dengan orang di sana melalui telefon kerana Bahasa Inggeris mereka pun kedengaran seperti orang India tapi Alhamdulillah beliau sampai juga. Agak kecawa juga sebab keretanya agak buruk, bila saya buka pintu penumpang belakang ribuan nyamuk berterbangan keluar dari kereta. Bukannya saya menambah tapi memang ribuan nyamuk sampai saya terpaksa tunggu dan kipas2 supaya semua nyamuk-nyamuk tersebut keluar baru boleh masuk ke dalam kereta.
Apps Ola

 Pamandu Ola tersebuat agak ramah Cuma saya dapat nak faham 100% apa yang dia cuba sampaikan. Saya menginap di The Crescent Suites Hotel di utara pekan Kalamassery. Hotel ni saya yang request berdasarkan review di Google dan saya memang tak berapa suka tinggal di hotel yang terlalu mewah atau terlalu murah bila ke luar negara. Tapi Alhamdulillah hotel ni selesa. Lagipun hotel ni dekat dengan train station, senang untuk bergerak.

Di india, agak sukar untuk membeli sim card, nasib baik saya dah prepare dengan roaming package murah DiGi RM25 2Gb untuk tiga hari. Di Kerala juga tak banyak premise yang boleh menerima kad kredit. Jadi, kena prepare cash lebih sikit. Tapi nasib baiklah barang-barang di sini tak mahal.

Keesokan paginya saya memulakan kerja sehingga jam 2:00 petang. Habis kerja, tempat pertama yang saya tuju ialah Lulu Mall iaitu mall terbesar di Kochi. Tak ada apa-apa yang unik di sini, sama sahaja dengan mall di Malaysia, harga pun lebih kurang dan kebanyakan barang di sini boleh didapati di Malaysia juga. Cuma tanggapan awal saya salah kerana di sini berbeza dari tempat di India yang lain kerana di sini penduduknya agak menjaga kebersihan, mall di sini bersih tandas dan suraunya juga bersih dan selesa. Surau memang disediakan di Mall kerana banyak orang Islam di sini. Makanan halal juga mudah dijumpai. Orang Malayalam ni lebih kurang macam orang melayu, kulit mereka tak terlalu hitam dan tak terlalu cerah dan quite behave, tak kecoh-kecoh bila bersembang.
Turkish Ice Cream Trick di Lulu Mall

Dari Lulu mall ke hotel saya mencuba menaiki train di sini. Bukan train yang boleh duduk berlonggok-longgok atas bumbung tu ye, Train di sini lebih kurang macam kita punya LRT, bersih, tak sesak, tak payah tunggu lama, tambang murah dan selesa. Dari Lulu Mall ke Hotel saya menaiki train dari Edapally ke stesen Kalamassery, tambang hanya 20 rupee sahaja iaitu dalam RM1.10. Dari train ke Hotel saya hanya berjalan kaki. Masa jalan kaki sempat bergambar dengan Tuk Tuk.
Tiket Train

Bergambar dengan Tuk Tuk

Selesai berehat sebentar di Hotel, sy plan untuk pergi jogging. Memang kebiasaan saya berjogging apabila travel sebab sambil jogging lah boleh tengok suasana sekitar dengan lebih dekat. Dapat tengok cara hidup masyarakat di sekitar. Cuma nak bergambar saya tak tau nak bergambar di mana nak bagi Nampak sedang berada di India sebab mana-mana tempat saya bergambar pun Nampak macam di Malaysia sebab di Malaysia pun ramai orang India. Sedikit perbezaan yang saya Nampak ialah di sini ada Tuk Tuk.
Tuk Tuks :-D

Berjogging di sini agak menyeronokkan cuma berjogging bukanlah aktiviti biasa di sini agaknya, jadi saya tak jumpa orang lain yang berjogging jugak. Masa saya jogging pun ramai yang memandang dengan muka pelik. Tak macam taman perumahan di Malaysia sini tak banyak anjing, kalua ada pun memang jenis tak kacau orang. Sempat tengok family muslim buat persiapan kenduri kahwin. Banyak gereja besar di sini. Kuil-kuil hindu di sini biasanya terletak jauh dari jalan utama, mungkin sebab nak jauh dari bunyi bising.

Balik dari Jogging saya bersiap untuk makan malam. Di sekitar Kalamassery ni senang nak jumpa restoran yang Halal. Salah satunya Grand Royal Restaurant, sebijik macam kedai mamak dekat Malaysia tapi lebih efficient sebab pelayannya sentiasa prihatin kalua anda nak sesuatu dan mereka sentiasa berdiri di tengah-tengah restoran bersedia jika pelanggan perlukan sesuatu.

Masa ni saya tak lapar sangat, jadi saya cuma order shawarma sahaja. Di sini ada dua jenis shawarma, plate & roll. Biasa jumpa kat Malaysia roll sahaja, kalau yang plate ni dia letak dalam pinggan dan tak roll. Minumam saya order air limau dan teh sebab haus sangat. Air suam disediakan di setiap meja free. Cume dekat sini kalua order teh portio dia memang kecil. Satu per tiga gelas kita kat Malaysia rasanya.
Shawarma Plate

Esoknya adalah hari balik ke Malaysia, tapi flight saya sebelah malam jadi saya ada pagi sampai petang untuk bersiar-siar dia bandar Kochi ni. Saya plan untuk tinggalkan beg di hotel dan check out terus, tapi sebelum tu sarapan dulu memandangkan sarapan disediakan di Hotel ni. Hajat di hati nak try Indian breakfast memandangkan semalam saya dah try English breakfast, tapi sampai-sampai sahaja di meja sarapan terus dihulurkan English breakfast, kesian pulak nak mintak tukar sebab nanti dia kena masak lain. Jadi hentam sajalah.
English Breakfast

Sepanjang menginap di The Crescent Suites Hotel ni saya tak Nampak pun pengunjung lain, mungkin juga sektor pelancongan di sini tak berapa bagus jadi tak ramai yang duduk di hotel. Lagipun sepanjang saya berjalan-jalan di Kerala ni saya tak nampak pun pelancong.

Saya mulakan perjalanan dengan menaiki Metro dari North Kalamassery ke M.G Road. Tujuan saya ialah Kawasan tepi laut Marine Drive, khabarnya ramai pelancong di sana dan pemandangannya cantik. Tiada Stesen Metro yang terletak betul-betul di Marine Drive. M.G Road terletak lebih kurang dua km dari Marine Drive, saya boleh menaiki Tuk-Tuk tapi memilih untuk jalan kaki sahaja untuk melihat dengan lebih dekat keadaan hidup masyarakat di sini. Kesimpulan yang saya boleh buat ialah rasa macam berjalan di pekan-pekan lama di Ipoh.

Marine drive ni tempat orang menyewa bot untuk pelancongan. Banyak bot di sini yang menyediakan pelancongan air bersiar-siar di laut sekitar pantai kerala. Ada jugak bot teksi atau feri untuk menyeberak ke pulau-pulau berhampiran sebab di sini bukanlah laut lepas kerana terdapat dua tiga lapisan pulau-pulau besar sebelum samai ke laut lepas. Diorang panggil laut antara pulau dan tanah besar ni backwaters. Kalau anda tengok peta Kerala/kochi anda akan faham maksud backwaters.
Back waters

Saya berjalan menyusur Marine Drive, memang banyak pelancong tapi kebanyakannya pelancong tempatan. Sepanjang Marine Drive ni penuh dengan jeti bot, pemandangan boleh tahan cantik dan agak bersih juga.
Marine Drive Boats

Marine Drive Walk


Di hujung selatan Marine Drive saya bertemu dengan sebuah taman dipanggil Subhash Bose Park. Sempat merayau-rayau di sini sambal selfie. Pemandangan di sini cantik tamannya pun terurus dan bersih. Banyak couple yang berdating dan ramai juga pelancong asing di sini. Tenang seketika melihat pemandangan di sini.
View di Subhash Bose Park

Selesai bersiar-siar saya mula mencari souvenir untuk family di Malaysia. Kedai souvenir berhampiran ialah Tribes of India. Sebagai seorang runner berjalan kaki 4 -5 km tu tak rasa apa pun. Tapi kalau anda tak biasa berjalan jauh-jauh baiklah mengambil Tuk-Tuk. Souvenir di Tribes of India ni agak exclusive dan mahal sedikit, di sini semua hasil tangan entik-etnik kecil di India dikumpul untuk dijadikan souvenir. Saya cuma beli kurta perempuan sahaja untuk orang rumah selebihnya saya ingat nak cari di kedai-kedai biasa sahaja.
Di Tribes of India

Kemudian saya plan untuk ke Jew Town, baru saya tahu di India pun ada orang Yahudi. Ada dua lapisan pulau sebelum tanah besar, Jew town terletak di lapisan luar sekali. Agak jauh kalau nak berjalan kaki dengan masa yang terhad ni jadi saya memilih untuk menaiki E-Hailing. Saya dimaklumkan di sini ada Uber memandangkan saya dah serik guna Ola jadi saya pakai try uber pulak. Kereta yang sampai taklah cantik sangan tapi boleh diterima lagi lah berbanding kereta Ola hari tu. Harga pun berpatutan. Tuk Tuk pun ada dalam Uber tapi kalau nak naik Tuk tuk baik ambil di tepi jalan kerana dalam Uber harganya lagi mahal dari ambil kereta.

Di Jew toen barulah Nampak Kawasan yang penuh dengan pelancong asing. Souvenir pun taklah murah sangat tapi lagi banyak pilihan dan lebih murah berbanding Tribes of India. Puas berjalan jam pun dah pukul 4 petang. Perut pun dah lapar. Di Jew town ni tak Nampak pula restoran Halal. Jadi saya ambil grab dan balik semua la Bandar Kochi di tanah besar. Malas nak mencari akhirnya saya naik train balik ke hotel dan makan di Grand Royal Restaurant.
Jew Town
Kedai-kedai di Jew Town

Habis makan saya bersiar-siar di Kalamassery, tapi tak tau nak ke mana dah jadi saya pun ambil beg dan terus ke Airport. Nak Uber lagi. Kali ni dapat pemandu Muslim dan ramah, banyak tempat menarik yang dia suggest tapi kalau nak pergi kena bercuti seminggu la.

Kesimpulannya pada saya Kerala memang tempat menarik kalau nak melancong, tapi kena datang dalam 4-5 hari la baru boleh pergi tempat-tempat yang lebih menarik. Kalau setakat pergi dua hari macam saya boleh tengok pekan dan tepi laut je lah.

Sampai di Airport awal, rasa macam menyesal sebab tak puas berjalan lagi. Tapi alang-alang dah sampai duduk je lah airport sebab nak patah balik pun jauh jugak. Nasib baik airport di sini selesa tak kisah la tunggu lama-lama pun. Oh ya lupa nak bagitau roaming di sini memang slow sangat. Kena banyak bersabar.
Tunggu flight