Kadang-kadang bila kita duduk seorang diri, termenung jauh sambil dengar bunyi kipas pusing, terlintas satu persoalan ringkas tapi berat: “Kenapa hidup ni macam tak boleh dijangka?”
Sebenarnya… sebab hidup ini memang ibarat satu perjudian.
Kita merancang, tetapi apa yang terjadi tak semestinya ikut skrip yang kita tulis. Ada masa kita dah buat sehabis baik, ikut semua “manual hidup” yang orang tua-tua ajar, tapi tetap juga diuji dengan dugaan yang datang dari seribu arah. Dan yang paling pelik, ada masa kita tak buat salah pun tapi tetap terkena tempiasnya.
Dalam hidup, kita sentiasa berada dalam dilema. Setiap keputusan kecil atau besar rasa seperti kita sedang letakkan taruhan. Contohnya:
Perkahwinan — Kita memilih seseorang yang kita percaya boleh membahagiakan kita. Kita fikir dialah yang paling tepat. Tapi kadang-kadang, walaupun kita dah pilih dengan hati-hati, perkahwinan tetap tidak menjadi.
Pilihan keluarga — Aneh tapi benar, ada pasangan yang dipilihkan oleh keluarga, dan kita sendiri pun tak pasti “OK ke tak ni?”. Tapi peliknya, ada yang kekal bahagia sampai ke hujung hayat.
Belajar atau berhenti? — Ada orang ambil keputusan sambung belajar tinggi-tinggi. Ada pula yang berhenti separuh jalan untuk mulakan perniagaan. Dua-dua meletakkan masa depan sebagai pertaruhan. Hasilnya? Kita takkan tahu sehinggalah masa berlalu.
Kalau hidup ini ada “preview”, mesti ramai yang sanggup bayar mahal. Tapi sayangnya tidak. Kita hanya boleh buat yang terbaik dan bertawakal pada hasilnya.
Ada orang kata hidup ini bukan tentang betapa tepatnya kita pilih, tetapi bagaimana kita bertahan dan belajar. Dan itu ada betulnya. Kadang-kadang pilihan yang salah pun boleh membawa kita ke jalan yang akhirnya lebih baik.
Sebab itu hidup ini terasa seperti perjudian, bukan kerana kita suka ambil risiko, tetapi kerana masa depan sentiasa kabur. Kita hanya boleh memilih berdasarkan apa yang kita tahu hari ini.
Yang penting, apa pun terjadi, Jangan berhenti melangkah, Jangan patah balik pada kegagalan lama, dan jangan terlalu keras menyalahkan diri terhadap keputusan yang tidak menjadi.
Hidup ini tentang perjalanan, bukan kesempurnaan. Selagi kita bergerak ke hadapan, kita masih dalam permainan.
Itulah serba sedikit pandangan aku tentang kehidupan. Hidup ini sementara saja. Sementara menunggu waktu untuk bergerak balik, aku tuliskan apa yang berada dalam kepala aku.
5 Disember 2025 (5:22 pm)
Bukit Rotan, Selangor.